Dalam 3 Bulan Boleh Baca, Ibu Ini Kongsi Teknik Membaca & Menulis Buat Sekali!

Share

Ibu bapa yang ada anak usia antara 4 hingga 6 tahun pasti akan memikirkan teknik apa yang sesuai untuk ajar anak cepat membaca. Maklumlah silibus Tahun Satu sekarang bukanlah seperti zaman kita dulu-dulu yang mana murid tak kenal huruf dan tak boleh membaca, cikgu akan ajar.

Untuk zaman anak kita sekarang, semua itu dah tak akan diajar dan mereka mula diperkenalkan dengan cara membuat ayat. Jika yang asas anak kita belum kuasai, risau akan ketinggalan nanti.

Jadi apa yang perlu ibu bapa buat adalah kena pastikan anak sebelum Tahun Satu dah boleh lancar membaca dan menulis dengan baik.

Seperti perkongsian ibu ini, Puan Fatin Zalikha, tekniknya mengajar anak sulungnya berusia 5 tahun membaca dan menulis sekali sangat berkesan.

Menurutnya, walaupun anak sulung dikategorikan sebagai anak autism, tapi tahap penguasaan membaca dan menulis sangat baik dengan menggunakan teknik ini. Jadi tak mustahil ibu-ibu yang anak normal pasti akan lebih berjaya jika mencubanya.

“Cara saya ajar anak adalah membaca dan menulis sekali. Lepas baca, buat latihan menulis pula. Sebelum ini saya hanya ajarnya baca buku sahaja. Tapi bila nak gabung perkataan dan bunyi jadi sukar.

“Contoh macam perkataan da + n jadi ‘dan’ dia tak dapat nak tangkap. Lepas tu saya cuba guna idea menulis pula dan sejak itu nampak perubahan dan terus boleh gabung perkataan tu. Sejak itu sehinggalah sekarang lepas baca saya akan pastikannya menulis sambil ulang baca,” katanya.

Ibu kepada dua anak berusia 5 dan 3 tahun ini menjelaskan, anak sulungnya disahkan autism oleh pakar ketika umurnya 3 tahun. Tapi saya tak putus asa dan cuba nak buat yang terbaik untuknya.

“Saya banyak join group homeschooling. Saya search cara ajar anak membaca. Ternampak komen yang beritahu kena ajar membaca dan menulis sekali. Itu yang saya cuba pratikkan dan hasilnya buat saya puas hati.

“Walaupun dia anak istimewa, alhamdulillah dari sehari ke sehari dia makin faham apa yang dia baca. Sebelum ini masa umurnya 4 tahun dah hantar tadika. Tapi sempat 4 bulan je, lepas tu PKP.  Sejak PKP itu, saya dah tak hantar dan ajarnya sendiri di rumah.

“Selain membaca, saya juga banyak buat aktiviti fine & gross motor skill. Ini untuk melatihnya menulis dengan baik. Itu juga salah satu faktor nak bagi tulisan anak cantik. Dari sehari ke sehari nampak perubahannya,” kongsinya.

Fatin berkata, bagi ibu-ibu yang nak cuba buat teknik ini, hasilnya akan diperoleh dalam tempoh 3 bulan. Janji kena konsisten dan mesti disiplin. Jangan cepat putus asa sebab jika anak istimewa pun boleh buat apatah lagi anak yang sihat dan normalkan!

“Asalkan kita niat dan doakan yang terbaik supaya semua anak kita boleh berjaya, InsyaAllah,” akhirinya.

Kredit: Fatin Zalikha

Teruja nak dapat baby, tapi masih banyak persiapan yang perlu dibuat. Mental dan fizikal pun kena mantap sebelum si manja lahir nanti. Mahu belajar segalanya tentang cara-cara menguruskan bayi baharu lahir? Jom sertai E-Workshop Pa&Ma : A-Z Uruskan Newborn Baby! Daftar sekarang di https://toko.ideaktiv.com/product/urus-newborn-baby-a-z/

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)

 

Published by
Wan Amy