Hati seorang isteri rapuh, mudah tersentuh. Tetapi sekali ia menjadi kebal, tak mungkin boleh disakiti lagi. Selepas berkahwin, isteri menghabiskan masa serta berkorban apa saja demi keluarganya. Baik buruk suami diterima dengan hati terbuka kerana merasakan dirinya juga tidak sempurna.
Hanya Tuhan yang tahu jika rasa kasih itu dianiaya, diabaikan. Betapa sakitnya hati seorang wanita jika dirinya dicurangi. Apatah lagi selepas segala pengorbanan yang dia lakukan untuk si suami. Ikuti coretan dari wanita ini, yang diabaikan oleh suaminya kerana orang ketiga.
Selamat sejahtera pembaca semua. Aku terasa ingin berkongsi coretan hidup aku.
Sebelum aku cerita lebih lanjut lagi, sedikit sebanyak tentang diri aku ialah aku seorang yang sentiasa beri yang terbaik. Tak kisahlah dalam pelajaran, dengan kawan, dengan keluarga, rakan sekerja, selagi boleh, dari aku sendiri, aku akan bagi yang terbaik.
Dapat Anak Selepas Beberapa Tahun Berkahwin
Sampailah ke rumah tangga aku. Syukur aku dikurniakan cahaya mata pertama selepas beberapa tahun berkahwin. Menghadap jugaklah soalan serta pelbagai nasihat dari pelbagai pihak. Aku jadi agak lost sebab bab anak ni di luar kawalan aku, setakat aku mampu usaha, aku usaha.
Macam yang aku kata tadi, kalau dari aku, aku memang mencuba sehabisnya, apa yang aku tak mampu kawal, aku berserah.
Cuma satu salah aku yang sangat ketara disini ialah aku anggap pasangan aku macam aku jugak, usaha sehabis mungkin, yang tak mampu kita usaha, kita berserah. Ya, ini silap terbesar yang aku terlupa dah alpa, pasangan kita bukan kita.
Fast forward, bila baru menimang cahaya mata ni, the struggle is real, bak kata orang. Siapa kata ada anak semudah ABC. Menyusu anak pun bukan senang.
Struggle Jadi Ibu
Yes, aku struggle menjadi first time parent. Semalaman aku menangis dekat wad, mencari bahan bacaan bila aku tak reti nak menyusukan anak aku. Dengan emosi tak stabil lepas beranak, bacaan gula anak aku sangat rendah bila aku tak reti menyusukan dia.
Nasib baik Tuhan datangkan jururawat, bersungguh-sungguh ajar aku menyusukan anak. Untuk bakal ibu kali pertama, nasihat aku, belajar menguruskan anak itu sangat penting barulah fikir nak beli apa. Aku agak kemurungan dengan fakta bahawa aku tak reti jaga anak.
Ok. Apa kaitan pulak pengalaman beranak dengan cerita aku kan?
Ya, dari sini aku diuji 100% limit aku. Aku spesies sentiasa buat sehabis baik, so bila anak aku meragam, anak aku jatuh sakit, anak aku menangis tak berhenti, aku kelam-kabut. Macam-macam aku tanya, baca sana sini. Belajar.
Selalu aku bermasam muka dengan pasangan aku bila aku tengok dia tak cuba tolong aku, bagi aku macam-macam arahan dan komen, tapi pasangan aku sendiri tak cuba buat pun untuk meredakan situasi.
Aku rasa macam kenapa tak cuba buat, baru tahu susah ke senang nak redakan anak. Salah aku, aku sangka pasangan aku mencuba sama seperti aku. Bulan berganti bulan, aku makin stabil dalam mengurus anak, aku perasan sesuatu dengan tingkah laku pasangan aku.
Jeng jeng jeng. Pasangan aku dan telefonnya jadi akrab, bagai isi dengan kuku, bagai aur dengan tebing, bersatu teguh bercerai roboh, begitulah perumpamaannya. Asyik nak me-time. Ok, silakan.
Aku ok, ambillah masa untuk diri sendiri. Anak, pasangan jangan dilupa. Kita sama-sama kena ada rasa tanggungjawab. Aku tak kisah nak me time ke, nak bersosial dengan kawan ke, asal sedar diri, tahu limit, tahu tanggungjawab, cukup. Masing-masing ada akal, ada agama.
So, sini silap aku jugak. Pasangan kita bukan macam kita. Sekali lagi aku alpa.
Suami Ada ‘Kekasih Gelap’
Sampailah satu ketika, hati tak tenang, rasa ada sesuatu yang pasangan aku buat. Too good to be true, ya pembaca sekalian.
Tekaan anda tepat, pasanganku selingkuh, curang, ada hubungan sulit. Tapi the best thing is, at the very first place, bukan itu yang aku ketahui.
Yang aku dapat direct to the face is that, aku tak dicintai dan tak disayangi sejak mula kami bernikah. Dah sampai had, tak mampu mencuba lagi katanya. Tak selera denganku, anak dah ada, dah habis pantang berkurun, aku masih lagi tak disentuh. Maka, aku izinkan dia pergi.
Fast forward lagi, hati aku ni asyik kata there must be something else. Tak mungkin gini tetibe gitu ha. Dalam tempoh nak settle di pejabat agama, tudia ha, tak selindung lagi dah. Mesej, call, sampai ke tengah malam, depan aku, depan anak aku.
Aku tahan mata, hati dari nak lempang pasangan aku. Ya, pasanganku ada yang lain, katanya selepas perbincangan kami untuk berpisah tempoh hari.
Aku dengan muka tebal, hubungi kekasih cinta matinya itu, turned out that itu cinta lama berputik semula, biarlah, suka hati lah nak berputik ke apa, ingat itu semua haram. Aku masih lagi isteri, tunggu aku settle dulu, baru suka hatilah nak buat apa.
Apa Salah Aku?
Hari demi hari, masa nak settle kat mahkamah makin dekat. Aku puas dah kena hadap macam-macam nasihat dari pelbagai pihak untuk selamatkan rumah tangga aku. Sampai satu tahap aku rasa, apa lagi salah aku.
Pasangan aku tu ha, tak ada orang nak tegur, nak nasihatkan ke? Asyik aku aku aku yang kena itu ini. Benarlah bak kata kaunselor yang aku jumpa, tak ke mana bila mana pasangan kita tak bersyukur, memang buruk kita yang mereka nampak.
Jujur, pembaca sekalian, aku tak ada cerita buruk tentang pasangan aku, bukan sebab tak ada cacat cela pasangan aku, bukan jugak aku ni baik sangat.
Prinsip aku dalam rumah tangga, yang buruk itu, selagi tak mendatangkan mudarat, tak mencederakan, masih ada hari esok untuk pasangan kita mencuba. Maka, aku tak melihat buruk pasangan itu sebagai beban. One at a time, perbaiki diri masing-masing.
Ya, ini jugak silap aku, pasangan aku bukan aku. Semua kurang aku, buruk aku, dia highlight. Sampai aku tak tahu apa yang elok aku dimata dia.
Semua makan pakai, rumah, aku urus elok. Aku mengaku bila penat, aku masam. Aku masam bila aku tak diberi perhatian sebenarnya. Penat lelah semua tu apa aku kisah, lumrah manusia. Tapi manja aku hilang, lembut aku hilang, bila aku disisih, tak diberi kasih sayang.
Aku kosong di dalam. Aku merajuk inginkan perhatian, inginkan nafkah batinku. Back to the point that pasangan aku tak cintakan aku, so dia tak peduli bila aku merajuk, aku nak perhatian.
Bak katanya, nak buat apa semua tu, dah kahwin dah pun. Aku lihat inilah masalah utama rumah tangga aku. Tiada tautan hati, rapuhnya yang aku tak sedar dalam diam.
Biarlah Aku Undur Diri
Akhirnya, aku mengalah. Aku undur diri. Aku banyak tertekan sepanjang aku cuba selamatkan rumah tangga aku. Semua buruk aku diceritakan pada orang lain. Semua nasihat, aku yang kena hadap. A sampai Z semua aku yang kena cuba, kena perbetulkan.
Aku kena hadap setiap tuduhan yang aku hancurkan semuanya. Aku yang menghadap anak aku yang bakal membesar tanpa keluarga yang sempurna, tapi tak sikit pun orang tegur sikap pasangan aku. Ya, semua perempuan yang salah. Hati aku mati.
Buat pertama kali, aku kata pada diri aku sendiri, cukuplah. Berhentilah mencintai pasangan aku dengan sepenuh hati. Aku kecewa, sampai hati semua buat aku macam ni. Salahkan aku, semua buruk pada aku. Sampai hati.
Nasib tempoh PKP ni, aku tak dapat pergi mahkamah. Aku duk menghadap anak aku 24/7. Aku pilu, aku menangis sebab aku tak dapat jadi mak yang sempurna bagi anak aku.
Maafkan aku wahai anakku sebab emakmu ini memilih cerai, memilih untuk berpisah. Memilih menjadikanmu seakan terpisah dari ayahmu. Maafkan emak.
Masa itu akan tiba tak lama lagi anakku, maafkan emak sayang. Emak tak kuat untuk pertahankan lagi. Emak hancur di dalam, emak tak mampu lagi. Maafkan ayah kamu, ya sayang.
Doakan semuanya dipermudahkan. Aku perlu kuat untuk anak aku. Diri aku tak apa, aku boleh abaikan hati aku. Anak aku keutamaaan aku sekarang.
Cuma pesan aku pada pasangan diluar sana, hargai dan bersyukurlah dengan pasangan kalian. Janganlah buruknya yang dinampak, buruk sendiri tak diperbaiki.
Sama-sama perbaiki diri, beri masa untuk mempertingkatkan diri. Jangan sikit buruk, terus cari yang lain. Bukan begitu berumah tangga. Tapi kalau sampai pukul dera maki hamun tu, jaga diam pendam. Cari bantuan. Jangan tahan.
Love and peace. Sekian. Terima kasih mendengar luahan.
– Siti (Bukan nama sebenar) via IIUM
Sekiranya anda mempunyai sebarang kisah atau pengalaman menarik untuk dikongsikan, klik KONGSI CERITA.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI