Adakalanya sesuatu yang berlaku itu ada hikmah di sebalik ujian Allah walaupun kita dah merancang. Hanya Dia Yang Mengetahui dan keredaan kita sebagai hamba-Nya menjadi kunci utama.
Bagi pasangan suami isteri ini yang sembilan bulan menunggu kehadiran zuriat tercinta, namun Allah dah takdirkan mereka untuk menjadi ibu bapa kepada anak syurganya hanya beberapa hari saja selepas dilahirkan.
Dugaan ini cukup berat lagi-lagi bayi ini adalah anak sulung dan hanya dapat memberi nikmat selama 3 hari saja sebelum Allah jemputnya kembali ke tempat abadi.
Menerusi laman Facebook Skuad Pengurusan Jenazah – SPJ Malaysia, beberapa keping gambar sekitar pengebumian yang dikongsikan itu dah cukup mengambarkan kesedihan kehilangan anak syurga buat ahli keluarga.
Maklumat terperinci tidak dinyatakan mengenai punca kematian ank syurga ini namun kita yang melihatnya juga cukup rasa terkesan.
Dakapan sayu anak sulung 3 hari
“Ada waktunya Allah meminjamkan kepada kita sesuatu nikmat itu hanya sebentar sahaja sebelum mengambilnya kembali.
Begitu jugalah dengan pasangan ini yang menunggu selama 9 bulan 10 hari untuk menyambut kelahiran anak sulungnya, namun Allah meminjamkan nikmat memiliki anak kepada mereka cuma 3 hari sahaja sebelum anaknya pergi untuk selamanya.
Ibunya mendakap sayu jasad kaku bayi yang dikandungnya selama ini sebelum dilepaskan kepada bapanya untuk disemadikan buat selamanya.
Kelihatan juga wajah sayu datuk dan nenek anak Syurga ini yang mungkin mengharapkan kelahiran cucunya ini dapat menghiburkan mereka seisi keluarga.
Atas izin Allah, anak syurga ini akan beri syafaat
Walaupun sedih dan hiba tatkala kehilangan sesuatu yang kita sayangi sepertimana anak kecil ini, ketahuilah sesungguhnya ada suatu ganjaran besar yang menanti buat ibu dan bapanya di akhirat kelak.
Anak kecil itu mengingati ibu bapanya dan akan memberikan syafaat kepada ibu bapa mereka dengan izin Allah.
Daripada Abu Hassan RA, maksudnya: “Aku bertanya kepada Abu Hurairah keadaan dua anak kecilku yang sudah meninggal dunia: ‘Boleh tidak engkau menyampaikan kepadaku satu hadis daripada Rasulullah SAW yang boleh memujuk jiwa-jiwa kami kerana kematian ini?’
Jawab Abu Hurairah: “Boleh, anak-anak mereka ialah Da’amis Syurga. Salah seorang daripada mereka menemui ayah mereka atau ibu bapa, lalu menarik bajunya atau menarik tangannya seperti aku menarik hujung jahitan bajumu ini.
Anak itu tidak akan melepaskannya sehingga Allah memasukkan ibu bapanya ke dalam syurga.’” (Hadis riwayat Imam Muslim – 2435)
Berkata Imam al-Nawawi Rahimahullah: “Da’amis itu bererti ahli syurga yang kecil, asalnya ialah du’mus yang bermaksud haiwan-haiwan kecil yang berada di dalam air. Mereka tidak berpisah dengannya. Maksudnya, anak-anak kecil di dalam syurga tidak berpisah darinya.” (Rujuk kitab Syarh Muslim – 16/182)
Bersabarlah duhai ayah dan ibu..
Percayalah setiap apa yang Allah aturkan ini, perjalanannya dah elok. Mungkin kita rasa tak kuat tapi ingatlah Allah akan selalu bersama. Setiap yang berlaku itu ada hikmahnya.
Ingatlah anak syurga ini akan menantikan ibu ayahnya untuk sama-sama masuk syurga atas izin-Nya.
Semoga pasangan ini akan terus tabah menghadapi ujian Allah dan mana tahu ada rezeki lebih baik lagi menanti untuk masa akan datang. Insya-Allah.