Dapat Fateh Satu Nikmat! Adam Corrie Tetapkan Syarat, Fateh Perlu Hafal & Faham al-Quran

Share

Pelakon Adam Corrie Lee, bersikap terbuka jika anak lelakinya, Adam Fateh Lee, yang baru berusia setahun mahu membabitkan diri dalam bidang lakonan apabila dewasa kelak.

Adam atau nama penuhnya Adam Corrie Lee Abdullah, 51, berkata, keizinan itu bagaimanapun, diberi bersama syarat, anaknya perlu menghafal dan memahami isi kandungan al-Quran sebelum melangkah ke dunia glamor.

“Sebagai ayah, saya turutkan apa sahaja yang anak mahukan, asalkan membawa dirinya ke arah kebaikan. Begitu juga jika Fateh mahu terbabit dalam industri hiburan.

“Saya terbuka dalam perkara itu, tetapi dengan syarat, dia perlu menghafal dan memahami al-Quran dahulu,” katanya.

Tambah Adam, dia percaya, dengan pegangan agama yang kuat, setiap langkah dan tindakan Fateh akan dilakukan dengan penuh berhati-hati.

Malah, katanya, mendalami al-Quran juga dapat membantu rakan seperjuangan yang memerlukan bimbingan dan kefahaman mengenai Islam.

“Ilmu sangat penting dalam hidup, malah setiap kali berdepan dengan kemusykilan, kita dapat memberikan jawapan berlandaskan ajaran al-Quran.

“Ia secara tidak langsung, mengelakkan diri daripada terpengaruh perkara yang tidak baik. Ke mana sekalipun kita pergi, kita pasti akan berbalik kepada ajaran al-Quran jika diterapkan dengan asas agama yang kukuh,” katanya.

Adam mendirikan rumah tangga dengan Fazema Mohd Fuad, 37, pada 2008 dan dikurniakan Fateh pada 11 Julai tahun lalu.

Sementara itu, Adam berkata, dia dan isteri turut merancang untuk mendapat anak kedua, namun mereka perlu terlebih dahulu merujuk pandangan doktor.

“Ketika mengandungkan Fateh enam bulan, isteri mendapat darah tinggi dan kami hampir kehilangan anak sulung. Untuk zuriat seterusnya, jika kesihatan isteri baik dan doktor izinkan, kami akan cuba.

“Semua itu bergantung pada rezeki. Memiliki Fateh adalah nikmat yang tidak ternilai. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya doa kami mendapat zuriat dimakbulkan,” katanya.

Sumber: Berita Harian 

Published by
Wan Amy