Sebagai ibu bapa, anda pasti setiap anak bersatu hati, saling menghormati antara satu sama lain dan sayang menyayangi.
Memang kadang-kadang akan ada perbalahan kecil sesama mereka. Namun, jika anda sejak daripada awal, sudah mendidik mereka erti kasih sayang antara adik-beradik, tidak mustahil mereka akan berbaik dalam masa yang singkat lantaran tahu menilai kasih sayang yang telah anda terapkan dalam diri mereka.
Berikut adalah antara perkara yang perlu dilakukan semasa anak-anak anda masih lagi kecil. Diharapkan ia dapat membantu anda membina hubungan adik-beradik yang kukuh sepanjang hayat.
1. Makan bersama
Dalam sehari, pastikan anda dan anak-anak berkumpul seisi keluarga untuk makan bersama-sama. Selesai makan, anda dan mereka boleh saling berbual dan bercerita tentang apa sahaja yang berlaku pada hari kejadian. Dengan yang demikian, semua ahli keluarga berasa seronok apabila dapat terlibat dalam aktiviti seharian masing-masing.
2. Jaga antara satu sama lain
Sentiasa ingatkan anak-anak untuk menjaga diri mereka antara satu sama lain. Yang lebih berusia perlu tengok adiknya yang lebih kecil. Malah anak yang lebih muda pun boleh melakukan perkara yang sama juga.
Sebelum tidur katakan pada anak-anak “Abang atau kakak perlu jaga adik. Begitu juga adik. Perlu juga jaga abang atau kakak.” Percayalah jika dari kecil anda sudah ingatkan perkara ini kepada anak-anak, apabila mereka dewasa kelak, pesanan ini akan sentiasa kukuh dalam ingatan mereka.
3. Berlaku adil
Tanpa sedar, kadang-kadang ibu bapa itu sendiri berlaku tidak adil kepada anak-anaknya.
Paling biasa dilakukan ialah apabila adik buat silap, kakak atau abangnya akan dipersalahkan. Hal sebegini akan membuatkan anak yang tua berasa kecil hati dan berdendam kepada adiknya.
Sama juga halnya apabila membeli sesuatu barangan. Pastikan anda sentiasa berlaku adil. Hal ini penting untuk tidak menimbulkan perasaan cemburu di antara mereka. Tidak kira apa-apa pun, sebenarnya setiap anak mahu dihargai secara sama rata. Untuk itu, anda perlu bijak mengawal keadaan.
4. Tolong-menolong
Biarpun anak-anak masih kecil tetapi sikap tolong-menolong perlu diajar daripada awal. Antara yang boleh anda lakukan ialah meminta adik dan kakak atau abangnya sama-sama mengemas alat permainan yang telah digunakan semasa bermain bersama-sama. Sambil mereka mengemas, jangan lupa selitkan kata-kata pujian kepada mereka. Pastikan mereka bangga dapat berbuat baik sesama sendiri.
5. Tunjukkan contoh baik
Jika mahu anak-anak berhubungan baik antara satu sama lain, anda sendiri pun perlu menjaga hubungan dengan adik-beradik. Sikap saling tolong-menolong, ziarah-menziarahi dan saling berhubung antara anda dan adik-beradik, secara tidak langsung menunjukkan bahawa ikatan kekeluargaan yang ada itu perlu dijaga setiap masa. Contoh yang baik seperti ini dapat mereka jadikan panduan di masa hadapan mereka.
Jom, join Gathering Ibu Hamil Menawan sekarang! Banyak aktiviti dan hadiah menarik menanti dan penampilan istimewa Pn. Nad Masrom. Klik DAFTAR segera!
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI