Dari Awal Gigi Susu Rosak Mungkin Boleh Ganggu Anak Bercakap Dan Menyebut Dengan Betul

Share

Penjagaan gigi susu tidak boleh dipandang ringan dan perlu dititikberatkan oleh ibu bapa dan anak itu sendiri. Ia adalah asas kepada kesihatan mulut dan gigi kekal sebaik kanak-kanak menginjak ke usia remaja dan memasuki alam dewasa.

Sekiranya tabiat penjagaan gigi yang baik tidak dipupuk sejak anak kecil iaitu ketika hanya memiliki beberapa gigi susu, ia akan memberi impak besar terhadap pembentukan gigi kekal yang sihat dan bebas sebarang masalah.

Seperti yang dikongsikan oleh Dr Iqbal Rosali, dalam memastikan perkara itu dapat dipraktikkan, ibu bapa individu paling rapat yang perlu mendidik gaya hidup sihat untuk anak mereka.

STIGMA GIGI SUSU YANG PERLU DIBETULKAN

❎ Gigi susu tak penting

Gigi susu penting sama seperti gigi kekal. Paling penting adalah untuk anak mengunyah makanan dan bercakap dan menyebut dengan betul.

❎ Biar gigi susu rosak sebab ada ganti

Gigi susu memang akan diganti dengan gigi kekal. Tetapi janganlah dibiarkan rosak kerana bila gigi rosak boleh berlaku jangkitan kuman dan menyebabkan gusi atau muka bengkak. Anak-anak juga mengadu sakit, demam dan susah mahu makan.

 Gigi susu jarang, gigi kekal akan jarang juga

Penyataan yang tidak tepat. Gigi susu jarang kerana saiz gigi yang kecil dan rahang anak-anak kita pula sedang membesar. Tulang rahang mulut yang membesar menyediakan ruang yang cukup untuk gigi kekal tumbuh.

❎ Gigi susu cantik gigi kekal susah tumbuh

Tidak ada kena-mengena. Gigi susu yang sihat dan cantik adalah sangat dipuji. Gigi kekal tumbuh mengikut jadual dan akan menghakis akar susu menyebabkannya longgar.

❎ Gigi susu rosak tidak apa

Janganlah begitu. Gigi susu yang rosak boleh memudaratkan kesihatan dan tumbesaran anak-anak.

❎ Gigi susu rosak, lebih baik cabut

Kalaulah semudah yang disebut. Budak-budak kecil tidak patut ditakutkan dengan doktor gigi dengan menunjukkan gigi rosak dan dicabut. Gigi susu yang rosak masih lagi boleh ditampal kalau lubang tidak terlalu besar atau dalam. Gigi susu juga menjadi panduan kepada gigi kekal untuk tumbuh. Kalau gigi susu dicabut awal, itu antara punca susunan gigi kekal menjadi tidak elok.

❎ Gigi susu susah nak dibersihkan

Susah dibersihkan kerana anak-anak kita tidak mahu gosok gigi. Oleh itu, ibu bapa hendaklah bantu gosokkan gigi mereka sekurang-kurangnya sehingga mereka berumur 6 tahun. Aktiviti gosok gigi perlu dibiasakan sejak dari kecil lagi dan ibu bapalah seharusnya menjadi contoh.

 Gigi susu sahaja, tak perlu diperiksa di klinik gigi

Inilah kesilapan dan stigma negatif paling besar sekali. Ramai ibu bapa tidak membawa anak-anak ke klinik gigi seawal yang mungkin. Hanya apabila sakit baru bawa. Kanak-kanak hendaklah dibiasakan dengan persekitaran klinik gigi supaya mereka tidak takut bila besar kelak. Bawa anak untuk pemeriksaan gigi walaupun tidak sakit seawal gigi pertama tumbuh.

Dr Muhamad Iqbal
Pegawai Pergigian

Published by
Wan Amy