Bergelar seorang bapa bukan hanya sekadar punya tanggungjawab menyediakan makan dan pakai anak bahkan bagi pelakon, Saharul Ridzwan ia menjadi titik tolak hidupnya merubah menjadi bapa yang lebih baik.
Malah menurut kata Saharul yang dipilih sebagai penerima Anugerah Best Papa Mellinial 2022, kehadiran dua cahaya mata dalam hidupnya banyak merubah hidupnya ke jalan Allah.
Berkongsi kisahnya bergelar bapa kira-kira lima tahun yang lalu, kelahiran anak sulungnya, Muhammad Luth Ali pada 6 Jun 2017 merubah hidupnya. Begitu juga nalurinya semakin bertambah lengkap dan bahagia sejak punya anak keduanya, Fateema Azzahra.
“Bila dah ada anak pertama ni banyak benda nak kena explore dan belajar. Belajar macam mana nak tukar pampers, nak buat susu dan sebagainya tapi bila datangnya anak kedua ni lebih kepada macam mana nak susun pendidikan anak sekaligus belajar macam mana nak kendalikan emosi anak-anak.
“Anak pertama macam mana, anak kedua macam mana pulak. Kalau bercerita pasal momen sejak ada anak ni macam-macam cerita.
“Macam mana kita kena tahan bila anak makan bersepah dekat kedai makan, tumpahkan air dan sebagainya. Semua itu momen yang menjadikan kita lebih matang dalam menjadi seorang pendidik,” kongsinya memulakan bicara.
Kongsi doa & amalan untuk dapat anak perempuan
Berkongsi kisah kehamilan dua anaknya, akuinya Saharul dia sememangnya begitu menginginkan anak perempuan bila isterinya, Qabilla Deena Emir Mohammed disahkan hamil anak kedua.
Tidak mahu melakukan pemeriksaan jantina, sebaliknya Saharul dan isterinya memilih untuk berdoa saban hari demi memperoleh anak perempuan.
“Masa isteri saya mengandung kali kedua ni, saya sebenarnya nak sangat-sangat anak perempuan. Saya cakap dekat wife, saya nak anak perempuan tapi saya tak nak buat test untuk check jantina anak.
“Saya cakap saya hanya nak amalkan doa dan saya dan isteri amalkan doa bersungguh-sungguh setiap masa demi untuk dapatkan anak perempuan.
“Kalau orang lain dah excited sebab tahu nak dapat anak apa, lain pula kisahnya saya dan isteri yang sentiasa teruja berdoa untuk dapatkan anak perempuan. Rasa terujanya lain macam sebab kita sentiasa nak doa.
“Lagi nak dekat bersalin lagi rasa nak kuat doa pada Allah. Dan bila Allah makbulkan doa kami berdua, rasa seronok sangat,”luahkan lagi.
Tidak hanya isterinya, bahkan kata Saharul lagi dia turut mengamalkan amalan tertentu dalam usahanya untuk berdoa pada Allah.
“Apa yang saya amalkan adalah dengan baca selawat, istiqomah dan sentiasa minta dengan Allah setiap hari. Saya juga sentiasa baca Quran dan banyakkan bangun solat malam. Isteri saya pula sentiasa amalkan doa-doa khususnya setiap hari.
“Kami juga dan merancang untuk menambah anak namun semuanya bergantung kepada rezeki Allah. Sebolehnya tidaklah terlalu lambat memandangkan usia saya juga semakin meningkat,” kongsinya lagi.
Punya anak lelaki dan perempuan, akui Saharul Ridzwan dia terpaksa menggunakan pendekatan berbeza dalam mendidik mereka.
“Untuk ajar anak-anak ni kita di rumah mak ayah perlu kuat. Kita as parent kena tunjukkan pada anak-anak.
“Kalau kita suruh anak baca Quran tapi dia tak pernah nampak kita baca Quran, tak jadilah. Kita kenalah mulakan dulu, biar anak nampak dan barulah anak akan ikut,” katanya lagi.
Berhijrah demi cinta hati
Berkongsi kisah penghijrahan dan momen berharga sejak bergelar bapa, Saharul mengakui dia berubah ke jalan yang lebih baik semuanya demi anak-anak dan keluarga.
“Datangnya satu rasa tu bila ustaz bagitau saya, kita sebagai seorang bapa memang kita kena sediakan tempat tinggal, nafkah dan pendidikan tapi adakah kita perkenalkan pencipta kita pada anak-anak.
“Sejak itulah saya start ajar Ali, bukan saya yang bagi Ali makan tapi Allah. Benda yang kita rasa simple tapi perlu diterapkan buat anak-anak. Pergantungan rezeki pada Allah,” kongsinya lagi.
Terdahulu, Saharul dan isterinya Qaabila Deena Emir Mohammed mendirikan rumah tangga pada 16 September 2016 di Putrajaya. Pasangan ini dikurniakan dua orang cahaya mata, Muhammad Luth Ali dan Fateema Azzahra.
Menarik: 6 Bulan Ni, Sayalah Paling Bahagia, Rutin Urus Bilal Mencabar Tapi Membahagiakan PU Riz!
Ayuh, kembalikan kesegaran dan tenaga anda bersama pasangan tersayang melalui Bengkel Refresh & Recharge: Jom Kembali Semangat!
Daftar di https://toko.ideaktiv.com/product/jom-kembali-semangat/
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!