Datuk Siti Akan Mulakan IVF Selepas Aidilfitri. Usaha Beri Aafiyah Adik

Share

Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mendedahkan bakal memulakan sesi rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri bulan Mei ini.

Jelas Siti, pembedahan minor yang dijalani selepas persembahan di pentas Anugerah Juara Lagu ke-34 beberapa minggu lalu adalah persiapan awal untuk rawatan terbabit.

“Saya dalam tempoh yang hampir pulih dah, pembedahan sebelum ini hanyalah pembedahan kecil sahaja.

“Doktor pun menasihati saya untuk bersenam dan menjalani rutin seperti biasa sebelum memulakan rawatan IVF.

“Insya-Allah jika tiada halangan saya akan memulakan rawatan itu selepas raya (Aidilfitri),” katanya kepada Gempak.

Siti ditemui pada majlis pelancaran produk makanan tambahan Haney D’Jiwa di EQ Plaza Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sebelum ini Siti memberitahu niatnya untuk menimang cahaya mata lelaki pada tahun ini menerusi rawatan IVF.

Malah, pelantun lagu Terang itu bakal berehat panjang bagi memenuhi tuntutan proses berkenaan.

Pada 2015 Siti pernah mengalami keguguran dan kemudiannya berkongsi khabar gembira tentang kehamilannya dua tahun kemudian.

Hasil perkongsian hidup bersama Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Siti Aafiyah yang berusia 2 tahun.

Sumber: Gempak

 

Published by
Wan Amy