Anak-anak yang masih kecil memang suka meneroka sekeliling mereka. Tambah pula yang sedang membesar berumur sekitar satu hingga dua tahun. Apa sahaja yang dilihat akan dimasukkan ke dalam mulut. Sebab itu kalau boleh elakkan ada permainan yang kecil di rumah bimbang anak-anak yang tengah teruja untuk meneroka ini akan tertelan atau memasukkan dalam rongga-rongga seperti hidung, telinga dan sebagainya.
Dalam satu kejadian yang dikongsikan di laman Facebook, ketika sedang menidurkan anak, si ibu terkejut apabila terdengar bunyi pelik yang datang dari kerongkong anaknya. Sebaik saja diperiksa, alangkah terkejutnya apabila dia mendapati terdapat objek kecil di dalamnya.
Maddy Grantham berkata, dia masih rasa bersalah dan menggigil ketika menceritakan semula kejadian itu. Namun dia tidak mahu kejadian itu berulang dan berkongsikan kejadian itu di Facebooknya sebagai peringatan kepada ibu bapa lain di luar sana.
Menurut Maddy, anak perempuannya, Maya, 2, gemar mempunyai banyak mainan kecil. Maya gembar menyusun mainan itu, menyuapnya, meletak mainan itu di atas katil dan sebagainya.
Kebiasaannya Maya dipantau oleh ibunya ketika bermain. Namun pada malam kejadian, Maya berjaya 'menyeludup' salah satu mainannya ke tempat tidur dengan meletakkan mainan itu di dalam mulut.
Oleh kerana terlalu mengantuk, Maya tertidur dan mainan tersebut masih berada di dalam mulutnya. Sementara ibunya pula berada di sebelah Maya, sedang menyusukan anak bongsu yang berusia 11 bulan.
Sebaik saja terdengar bunyi pelik itu, Maddy terus bergegas memeriksa mulut Maya dan mendapati mainan kecil itu berada di tekak anaknya.
Dia segera memanggil suaminya, Damion bergegas ke bilik dan meminta Maddy menghubungi ambulans sementara dia cuba mengeluarkan mainan itu dari mulut Maya.
Malangnya, mainan itu tidak dapat dikeluarkan biarpun sudah pelbagai cara dan usaha dilakukan, termasuk menonggengkan mangsa dan apa yang keluar adalah darah.
Sebaik saja ternampak darah itu, Damion tanpa berlengah menjolok mulut anaknya dan berjaya mengeluarkan mainan tersebut.
"Pihak ambulans tiba dan terus memeriksa keadaan Maya. Dia okey, mungkin tercedera sedikit di bahagian tekak.
"Saya tak dapat berhenti memikirkannya. Dia sudah terkulai layu dan nyaris hilang nyawa. Mainan itu telah dibuang ke tong sampah. Selepas ini kena buat spot check setiap malam. Ibu bapa sila berhati-hati," katanya.
1. Elakkan permainan yang tajam
2. Asingkan permainan untuk kanak-kanak daripada bayi
3. Kanak-kanak lebih suka merosakkan permainan, jadi pilih permainan yang lebih kukuh dan tidak mempunyai bahagian yang senang tertanggal.
4. Beli permainan yang bersesuaian mengikut umur. Baca pada label, dan jika ia tidak menyarankan untuk kanak-kanak bawah umur tertentu, jangan belikan untuk bayi anda.
5. Cari permainan yang boleh dibasuh atau mempunyai perkataan tidak beracun pada label, kebiasaannya permainan bayi memasukkan mainan ke dalam mulutnya.
6. Kurangkan risiko tercekik dengan tidak membeli permainan yang mempunyai bahagian yang kecil daripada 1.75 inch untuk bayi dan kanak-kanak. Arahan utama: sebarang objek yang boleh muat dalam gelung tisu tandas yang kosong ialah barang yang mudah tercekik dan perlu jauhkan daripada dicapai. Permainan yang mempunyai manik-manik perlu dielakkan juga, kerana bayi boleh tercekik atau sesak nafas jika mana-mana manik tersebut tertanggal dari mainan tersebut dan akhirnya termasuk ke dalam mulut bayi.
7. Jauhkan daripada permainan yang mempunyai tali, atau riben yang longgar kerana ia boleh terbelit pada leher bayi.
8. Elakkan pistol permainan atau permainan lain yang boleh menembak objek. Walaupun pistol yang biasa mampu menembak objek plastik boleh mencederakan mata dan mudah tercekik.
9. Beli permainan elektrik yang disahkan oleh UL, dan jangan benarkan anak anada menggunakan permainan yang menggunakan elektrik kerana ia mudah terkena renjatan dan terbakar,
10. Hati-hati dengan bekas permainan. Ia boleh tersepit jari kecil mereka dan kanak-kanak mudah memanjat masuk lalu terkurung dan sesak nafas.
Sumber: The Reporter, Maddy Rose