Petugas barisan hadapan (Frontliners) yang memberi sepenuh perhatian dan tenaga dalam merawat pesakit-pesakit berdepan dengan pandemik Covid-19 sangat menyentuh hati orang ramai. Mereka semua kini sudah keletihan kerana komitmen yang terlalu tinggi diperlukan bagi merawat pesakit-pesakit positif Covid-19 yang semakin hari semakin meningkat.
Terpaksa meninggalkan keluarga demi menjalankan tanggungjawab kepada negara dan orang ramai, pengorbanan mereka turut mendapat perhatian banyak pihak termasuklah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang menyumbangkan makanan buat petugas-petugas barisan hadapan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Ramai lagi yang tampil untuk terus memberikan bantuan dan sokongan termasuklah chef cilik yang tidak asing lagi di Malaysia, Danish Harraz dilihat dalam ciapan di Twitternya pada pagi ini ingin memasak dan menghantar makanan yang dimasaknya sendiri kepada frontliners sebagai salah satu bentuk sokongan buat petugas yang tidak kenal erti penat lelah itu.
Niat Danish itu disambut baik oleh semua pengikutnya di Twitter. Ramai yang tampil memberikan nombor-nombor yang boleh dihubungi oleh Danish untuk realisasikan niat baiknya itu. Dalam ciapannya yang lain Danish turut menyatakan bahawa ada langkah tertentu yang diperlukan bagi menghantar makanan terus ke petugas.
Malah ada juga yang turut berbesar hati memberikan sedikit sumbangan untuk membantu niat Danish ini. Dalam ciapan itu juga Danish menyatakan petugas-petugas khas turut memerlukan makanan kering seperti biskut, nescafe dan sebagainya.
Nak masak Chili Tuna Pasta
Dalam thread yang lain Chef cilik ini turut menyatakan dia tidak kisah jika memerlukan dirinya memasak dalam kuantiti yang banyak dan berharap bahan untuk masakan yang akan dibuat mencukupi. Paling menarik dia ingin memasak makanan signaturenya yang menjadi kegemaran ramai iaitu Chili Tuna Pasta.
Semoga lebih ramai di luar sana yang prihatin dengan pengorbanan para petugas barisan hadapan. Bukan sahaja buat petugas dan kakitangan KKM, malah cleaner, Polis, Tentera dan juga yang terlibat secara langsung dan tidak langsung. Maka kita yang berada di rumah ini teruslah berada di rumah dan tidak keluar seperti yang diarahkan. Teruskan berdoa dan jika mampu bolehlah menyumbang kepada tabung-tabung bantuan yang ada. Semoga penularan wabak ini dapat dibendung dan negara kita bebas Covid-19 tidak lama lagi. STAY SAFE, STAY AT HOME!
Sumber: Danish Harraz