Dalam bab mendidik anak, ibu bapa rasa dah betul. Sedangkan ia sebenarnya satu proses yang tak pernah habis untuk dipelajari. Mungkin ketegasan kita itu boleh buat anak dengar kata, tapi sebaliknya kita tak tahu.
Bukan itu saja, nak didik jiwa anak untuk sentiasa menghormati orang tua dan berakhlak baik, bukan sesuatu yang mudah. Di sini Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah kongsikan tip untuk ibu bapa.
Nak anak selalu sopan dan sentiasa hormat orang tua, kalian perlu lakukan hal ini pada anak:
1. Membina hubungan positif dengan anak.
Ubah daripada kerap beri ancaman pada anak seperti:
“Adik, cepatlah mandi, nanti lambat! Nanti ayah marah adik. Dia pukul adik dengan rotan kang!”
Menakutkan untuk buat anak patuh tak boleh selalu. Anak akan dilatih sifat takut dan jadi pendendam. Hati-hati.
Sebaiknya tukarkan kepada:
“Adik, cepat mandi. Siapa selalu mandi awal, orang tu bersih. Allah sangat sayang orang pembersih. Mak dengan ayah pun makin sayang adik tau!”
Perlu tonjolkan kesan yang positif supaya benda tu akan diset dalam minda anak untuk sentiasa fokus pada perkara positif. Jiwa, minda dan hati mereka juga akan positif. In shaa Allah.
2. Selalu beri anak kesempatan.
Anak perlu diajar bagaimana untuk mengemas meja makan, bagaimana memperkenalkan orang lain, dan bila untuk kata, “silakan, terima kasih atau saya minta maaf.”
Nak anak buat semua tu, kita sebagai mak ayah perlu tunjukkan cara dan tauladan yang betul. Mereka akan lihat dan ikut nanti perlahan-lahan.
3. Berikan ruang untuk belajar dan berkembang.
Biarkan anak ada ruangnya sendiri namun tetap dalam pantauan kita. Ada satu sudut di rumah untuk dia conteng, bereksprimen dan menyerlahkan kreativiti dan ruang imaginasinya sendiri.
Satu sudut atau bilik itu mungkin pada pandangan kita nampak berselerak. Tak mengapa. Itu lapangan belajarnya. Ajar mereka untuk optimumkan ruang itu namun bila saat selesai, bimbing mereka untuk kemas semula tempat mereka ya.
4. Jadikan rumah kita sebagai tempat untuk anak merasa bahawa ia adalah tempat paling selamat, rasa disokong dan diterima serta dirai setiap kali mereka pulang dari sekolah atau kedai.
Tunjukkan ‘excitement’ tu setiap kali anak muncul depan mata. Mula dari kecil sampai mereka dewasa.
5. Tanamkan pada anak bahawa maksud ramah dan sopan itu akan membantu anak lebih berkeyakinan tinggi dan menghargai hubungan dengan orang tua.
Apapun, kita perlu sebagai orang tua, perlu tonjolkan role model yang positif sejak mereka masih kecil. Apa juga yang mak ayah praktikkan, semua itu akan dirujuk dan ditiru baik secara langsung dan tidak langsung.
Tok Abah kerap berpesan dalam webinar, seminar dan program yang Tok Abah kendalikan, sekolah dan universiti pertama untuk anak bermula dari rumah. Ibu bapalah yang jadi guru dan pensyarah pertama bagi mereka.
Jadikan rumah kita sebagai gedung ilmu untuk anak belajar dan bereksplorasi. In shaa Allah, mereka rasa selamat dan membesar menjadi manusia yang bermanfaat untuk masyarakat serta dunia.
Kredit: Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah
Bina keluarga harmoni dari awal ya.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!)