Risau dengan kesihatan dan juga keselamatan isteri tercinta yang sedang mengandungkan anak pertama, pelakon dan penyanyi Fattah Amin menyatakan bahawa dia tidak boleh lalai dengan prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan oleh kerajaan selain mengelak daripada berjumpa dengan ramai orang.
Kata Fattah, dia tak boleh lalai dengan SOP kerana dalam masa sama perlu menjaga isterinya, Fazura yang sedang hamil.
“Memang saya risau dengan Fazura sedang hamil anak pertama kami. Tapi dekat mana-mana kita pergi pun wabak itu ada.
“Selagi kita semua jaga jarak dan lakukan SOP yang ditetapkan, insya-Allah semuanya selamat,” katanya kepada portal hiburan, Gempak.
Tambah pemilik nama Abdul Fattah Mohd Amin dia memilih untuk tidak bergaul dengan orang ramai sekiranya tidak memerlukan.
“Saya memang akan pastikan sentiasa ikut SOP. Saya tidak akan senang-senang nak campur dengan orang ramai, jaga jarak dan tak bersalam dengan orang lain.
“Kalau saya jaga semua itu, tak ada la bawa sampai ke rumah. Apa-apa pun kena pandai jaga diri. Insya-Allah tak ada apa-apa,” katanya lagi.
Menjenguk ke laman sosial Instagram milik pelakon Gol & Gincu, Fazura yang sedang menunggu kelahiran anak pertama yang dijangka lahir pada Oktober depan ada berkongsi foto terkini dirinya yang sedang hamil.
Ramai yang mendoakan agar segala urusan pelakon jelita itu dipermudahkan.
Fattah Amin mendirikan rumah tangga dengan Fazura pada 27 November 2017.
Sumber: Gempak & IG Fazura