Penyanyi kesayangan ramai rakyat Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza berkongsi menu pantangnya yang nampak sedap dan tentunya berkhasiat.
Tempoh berpantang sangat penting untuk ibu lepas bersalin kerana ia bermaksud tempoh masa untuk ibu kembali cergas dan pulih selepas bersalin.
Lepas bersalin, ibu memang kena jaga makan. Selepas bertarung nyawa melahirkan bayi, ibu perlu melalui fasa pemulihan untuk mengembalikan semula tenaga yang hilang.
Selain banyak berehat, merawat diri secara tradisional atau moden, ibu lepas bersalin kena jaga pengambilan makanan sepanjang berpantang.
Perlu diingatkan yang amalan pemakanan yang mengutamakan pengambilan makanan berkhasiat penting untuk mengembalikan semula badan sihat dan bertenaga.
Siti berkongsi dalam instagram peribadinya menu pantang selepas dua hari melahirkan puteri sulungnya.
Ikan salmon bakar yang ditabur bawang putih bersama bubur nasi dicampur lobak merah memang sesuai untuk ibu yang baru melahirkan secara caesarean.
Ikan salmon bagus kerana mempunyai kebaikan mengurangkan risiko kemurungan selepas bersalin, memperbaiki fungsi otak dan membantu membina sistem saraf bayi.
Salmon kaya dengan DHA iaitu nutrien yang amat diperlukan bayi untuk perkembangan otak dan saraf. DHA disalurkan kepada bayi melalui susu ibu.
Salmon juga membantu mengelakkan postpartum depression atau kemurungan selepas bersalin.
Asid lemak dan omega-3 asid lemak juga dikatakan untuk meningkatkan penghasilan susu ibu. Lemak yang sihat adalah satu komponen utama susu ibu dan adalah penting untuk pengeluaran hormon, yang membantu dalam mengawal pengeluaran susu.
Sementara bawang putih memang makanan yang mempunyai banyak khasiat antaranya bagus untuk menurukan kadar kolesterol badan dan membuang angin dalam badan yang sesuai diamalkan sebagai menu makanan ibu berpantang.
Goreng sahaja garing-garing dan taburkan atas ikan yang digril. Cukup menyelerakan dimakan dengan bubur nasi campur sayur-sayuran seperti menu berpantang Datuk Siti itu.
Mungkin ibu-ibu yang sedang menjalani tempoh berpantang macam Siti pun boleh cuba sediakan menu yang sama.