Pesanan untuk yang bergelar ibu bapa, berhenti ‘dera’ anak dalam senyap. Rupanya itu antara punca anak kurang rasa hormat pada kita bila besar nanti.
Abah, rama-rama ni nak warna apa?”.
“Warna je la apa-apa pun Izni,” sambil tangan sibuk scroll Facebook.
Sedar tak kita sedang ‘dera’ anak dalam senyap?
Ya, memang kita tidak dera melalui fizikal. Tidak rotan, tidak sebat dengan tali pinggang mahupun hanger, tidak menggunakan getah paip atau batang pokok betik untuk mendera, tapi dalam tak sedar ada ‘penderaan’ yang maha dasyat kita telah lakukan terhadap anak kita. Apakah penderaan itu?
Dari segi emosi, penderaan emosi adalah satu trauma psikologi yang mencerobohi lapisan minda seseorang itu dan terganggu untuk jangka masa pendek mahu pun panjang. Antara contoh yang paling mudah:
1. Mengabaikan anak.
“Eh, mana ada saya abaikan anak saya. Makan minum dan pakaian semua cukup. Siap lebih lagi,”. Itu kata anda. Apa pula kata anak anda?
Cuba tengok situasi ini.
Anda balik kerja waktu petang. Seharian anda di pejabat, anak anda pula di tadika/sekolah. Waktu bersama anak dan isteri hanya sebelah malam.
Dan waktu malam inilah anak-anak nak bercerita dengan anda. Nak beritahu apa yang berlaku di tadika/sekolah. Betul? Tapi anda perasan tak, sewaktu anak anda bercerita, apa yang anda lakukan? Tengok muka anak anda? Atau anda lebih fokus pada televisyen? Atau Facebook? Whatsapp? Handphone di tangan?Anda sedar tak anda telah mengabaikan perasaan anak anda.
Bila anak ajak anda main, anda beri alasan penat, tak larat, walhal anda malas nak layan. Nak main handphone, game dan sebagainya. Betul?
2. Tidak memuji anak, tak beri sokongan.
Anak dapat no. 7, no. 9, no. 19, adakah anda memuji anak? Beri kata-kata semangat? Atau anda langsung tak ambil tahu?
Bila anak tolong kemas mainan, tolong basuh pinggan, tolong kita ambil air untuk minum, adakah kita memuji atau mengucapkan terima kasih? Sepatutnya dari kecil ini kita sudah melatih anak untuk berterima kasih kepada orang.
3. Jangan jadi batu/ dinding.
Anak hampiri kita, tanya kita tentang warna apa yang sesuai untuk warna lukisan rama-rama. Kita pula sibuk melayan video di Facebook. Tak menjawab persoalan anak kita, sehinggakan anak kita berlalu pergi. Punyalah batu kita ni. Tak bolehkah kita ‘Pause’ sebentar video tersebut dan bagi perhatian pada anak? Video tu akan hilangkah? Atau anda lebih rela perasaan anak anda hilang? Ya, ni kesilapan yang kita sedang buat.
4. Terlalu cerewet, teliti.
Jangan kita terlalu cerewet jika anak dalam situasi seperti ini:
Anak nak pakai selipar tak boleh, kena pakai kasut.
Anak nak pakai baju warna kuning tak boleh, kena pakai baju merah.
Anak dapat no.5, marah.
Kita nampak benda ini remeh, tapi hakikatnya penderaan ini boleh mengganggu emosi dan peribadi anak-anak.
5. Biar anak buat keputusan sendiri.
Ya, sesekali biarkan anak buat keputusan sendiri. Biar tahap ‘confident’ anak lebih tinggi. Jadi dia akan lebih berdikari dan tidak dibuli.
Anak tanya, “Abah, nak pakai baju ultraman ke baju upin ipin?”. Abah pun jawab, “Ikut suka Izni la nak pakai baju apa pun,”.
Betul ke jawapan kita? Salah !
Cuba begini, ” Malam ni Izni nak jadi ultraman ke upin ipin?” Jadi mereka boleh berfikir dan buat keputusan dari soalan kita itu. Semuanya kena bermain dengan kata-kata. Kita perlu lebih kreatif melayan kerenah anak-anak.
6. Merendah-rendahkan anak
Pernah kita rendah-rendahkan anak depan orang? Tidakkan? Tapi sedar tak, kadang-kadang kita tak perasan yang kita sebenarnya dah rendahkan anak-anak.
Contohnya, bila orang puji anak kita ” Rajinnya Amni tolong angkat pinggan mangkuk dan siap basuh,”.
Tapi kita pula jawab, “Biasalah tu, kat rumah orang dia rajin la sikit. Kalau kat rumah tu, pinggan lepas makan tinggal sahaja dalam sinki”. Pernah tak alami situasi ni? Dalam tak sedar kita dah lukakan emosi anak kita. Daripada nak jadi baik, terus tak baik-baik.
Alangkah lebih elok kita memuji anak kita, supaya pujian itu boleh dibawa ke rumah seandainya betul sekalipun anak kita malas.
7. Tidak memperjuangkan atau ‘back up’ anak.
Anak cakap, Abu curi pemadam dia. Kita hanya balas, “Tak apa lah, kita beli baru nanti,”.
Kita boleh sahaja balas, ” Mana boleh macam itu, itu hak Izni. Izni kena laporkan kepada guru. Tuntut semula hak Izni,”. Anak kita akan lebih rasa dihargai dan lebih berkeyakinan. Jangan biarkan anak kita jadi mangsa buli fizikal dan mental.
8. Sikap penolakan terhadap permintaan.
Tak semua benda kita boleh terima dan tak semua benda juga kita boleh tolak. Begitu juga dengan anak-anak.
Sesekali kita tunaikan permintaan anak. Jika kita tidak mampu, kita cuba berikan dalam bentuk/perkara yang lebih menyenangkan kita.
Tapi ingat, bukan selalu kita boleh penuhi. Jika tidak, nanti akan naik lemak pula. Kena tahu cara untuk atasi permintaan.
Kesimpulannya jangan merungut tiada masa untuk anak. Cuba bahagikan masa untuk mereka kerana mereka lahir dari darah daging kita. Kita yang mencorakkan mereka. Jika kita corakkan hitam, hitamlah jadinya.
Sumber: Facebook Khairil Izham
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI