Kelahiran adakalanya tidak dapat dijangkakan. Apatah lagi jika sudah ada tanda-tanda awal seperti pendarahan & kontraksi. Pengalaman yang dilalui ibu ini unik dan istimewa apabila melahirkan cahaya matanya di dalam kenderaan di parkir sebuah ibu pejabat polis (IPD).
Ibu muda, Anis Syabila Roslan, 19 tidak sempat tiba di hospital untuk bersalin dan menyebabkan dia terpaksa melahirkan di dalam kereta di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau.
Dia yang selamat melahirkan seorang bayi perempuan dalam kereta di kawasan parkir IPD Arau kira-kira 12 tengah semalam dalam perjalanan bersama dengan ibu mentua dan ibu bapanya dalam perjalanan dari rumah ke hospital pada kira-kira 11.30 pagi.
PENDARAHAN & SAKIT BERSALIN
“Anak lelaki saya sebelum itu telefon beritahu isterinya mengalami pendarahan disamping mengadu berasa sakit hendak bersalin.
“Saya dan besan kemudiannya ke rumah mereka untuk membawa Anis ke hospital,” kata ibu mertua Anis yang dikenali sebagai Toyibah.
CEMAS KEPALA BAYI KELIHATAN
Namun keadaan menjadi cemas ketika dalam perjalanan dan sampai di bandar Arau. Menurut Toyibah, besannya yang turut serta telah memaklumkan kepala bayi sudah kelihatan.
“Besan lelaki yang sedang memandu kereta cemas dan gusar melihat keadaan itu. Dia terus membelokkan kereta ke pekarangan IPD dan meminta kebenaran anggota polis untuk Anis bersalin di situ,” katanya.
DIBERI BILIK KOSONG TAPI IBU SEDANG BERTARUNG NYAWA
Menurutnya, anggota polis memberi kebenaran kepada mereka serta turut membantu keluarga berkenaan bagi memudahkan menantunya bersalin. Namun dalam suasana cemas dan kesakitan yang dialami Anis, proses kelahiran terpaksa diteruskan di dalam kereta.
“Pada mulanya anggota polis menawarkan bilik kosong tetapi dengan keadaan Anis yang sedang bertarung nyawa, kami terpaksa biarkannya bersalin dalam kereta.
“Kira-kira 12 tengah hari, Anis selamat melahirkan bayi perempuannya yang disambut sendiri oleh besan,” katanya.
IBU & BAYI DIBAWA KE HOSPITAL
Menurut Toyibah, kira-kira 10 minit selepas kelahiran ambulans tiba dan kemudiannya membawa Anis dan bayinya ke hospital. Dia turut memanjatkan kesyukuran diberikan bantuan ketika saat genting itu.
“Kami bersyukur kerana semuanya selamat dan berterima kasih kepada pihak IPD Arau yang turut membantu menantu bersalin,” katanya.
PERTAMA KALI BERLAKU, SYUKUR TIADA KOMPLIKASI
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Arau Superintendan Nanda Maarof ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan menjelaskan ia pertama kali berlaku di IPD berkenaan.
“Melihatkan keadaan mereka yang darurat, semestinya anggota kami akan membantu sedaya mungkin untuk memudahkan urusan keluarga berkenaan.
“Kami bersyukur tiada komplikasi yang berlaku ketika bayi berkenaan dilahirkan dan adalah menjadi tanggungjawab setiap pegawai dan anggota polis untuk membantu masyarakat yang memerlukan,” katanya.
Sumber: Harian Metro
Artikel berkaitan:[ 5 Tanda Ini Berlaku Bila Dekat Nak Bersalin, Ibu-Ibu Perlu Peka & Cepat Bertindak!] [Awas! Kelahiran Boleh Terjadi Seawal 28 Minggu. Peka 3 Tanda Bersalin Ini Walaupun Tarikh Jangkaan Masih Jauh]
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI