Perasan tak anak sulung selalu jadi mangsa kemarahan ibu bapa bila adik menangis. Cepat je mulut menyalahkan mereka dan kadang kala bila adik nak sesuatu kita akan suruh yang sulung mengalah.
Adakah kita sebagai ibu bapa memahami hati dan perasaan anak sulung? Ini yang perlu difikirkan. Tak semestinya apa yang terjadi dalam kalangan adik beradik, ibu bapa kena salahkan yang sulung.
Ini kerana jika mereka tak lakukan kesilapan tapi kita berterusan memarahinya, menjejaskan emosi dan mungkin meninggalkan kesan negatif untuk proses pembesarannya.
Perkara ini juga telah dijelaskan oleh Pengasas Parent Connect, Puan Noor Afidah Abu Bakar
Ads
Dapat adik, anak sulung terpaksa mengalah. Benarkah begitu? Secara umumnya, ya, tetapi tidak semua begitu.
Sebagai ibubapa, kita seharusnya pandai menilai situasi dan tidak terlalu cepat meminta anak sulung mengalah hanya kerana dia lebih tua. Selain dari cuba membentuk sifat bertanggungjawab dalam diri anak sulung, kita juga seharusnya membentuk sikap dan akhlak anak yang lain juga.
Ads
Jika anak sulung seringkali disuruh mengalah setiap kali berlakunya konflik antara anak-anak, kita sebenarnya tidak membantu untuk membentuk karakter anak yang lain. Kita harus mendidik anak-anak untuk menguruskan konflik dengan penyelesaian masalah (problem solving) dan bukannya lari dari masalah.
Banyak faktor yang membentuk keperibadian anak-anak. Susun atur kelahiran (birth order) adalah salah satu daripadanya. Anak sulung selalunya mendapat perhatian 100% daripada ibu bapa kerana mereka tidak perlu ‘berkongsi’ perhatian selagi mereka belum ada adik. Perhatian ini membantu perkembangan emosi dan membentuk keperibadian mereka juga.
Selain itu jarak usia antara adik beradik, jantina, layanan dan harapan ibu bapa, persekitaran dan harapan masyarakat juga membentuk keperibadian seorang anak.
Ads
Kajian yang dibuat oleh Fakulti Pendidikan UKM dan diterbitkan dalam World Applied Sciences Journal pada tahun 2011 mendapati bahawa kualiti dan corak komunikasi antara ibubapa dan anak, dan juga agihan tugasan dalam keluarga oleh ibu bapa dapat mendidik anak-anak untuk menjadi individu yang bertanggungjawab, tidak kira sama ada anak sulung, tengah ataupun bongsu.
Anak yang mempunyai dua pusar sering dikatakan sebagai seorang yang nakal, degil, tidak mendengar kata, keras kepala, menimbulkan masalah, sukar dikawal dan dikaitkan dengan pelbagai lagi label yang negatif.
Benarkah semua mereka begini?
Menurut Puan Noor Afidah Abu Bakar selalunya dari lahir lagi sudah kelihatan pusar anak. Jika anak mempunyai dua pusar, dari lahir lagilah label diberikan kepada anak terutamanya oleh segelintir orang tua-tua. Walaupun kita belum lagi cuba untuk mengenali anak tersebut dan belum cuba lagi mendidik anak tersebut, dia sudah pun dilabel dengan label yang membawa konotasi ‘akan memberi kesukaran’.
Adilkah begitu?
Jika begitu persepsi kita dari awal, maka segala kebaikan anak tidak akan kita nampak kerana yang kelihatan hanyalah tingkah laku yang menguji kesabaran kita.
Mungkin segelintir orang tua-tua ini mempunyai pengalaman dengan beberapa anak yang mempunyai dua pusar pada masa lalu mereka tetapi untuk membuat generalisasi tentang semua adalah salah sama sekali, apatah lagi menyebarkan kepercayaan yang tidak tepat itu.
Menurut National Human Genome Research Institute, iaitu sebuah institut yang banyak menjalankan kajian tentang genetik dan genomic manusia, 5% penduduk dunia mempunyai dua pusar. Pusar ini berkaitan dengan gene manusia.
Kepercayaan tentang anak dua pusar bukan hanya wujud dalam masyarakat Melayu sahaja, malah ia juga dipegang oleh masyarakat Cina, Vietnam, Filipina, Amerika, Portugis dan beberapa kelompok masyarakat lagi. Kemungkinan besar penghijrahan manusia membawa kepercayaan ini berhijrah dari satu tempat ke satu tempat sejak beratus-ratus tahun dahulu.
Ada kepercayaan kuno yang mengatakan roh akan memasuki tubuh seorang manusia melalui pusarnya sejak dari awal kandungan di dalam perut ibu lagi. Apabila bayi mempunyai dua pusar, dua roh akan memasuki tubuh bayi tersebut dan menyebabkan pertelingkahan antara kedua-dua roh ini. Kedua-dua roh ini akan cuba bersatu menjadi satu roh yang kemudiannya menjadi roh anak tersebut. Kerana pertembungan dua roh inilah, bayi itu membesar menjadi seorang yang keliru, sering memberontak, sukar dikawal, nakal dan degil.
Anda percaya?
Bukankah sebagai seorang Muslim kita percaya bahawa seorang anak dilahirkan seumpama kain putih dan ibubapalah yang bertanggungjawab mencorakkannya walaupun berapa pusar sekalipun yang dimiliki oleh anak tersebut?
Bukankah seorang anak itu lahir suci bersih tanpa dosa?
Ingatlah, kata-kata adalah satu doa. Kata-kata yang sering anak dengar tentang dirinya terutamanya daripada orang dewasa yang dekat dengan anak akan mewujudkan konsep diri (self concept) anak.
Anak sering tertanya tentang dirinya.
Siapa saya? Apakah peranan saya? Apakah kebaikan saya? Jika yang sering didengari tentang dirinya adalah label negatif, maka itulah kepercayaan anak tentang dirinya. Berhati-hatilah dalam melabel anak.
Tingkah laku seorang anak tidak bergantung kepada sifat fizikalnya sama ada mata bulat atau sepet, hidung mancung atau pesek, kulit cerah atau gelap, punya cuping telinga atau tidak, boleh gulung lidah ataupun tidak, kaki panjang atau pendek dan sebagainya.
Sifat fizikal tidak menentukan tingkah laku.
Tingkah laku anak bergantung kepada bagaimana ibubapa memahami dan mendidik anak.
Ibubapa perlu faham:
1) Perkembangan kanak-kanak (Child Development).
Semua tingkah laku anak adalah bersesuaian dengan usia dan perkembangannya. Kita tidak boleh mengharapkan anak kecil bersopan seperti orang dewasa kerana dia belum lagi boleh berfikir seperti orang dewasa, apatah lagi jika kita tidak membimbingnya dengan adab yang sepatutnya.
Kita juga tidak boleh mengharapkan anak A menjadi seperti anak B kerana mungkin perkembangan sosial dan emosi anak A tidak setara dengan anak B. Dia masih perlu dibimbing.
Kita tidak boleh mengharapkan anak berupaya untuk mendengar kata jika perkembangan bahasa dan komunikasinya masih perlu dipupuk supaya dia faham apa yang diberitahu dan diarah kepadanya.
Jika anak mempunyai kelewatan dari segi perkembangannya atau perkembangannya tidak sepadan dengan usia, bawalah anak berjumpa dengan pakar kanak-kanak.
Mereka dapat membantu dengan terapi yang sepatutnya. Usah diberi anak makan macam-macam produk yang mungkin hanya memudaratkan anak lagi. Kandungan gula yang tinggi boleh menyebabkan anak menjadi lebih sukar dikawal, begitu juga dengan bahan pengawet dan pewarna.
2) Pembawaan kanak-kanak (Temperament).
Setiap seorang daripada kita dilahirkan dengan sifat semulajadi atau pembawaan yang berbeza-beza. Ada yang mudah diuruskan,tidak cerewet, ada yang lebih aktif dan perlukan lebih pemahaman dan pemantauan, ada yang pendiam dan pemalu yang memerlukan lebih galakan.
Sebagai ibubapa kita perlu mengetahui anak kita berada dalam kategori pembawaan yang bagaimana kerana cara kita menguruskan anak bergantung kepada pembawaan mereka. Kita tidak boleh menggunakan satu kaedah saja untuk mendidik pembawaan yang berbeza-beza.
Oleh itu kenalilah anak anda. Luangkan masa bersama-sama anak untuk lebih mengenali dan memahami pembawaannya.
3) Fahami juga kecenderungan anak.
Kecenderungan anak kecil adalah bermain dan meneroka. Jika anak itu suka meneroka, sering ke sana kemari, mencuba itu ini, memegang itu ini, itu adalah sifat yang normal pada kanak-kanak. Kanak-kanak belajar melalui meneroka dan bermain. Usah di halang.
Apa yang perlu dilakukan oleh ibubapa adalah mewujudkan persekitaran yang selamat supaya penerokaan anak tidak memudaratkan keselamatan anak.
Peraturan juga perlu ditetapkan oleh ibubapa supaya penerokaan si anak tidak mengganggu orang lain atau pun merosakkan harta benda orang lain.
4) Selain itu ibubapa juga perlu sepakat dalam proses mendidik dan membesarkan anak. Ibubapa perlu sepakat tentang kaedah dan peraturan yang hendak ditetapkan dalam rumah supaya anak lebih mudah dikawal.
Jika ayah berkata “Ya” dan ibu berkata “Tidak”, anak akan keliru dan itulah yang menjadi punca utama anak degil dan tidak mendengar kata. Apabila dia keliru cakap siapa yang perlu diikut, dia akan mengikut kata hati dia sendiri yang sering kali menimbulkan lebih banyak masalah kerana dia belum berpengalaman untuk membuat keputusan.
5) Ibubapa adalah guru dan role model terbaik anak. Anak adalah cerminan diri kita sendiri. Adakah kita memberikan teladan tingkah laku yang baik buat anak-anak kita?
Ingatlah banyak faktor yang akan membentuk dan menentukan tingkah laku anak. Di antaranya adalah bimbingan daripada ibubapa, persekitaran anak, rakan-rakan anak, apa yang ditonton dan didengar, keyakinan diri dan jati diri anak, emosi anak, sosio ekonomi keluarga dan juga pegangan agama dalam keluarga yang akhirnya akan menentukan nilai dan akhlak secara keseluruhannya.
Jangan jadikan dua pusar sebagai ‘escapism’ atau jalan keluar untuk kita berputus asa dengan anak. Sentiasalah berdoa supaya anak-anak kita menjadi insan yang berguna dan menyumbang kepada masyarakat.
Oh ya, anak saya sendiri mempunyai dua pusar kepala.
Ingatkah lagi bagaimana perasaannya apabila mendengar perkataan pertama dituturi oleh anak? Mungkin sesetengah bayi agak lewat pertuturannya tetapi keterujaan yang kita rasai tetap sama. Perkataan pertama terlalu dinanti-nantikan oleh setiap ibubapa. Ibubapa yang berkesempatan untuk merekod momen gemilang itu sudah pasti akan menghebahkan keterujaan di media sosial untuk dikongsikan bersama seluruh dunia.
JANGAN LUPA MOMEN ITU
Semakin anak menguasai bahasa dan pertuturan, semakin mudah kita menguruskan anak. Jika ‘tantrum’ kerap berlaku ketika usia awal kerana ketidakupayaan anak untuk meluahkan emosi dan ketidakupayaan anak untuk menyampaikan apa yang diingininya, berkembangnya bahasa dan pertuturan mengurangkan kadar meragam anak.
Jika sebelum ini kita perlu meneka-neka apakah yang diingini anak, keupayaan untuk bertutur membuka peluang komunikasi yang lebih bermakna di antara ibubapa dan anak.
Bagaimanapun keterujaan yang kita rasakan itu selalunya tidak lama.
Semakin usia anak meningkat, semakin anak pandai bertutur, semakin anak menguasai bahasa, semakin anak tahu meluahkan emosi dan semakin anak berupaya menyampaikan keperluannya, komunikasi di antara ibubapa dan anak mula menjadi semakin hambar.
Ibubapa mula diam kerana sibuk.
Ibubapa semakin diam kerana ‘technoference’.
Ibubapa diam kerana anak sudah terbukti normal boleh bertutur, kenapa perlu dirisaukan lagi?
Kenapa perlu meluangkan masa mendengar anak bertutur seperti ketika anak kecil dahulu?
Anak diam bukan kerana tidak boleh bertutur tetapi anak diam kerana tidak teruja untuk berbual.
Anak diam kerana dia sudah dibiasakan untuk ‘berbual’ dengan gajet.
Anak diam kerana tidak pasti adakah ibubapa sudi mendengar.
Anak diam kerana rakan lebih memahami perasaannya.
Anak diam kerana tidak diberi peluang untuk bersuara walaupun dia boleh bertutur.
Jika dahulu ‘tantrum’ anak kecil semakin mudah diurus apabila dia boleh bertutur meluahkan emosi dan keperluannya, kini ‘tantrum’ anak remaja sukar diurus kerana dia tidak meluahkan emosi dan keperluannya walaupun boleh bertutur.
Jangan lupa bagaimana kita ternanti-nantikan saat anak menutur perkataan pertamanya dahulu. Luangkan masa dan berbuallah.
Komunikasi anak sebenarnya dah bermula sejak mereka lahir. Menurut kajian, usia bayi hingga tiga tahun adalah peringkat paling kritikal untuk mempelajari bahasa.
Sekiranya tempoh ini diganggu dengan pelbagai unsur mengelirukan, ia mungkin boleh memberi kesan terhadap perkembangan bahasa dan pertuturan anak kecil untuk masa depannya.
Bagi bayi normal, mereka biasanya cenderung bertindak balas terhadap rangsangan ibu bapa dalam tempoh enam bulan pertama kelahiran. Selepas itu, barulah muncul beberapa sebutan awal seperti papa, mama dan pelbagai lagi perkataan tanpa maksud jelas.
Apabila usia mencecah setahun, kanak-kanak sepatutnya sudah mampu meniru suku kata, menguasai antara 10 hingga 25 perkataan, dapat menunjukkan bahagian badan asas, menggunakan kata sosial ‘hello’ dan ‘bye-bye’ serta memanggil nama ahli keluarga terdekat.
Bagaimanapun, masih ada juga anak yang berusia 3 tahun ke atas masih belum bercakap lancar kerana masalah keliru bahasa. Berikut perkongsian dari Ahli Terapi Pertuturan Bahasa, Puan Ruby mengenai apa itu keliru bahasa.
Keliru bahasa? 1) Anak yang boleh cakap banyak, sama macam rakan sebaya. Tapi dia cakap campur/rojak sebab ibubapa juga memang cakap begitu di rumah.
2) Anak kurang cakap, kurang perkataan. Tapi dia lebih faham arahan apabila diarahkan dalam bahasa Inggeris. Kalau cakap melayu, dia buat dek saja.
3) Anak faham arahan Melayu dan Inggeris, tapi bila cakap, lebih banyak perkataan inggeris. Tak pernah sebut kasut, kereta, bunga….tapi sentiasa cakap shoe, car, flower. Tapi percakapannya tetap terhad, masih kurang berbanding anak yang umur sebaya.
Ini ialah 3 situasi yang saya biasa jumpa.
Yang no 1 di atas, adalah NORMAL. Selagi dia boleh luahkan hati/kehendak, walaupun campur bahasa, dia dikira ok.
Yang no 2 di atas, dikira speech delay jika umurnya dah cecah 2 tahun, sebab masih tak cakap. Umur 2 tahun patut dah cakap 25-50 perkataan spontan, tak kiralah apa pun bahasa yang dia guna.
Kalau ibu bapa memang bercakap melayu, tapi anak pula hanya ikut arahan inggeris, maka kita persoalkan, dari mana dia dapat bahasa inggeris? Dari tadikanya kah? Dari iPadnya kah?
Maka….interaksi antara ibubapa dan anak perlu ditingkatkan lagi. Ibubapa kena dedahkan juga bahasa dominan dalam keluarga. Jangan ibubapa pula mengalah dan cuba nak cakap bahasa yang anda sendiri tak fasih.
Yang no 3 yang paling kerap saya jumpa. Speech delay dan memilih bahasa. Sudahlah lambat bercakap sebab perkataan masih kurang, memilih pula nak sebut bahasa Inggeris saja.
Biasanya anak yang memilih bahasa Inggeris ni disebabkan oleh pengaruh kartun tv bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris pula banyak menggunakan sebutan mudah saja seperti “cat, dog, car, fish, ball” berbanding bahasa melayu yang guna 2 sukukata “kucing, bola, baju”.
Tapi ini tidak bermakna penutur bahasa Melayu lebih lewat berkembang berbanding penutur inggeris. Malah penutur bahasa Tamil yang guna lebih banyak gabungan sukukata juga tetap berkembang sama saja dari segi perkembangan pertuturan bahasa. Ia adalah fitrah manusia.
Maka adalah tidak adil untuk menyalahkan bahasa melayu yang menyebabkan anak menjadi speech delay. Menyalahkan keliru bahasa juga adalah tidak tepat sama sekali.
Bagi anak yang lambat bercakap berbanding rakan sebaya, bilingual menerukkan keadaan. Ini kerana anak perlu bekerja keras untuk ingat dan faham kosa kata kedua-dua bahasa. Sedangkan 1 bahasa pun dia sudah lambat. Apatah lagi bila disuruh ingat 2 bahasa berbeza.
Maka, speech therapist sering menasihatkan kepada ibubapa supaya tumpu pada 1 bahasa dominan keluarga saja. Jangan cakap rojak dah.
Pada pandangan pribadi saya pula, jika anda benar-benar nak juga guna bilingual, pastikan:
1) Anda memang fasih kedua-dua bahasa. Anda sendiri tak kekok dengan mana-mana bahasa tersebut.
2) Ibu bapa mestilah luangkan masa dengan anak MELEBIHI dari tempoh anak di depan kartun.
Isu bahasa ini biasanya lebih rumit apabila anak mula nak masuk darjah 1 sekolah kebangsaan. Cikgu di tadika mula complain pasal anak tak faham arahan dan tak menjawab soalan cikgu di dalam kelas.
Apabila mendaftar anak ke darjah 1 sekolah kebangsaan, nak tak nak, anak tetap kena berdepan dengan bahasa melayu kerana cikgu dan kawan bercakap bahasa melayu.
Melainkan jika anda memang nak daftar anak ke sekolah antarabangsa. Itu lain cerita.
Ini ialah realiti hari ini. Maka berdepan dengan realiti dan buat keputusan bijak demi masa depan anak anda.