Setiap ibu yang baru bersalin pasti ingin menyusukan sendiri anak yang baru sahaja dilahirkan. Namun dek kerana penyakit jantung berlubang yang dihidapi membuatkan Shahiera Afida Abdul Wahab, 21 dari Kota Bharu Kelantan terpaksa pasrah dan berhenti menyusukan anak sulungnya Maliki Azrul Majdi Wajdi yang kini berusia lima bulan.
Hanya sempat merasai pengalaman menyusukan anak selama 14 hari, tanggungjawab itu terpaksa dihentikan oleh ibu muda ini demi mengelakkan risiko terhadap jantungnya yang bermasalah.
Menurut laporan Harian Metro, Shahiera Afida menyatakan, ketika usia kandungan enam bulan, lubang di jantungnya hanya 0.6 sentimeter (cm) dan kini sudah menjadi 0.15 cm.
“Doktor meminta jangan menyusu badan secara terus kepada Iki (Maliki) kerana bimbang jantung berdegup laju dan tidak dapat mengepam darah ketika proses penyusuan.
“Iki hanya sempat menyusu badan secara langsung sehingga usianya 14 hari saja dan sehingga kini dia hanya bergantung kepada susu formula biasa.
“Memang agak terkilan dan sedih kerana tidak dapat menyusukan anak sendiri lebih-lebih lagi anak sulung namun saya reda untuk elakkan kesan kepada jantung,” katanya ketika ditemui semalam.
Tak Dapat Jalani Pembedahan Kerana Faktor Kewangan
Menurutnya, doktor mencadangkan dia menjalani pembedahan tiga bulan lalu namun tidak dapat dilakukan berikutan kekangan kewangan.
“Masalah utama kami sekarang adalah sumber kewangan kerana pembedahan itu mencecah ribuan ringgit dan kami tidak mampu.
Suami Ada Penyakit Jangkitan Paru-paru
Bagai jatuh ditimpa tangga, sudahlah keadaan kesihatan sendiri tidak mengizinkan, suami Shahiera juga tidak berapa sihat dan kini tidak bekerja kerana ada jangkitan kuman di paru-paru
“Suami hanya bekerja sebagai tukang rumah dengan pendapatan RM50 sehari dan kini sudah hampir sebulan tidak dapat bekerja kerana ada jangkitan kuman di paru-paru,” katanya.
Cari Kerja Sesuai Untuk Tanggung Keluarga
Suami Shahiera, Majdi Wajdi Muhamad, 29, berkata, kini dia tidak dapat bekerja dan hanya mengharapkan simpanan yang semakin berkurangan serta ihsan ahli keluarga.
“Saya perlu membuat pemeriksaan darah dan imbasan selepas ini bagi mengenal pasti penyakit yang dihidapi.
“Pada masa sama saya juga sedang mencari pekerjaan sesuai kerana tidak boleh berada dalam persekitaran berhabuk serta berdebu,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) atas nama Shahiera bernombor 03021-41-00001779-2.
Sumber: Harian Metro
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI