Empat beranak maut selepas motosikal ditunggangi mereka terbabit kemalangan dengan lori membawa muatan pasir di Kampung Semanggar Kota Tinggi, Johor.
Mereka yang maut dikenali sebagai Mohamad Suti Yahaya, 39, isterinya, Siti Jamaliah Mohd Yatim, 27, serta dua anak mereka, Nur Firman Hadi Abdul Rahman, 4, dan Nurfatihah Jannah berusia tujuh bulan.
Lihat gambar kemalangan di Facebook
Menurut ibu kepada Siti Jamaliah, Rosni Sintingan, 53, dia hanya mendapat tahu mengenai kemalangan menimpa anak, menantu dan dua cucunya itu kira-kira jam 3 petang, selepas dimaklumkan anak saudaranya yang melihat gambar kemalangan itu di Facebook.
Wanita itu kemudian bergegas ke lokasi kejadian, namun dimaklumkan anaknya dan cucu, Nurfatihah Jannah, sudah dibawa ke hospital.
“Apabila tiba di lokasi, saya hanya nampak jenazah menantu dan cucu lelaki sahaja yang masih terbaring di situ,” katanya.
Rosni berkata, dia tidak mengetahui ke mana keluarga itu ingin pergi sebelum kemalangan, namun percaya mereka mungkin keluar bersiar-siar ke pekan.
“Kalau cuti memang mereka akan berjalan anak-beranak. Mungkin mereka ke pekan Anggerik, Bandar Tenggara atau ke FELDA Pasir Raja berjumpa rakan.
“Kalau ikut arah lokasi kemalangan itu, mereka mungkin dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Mawai di sini,” katanya.
Tiada kereta, motosikal jadi kenderaan utama
Rosni berkata, keluarga anaknya memang menggunakan motosikal untuk ke mana-mana kerana tidak mempunyai kereta, malah beberapa hari lalu pasangan itu ke Negeri Sembilan menunggang motosikal kerana mempunyai urusan.
“Sebelum ini, mereka pernah juga terbabit kemalangan, namun hanya cedera.
“Kami pernah menasihati untuk beli kereta, namun mereka memaklumkan tidak apa. Kami kasihankan anak dan isterinya sahaja, tetapi tidak sangka perkara yang kami bimbangkan berlaku hari ini,” katanya.
Rosni berkata, kali terakhir dia bertemu anak sulungnya itu kelmarin, ketika suami isteri itu mengambil anak mereka yang ditumpangkan di rumahnya.
“Ketika mereka ke Negeri Sembilan, mereka menumpangkan dua anak mereka di rumah saya di FELDA Pasir Raja.
“Bila balik, mereka sempat tidur di rumah sebelum pulang ke rumah di Kampung Mawai. Masa itu anak seperti biasa sahaja tiada apa yang pelik.
“Kami bersalaman masa itu cuma bila saya nak cium dia, dia tak mahu,” kata ibu kepada tiga anak itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora ketika dihubungi mengesahkan kemalangan itu, namun memaklumkan siasatan lanjut masih dijalankan.
Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit. Ayuh, belajar cara didik anak untuk menyimpan sejak mereka kecil. Daftar sekarang di https://toko.ideaktiv.com/product/ajar-anak-simpan-duit/
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama)