Zalim juga bermaksud tidak meletakkan benda pada tempatnya.
Bersabar dengan fe’el anak akan timbul, bila kita memahami bahawa manusia ini melalui fasa di dalam perkembangannya.
Anak kecil akan melalui pelbagai fasa sebelum dia menjadi manusia yang memahami tanggungjawab dan berakhlak mulia.
Maka bila kita faham, kita menjadi ibu bapa atau orang dewasa yang lebih sabar kerana kita memahami pada usia 1 tahun contohnya, anak akan suka mencampak barang ke bawah atau mencampak barang.
Maka, tidaklah kita zalim menuduh anak kawan yang baru 1 tahun itu tidak berakhlak baik di meja makan kerana dia mencampak sudu dan makanan ke lantai.
Bila kita faham anak yang 1- 2 tahun, akan melalui fasa mengamuk kerana mula mempamerkan kehendaknya – individuating. Mungkin bila dia tidak dapat barang yang dikehendakinya dia akan memukul atau menendang. Kerana dia mahu menegaskan kekecewaannya dan mahu orang sedar dia wujud dan dia ada kehendak.
Bila ibu bapa, datuk nenek dan orang dewasa faham perkara-perkara penting ini, tidaklah kita menjadi zalim. Tidaklah ‘mulut’ itu cepat menuduh dan menghukum anak yang sekecil ini dengan tuduhan, “mak bapak tidak tahu mendidik”.
Atau ibu bapa sendiri, menjadi kecewa kerana menyangka anak itu mula berakhlak buruk.
SABAR akan datang bila kita ada ilmu.
Dan SABAR akan menjadi lagi kuat bila kita mempunyai skil.
Dan SABAR akan tersemat kuat bila kita menguatkan keyakinan dan menyemaikan mindset, anak kita boleh kita didik menjadi insan berguna dan berjasa kerana dia bukan anugerah yang telah rosak!
SABAR itu akan datang bila kita lebih FAHAM. Dan apa yang indahnya bila kita faham, kita boleh mendidik dengan lebih baik, tepat dan membahagiakan anak dan kita.
Bukankah SABAR itu sangat indah?
Sumber: Ibu Rose