Demam Lebih 38′, Mengigil & Sawan Antara Tanda Anak Dijangkiti Influenza, Perlu Ambil Vaksin Setiap Tahun

Share

Influenza, selesema dan demam denggi, ramai ibu bapa yang keliru untuk membezakannya. Demam bersuhu tinggi, menggigil dan sawan panas adalah antara tanda-tandanya. Tidak patuh kepada arahan kuarantin punca ia merebak.

Menurut Dr Mohammad Iqbal Mohammad Sarwar, Pakar Pediatrik, serangan virus influenza boleh mengakibatkan penyakit berjangkit pada saluran pernafasan. Ia adalah sejenis penyakit yang pernah menular di seluruh dunia sebagai pandemik pada tahun 2009 yang menyebabkan kematian di Malaysia.

Negara beriklim sederhana Amerika Syarikat mempunyai musim penularan influenza yang jelas di mana kemuncak penularan pada musim sejuk. Hal ini berbeza dengan negara-negara beriklim tropika seperti Malaysia di mana tiada musim penularan influenza yang jelas. Ianya boleh berlaku sepanjang tahun. Disebabkan itu pencegahan dengan vaksin influenza amat disarankan untuk melindungi dari wabak influenza yang menyerang tanpa batasan musim di Malaysia.

SERANGAN INFLUENZA MIRIP DENGGI

Serangan influenza menyebabkan demam yang bersuhu tinggi iaitu kira-kira 38° hingga 40° Celcius. Pada peringkat awal ia mirip dengan serangan denggi di mana suhu yang dicatatkan tinggi sehingga kadang-kadang pesakit menggigil dan kanak-kanak kecil boleh diserang sawan panas (febrile convusion).

Virus influenza terdiri daripada empat jenis iaitu A,B,C dan D. Jenis yang biasa menyerang manusia dengan teruk ialah influenza A dan influenza B manakala C tidak mengakibatkan serangan yang hebat. Jenis D pula biasanya tidak menyerang manusia dan banyak melibatkan haiwan.

Influenza jenis A dan B pula terbahagi kepada beberapa strain atau subtype iaitu diantaranya Influenza A: H1N1, H3N2 dan H5N1. Manakala Influenza B: Yamagata dan Victoria

UBAT HANYA BERKESAN DALAM MASA SINGKAT

Jangan lupa bawa si kecil ke klinik dengan segera sekiranya mendapati suhu badannya tinggi dan ubat hanya berkesan dalam masa yang singkat. Influenza yang menyerang kanak-kanak akan memberikan beberapa tanda seperti berikut;

  1. Demam yang bersuhu tinggi
  2. Batuk
  3. Sakit tekak
  4. Hidung berair
  5. Sakit kepala dan muntah-muntah
  6. Sakit otot dan badan
  7. Lemah dan lesu
  8. Tidak berselera untuk makan
  9. Badan berasa sejuk

BEZA INFLUENZA & SELESEMA

Influenza berbeza daripada selesema biasa di mana selesema biasa disebabkan oleh beberapa virus lain seperti rhino virus yang mengakibatkan mata berair, sakit kepala yang tidak terlalu teruk, bersin dan hidung berair. Jarang suhu terlalu tinggi. Influenza merupakan penyakit luar biasa yand kesannya lebih melampau dari selsema biasa dan hanya disebabkan oleh virus influenza semata-mata.

CARA NAK KENALPASTI INFLUENZA

Bagi mengenalpasti serangan influenza, doktor terlebih dahulu akan meneliti tanda-tanda yang berkaitan. Setelah mengenalpasti simptom influenza, doktor akan melakukan ujian nasopharyngeal swab iaitu pengambilan sampel hingus daripada bahagian belakang rongga hidung.

 

TIDAK KUARANTIN PUNCA INFLUENZA REBAK

Penyebaran virus influenza terjadi menerusi titisan cecair pernafasan yang menitis keluar apabila individu yang dijangkiti bercakap, bersin atau batuk. Apabila ada anggota yang dicemari virus seperti tangan menyentuh objek seperti mainan kanak-kanak, tombol pintu dan sebagainya dan kanak-kanak lain pula menyentuhnya dan memegang hidung. Ini adalah contoh perebakan yang sering berlaku.

Bagi kanak-kanak, taska, tadika dan pusat penjagaan menjadi lokasi merebaknya penyakit ini apabila kanak-kanak yang menghidap influenza tidak dikuarantin dengan baik iaitu kira-kira tujuh hari selepas demam.

Selain taska, tadika dan pusat penjagaan, mana-mana lokasi yang tertutup yang ramai orang seperti pusat membeli belah, pawagam, restoran dan pusat permainan kanak-kanak boleh menjadi lokasi merebaknya virus influenza. Selain itu taman tema air, kemudahan awam dan kolam renang awam juga sama.

WAJIB KUARANTIN 7 HARI, MAJIKAN PERLU PRIHATIN

Sebaik-baiknya, kanak-kanak yang dijangkiti influenza perlu dikuarantin selama sekurang-kurangnya tujuh hari supaya mereka tidak menyebarkan virus tersebut kepada orang lain.

“Selepas keluar dari wad, teruskan proses kuarantin di rumah dengan mengasingkan anak daripada ahli keluarga yang lain. Ibu, bapa atau penjaga perlulah kerap membasuh tangan dan mengamalkan adab dan tatacara bersih diri  yang baik seperti pemakaian tisu apabila bersin atau batuk.

 

“Untuk melindungi diri lagi dari terhidu titisan cecair pernafasan yang tercemar pemakaian alat pernafasan yang sesuai seperti topeng hidung dan mulut (mask) boleh membantu,” kata Dr Iqbal

Dalam tempoh tujuh hari ini, biar anak berehat di rumah dan kurangkan sentuhan fizikal dengan orang lain. Ini kerana mereka dalam proses pemulihan dan antibodi masih lemah. Jangkitan dan bakteria senang menghinggapi kanak-kanak dalam fasa ini. Para majikan perlu memberi kerjasama kepada staf yang bercuti kerana menjaga anak yang sakit akibat virus ini.

INFLUENZA SEPATUTNYA BOLEH DIELAK DENGAN VAKSIN

Serangan influenza boleh dielak dengan cara mendapatkan vaksin. Vaksin influenza boleh diambil kanak-kanak yang berusia enam bulan ke atas. Vaksin influenza merupakan vaksin tahunan yg diambil setiap tahun untuk melindungi badan dari bahaya virus influenza yang sering bertukar sifat dari tahun ke tahun.

Pantauan Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau the World Health Organisation (WHO) memastikan vaksin yang diambil sesuai dengan spesies virus influenza yand menular pada tahun tersebut.

Pada tahun pertama bagi mereka yg dibawah umur 8 tahun, vaksin ini terdiri daripada dua suntikan yang diberikan pada dua bulan berturut-turut. Namun bagi mereka yg umurnya 8 tahun keatas hanya satu suntikan di perlukan walaupun pada tahun yang pertama.

Konsep vaksin tahunan ini membuatkan vaksin influenza lain sedikit dari vaksin yang lain. Ibu bapa tidak perlu khuatir kesan sampingan kepada si manja kerana vaksin ini diperbuat daripada vaksin tidak aktif dan mati.

Terdapat dua jenis vaksin boleh diambil iaitu vaksin influenza 3 strain dan vaksin influenza 4 strain. Adalah juga dinasihatkan untuk mendapatkan vaksin ini jika anda ingin membawa kanak-kanak ke negara-negara luar seperti Amerika Syarikat, Emiriyah Arab Bersatu dan sebagainya. Selain vaksin meningococcal yang sememangnya diwajibkan, vaksin influenza juga disyorkan kepada mereka yand ingin pergi ke tanah suci Mekah untuk menunaikan ibadat haji atau umrah.


Sila bertanya dengan pakar perubatan untuk maklumat lanjut tentang vaksin influenza ini yang sememangnya boleh mencegah wabak influenza dari terjadi. Bukankah pencegahan lebih baik dari rawatan?

 

Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!

Published by
NuFa