“Dalam Kandungan Lagi Selalu Berbual.” Ibu Ini Kongsi Tip Anaknya Cepat Bercakap

Share

Boleh dikatakan rata-rata ibu bapa hari ini meluahkan rasa risau apabila anak berusia 2 tahun ke atas masih belum boleh menyebut perkataan bermakna. Malah menurut terapis pertuturan pun, ia disebabkan oleh beberapa faktor.

Bagaimanapun, masih belum terlambat lagi tetapi ibu bapa mesti cari jalan penyelesaiannya membantu anak. Untuk ibu bapa yang mungkin nak tahu tip, perkongsian Puan Siti Nurnabilah ini mungkin boleh dijadikan panduannya. Tip ini diamalkan untuk anaknya dan memang berjaya.

ARTIKEL MENARIK [Bagus Untuk Anak! Formula Terbaharu Susu Kambing Karihome Dengan Kualiti Terbaik!]

Safiya Imani, anak yang aktif tetapi mudah diurus

Pasangan Puan Siti Nurnabilah Muhammad Fairul Anuar dan Encik Ahmad Ashraf Ghazali dikurniakan cahaya mata pertama, Safiya Imani, yang kini sudah pun berumur 1 tahun 9 bulan.

Menurut Nurnabilah, anaknya yang hanya dipanggil Safiya ini ialah seorang yang sangat aktif dan tidak gemar untuk duduk diam.

Walaupun begitu, anaknya ini merupakan seorang kanak-kanak yang mudah mendengar kata walaupun hanya berusia hampir dua tahun.

Safiya juga bukanlah jenis kanak-kanak yang mudah meragam kerana ibu ini amat menjaga waktu tidur, makan dan emosi si anak.

Jadi, boleh dikatakan Safiya amat mudah diurus dalam pelbagai aspek.

Ajak berbual sejak Safiya masih dalam kandungan

Nurnabilah telah mula bercakap atau berbual bersama anaknya sejak awal kandungan lagi.

Menurutnya, setelah Safiya lahir, dia telah mula merancang pelbagai aktiviti yang sesuai dengan umur anaknya itu.

Antaranya membacakan flashcard dan buku cerita sewaktu sedang menyusukan, memandikan atau memakaikan lampin anaknya.

Walaupun dia sedar anaknya tidak boleh memberikan respons pada ketika itu (disebabkan masih pada usia bayi), namun dia tahu si anak mendengar setiap patah perkataan yang disebutkannya.

Berkat usahanya yang berpanjangan, Safiya berkemampuan untuk menyebut beberapa perkataan seperti Allah, Abi (panggilan untuk ayahnya) dan juga Abu (ibu).

Kata Nurnabilah lagi, sebelum anaknya pandai bercakap, dia sendiri telah mengajarkan bahasa isyarat kepada Safiya, seperti jika mahukan susu dan sebagainya. Jadi, dia lebih faham kemahuan anaknya pada ketika itu.

5 tips anak cepat bercakap dikongsikan Puan Nurnabilah

Terdapat 5 kaedah atau cara nak ajar anak bercakap yang boleh kita amalkan berdasarkan pengalaman Puan Nurnabilah.

Ibu ayah kena libatkan diri dengan aktiviti anak

Sejak Safiya berusia 1 bulan, Nurnabilah dan suami telah membeli pelbagai buku bacaan untuk dibacakan bersama-sama.

Semakin Safiya membesar, dia sudah tahu untuk menyebut nama sesuatu benda atau watak dalam buku yang dibaca.

Semua ini berkat usaha Nurnabilah yang menyebabkan anaknya sentiasa mendengar apa yang dibacakan kepadanya.

Bercakap dengan penuh ekspresi muka

Ibu ini juga akan menunjukkan ekspresi muka seperti teruja dan sebagainya ketika berbual bersama si anak.

Selain itu, ibu bapa juga perlu sentiasa ada eye contact sewaktu bercakap dengan anak.

Dengan cara ini, anak akan lebih cepat ‘tangkap’ apabila melihat ekspresi muka dan juga gerak mulut ibu bapa.

Ini lebih berkesan jika ditambah dengan nada suara yang sesuai seperti intonasi yang ceria ketika bercakap.

Kurangkan penggunaan gajet untuk anak

Nurnabilah tidak menafikan kebaikan gajet. Namun sebagai ibu bapa, adalah menjadi satu tanggungjawab untuk mengawal penggunaan gajet oleh anak-anak.

Sebaliknya, pendekatan yang dilakukan ibu ini adalah dengan menonton video pada gajet dan berinteraksi bersama-sama anaknya.

Dia juga akan mengehadkan waktu penggunaan gajet tidak lebih satu jam setiap hari untuk Safiya.

Selebihnya, Safiya akan bermain dengan alat permainan fizikal sahaja bersama-sama dengan ibunya.

Guna perkataan yang pendek, betul dan jelas

Nurnabilah juga tidak mengamalkan kaedah baby talk seperti ‘Jom mamam’.

Walaupun ia kedengaran agak comel, namun ia tidak sesuai untuk perkembangan jangka panjang anak.

Gunakan perkataan yang pendek, betul dan jelas seperti ‘Jom makan’ atau ‘Jom eat’. Ini merupakan cara nak ajar anak bercakap yang betul.

Berikan anak masa untuk belajar

Ibu bapa tidak disarankan untuk terlalu memaksa atau menekan anak untuk belajar bercakap.

Ini kerana, anak akan mudah berasa stres dan tidak akan memberikan kerjasama yang baik.

Oleh itu, jangan sesekali memaksa anak untuk menyebut sesuatu perkataan.

Kita perlu mengikut rentak anak ketika mengajar mereka, bukannya anak yang perlu mengikut rentak kita sebagai orang dewasa.

Jika kita mengikut rentak anak, anak akan lebih fokus, memberikan perhatian dan memahami apa yang disampaikan.

Kita mudah faham apa yang anak mahukan apabila anak pandai bercakap
Berdasarkan pengalaman yang dilalui, Nurnabilah lebih memahami kemahuan anaknya apabila si anak sudah pandai bercakap atau menyebut perkataan.

Bukan itu sahaja, Safiya juga lebih mudah untuk memahami arahan dan mendengar kata.

“Apabila ibu bapa mudah memahami kemahuan anak, anak juga akan mudah mendengar kata ibu bapa. Kesannya, emosi ibu dan anak juga akan menjadi lebih gembira dan positif. Alhamdulillah!” kata Nurnabilah.

Kredit: hellodoktor

 

Ayuh, kembalikan kesegaran dan tenaga anda bersama pasangan tersayang melalui Bengkel Refresh & Recharge: Jom Kembali Semangat! Daftar di https://toko.ideaktiv.com/product/jom-kembali-semangat/

Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!

 

 

Published by
Wan Amy