Baju arwah kini pengubat rindu buat anak setelah pemergian bapa dalam kemalangan yang cukup tragis akibat kecuaian orang lain baru-baru hari ini.
Itu yang dilalui oleh anak sulung Laskar Kanan Mohd. Rizal Buseri, 31, yang meninggal dunia selepas keretanya dilanggar di Taman Pelangi di sini beberapa hari lalu yang sangat merindui belaian bapanya.
Menerusi laporan Kosmo, kehilangan Mohd. Rizal dalam nahas itu memberi kesan mendalam kepada anak sulungnya, Nur Amani Raudah, 5, apabila kanak-kanak tersebut kerap memeluk baju bapanya sebelum tidur.
Perkara itu dimaklumkan oleh ibu saudara Mohd. Rizal, Nor Farhana Amir, 36, yang memberitahu, tiga anak mangsa mula mencari dan bertanya bapa mereka.
“Paling terkesan dengan kehilangan ini ialah anak sulungnya (Nur Amani).
“Dia kerap menangis dan cakap dia merindui bapanya, semasa tidur pun dia memeluk baju bapanya,” katanya.
Dalam kejadian pada pukul 8.30 pagi itu, Mohd. Rizal yang juga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia maut selepas keretanya dilanggar Perodua Myvi di persimpangan lampu isyarat di Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi.
Arwah Mohd. Rizal meninggalkan isteri, Nurul Asyiken Amir dan tiga anak berusia lima tahun hingga sembilan bulan.
Buat masa sekarang isteri arwah mohon diberikan masa dan belum bersedia untuk ditemubual kerana masih bersedih dengan pemergian suami tercinta.
Nasib isteri dan tiga anak yatim perlu dibela
Dalam pada itu, Nor Farhana memberitahu, mereka sekeluarga menggesa pihak berkuasa supaya menjalankan siasatan terperinci agar pesalah kes itu dikenakan hukuman setimpal atas kecuaian sehingga menyebabkan nyawa adik iparnya melayang.
“Nasib tiga anak dan isteri perlu dibela,” kata Nor Farhana.
Sumber: Kosmo
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)