Siapa sangka dari seorang yang mabuk darah sampai boleh pengsan, bila isteri bersalin seolah-olah dapat kekuatan sendiri untuk menyambut kelahiran anak.
Ini yang dilalui oleh Khairul Nizam Abdul Ghalim, 43, yang begitu bersyukur dan berterima kasih pada Allah kerana impiannya untuk memiliki zuriat sendiri dimakbulkan.
Walaupun berkahwin di usia yang lewat dan isteri keguguran beberapa bulan selepas berkahwin, ternyata perancangan dari-Nya adalah terbaik.
Menurut Khairul Nizam, ketika isterinya, Suzyazwarni Alias keguguran, doktor ada menjelaskan untuk hamil kali kedua mungkin sukar dan berisiko kerana faktor umur.
“Memandangkan isteri pun sebaya, saya anggap jika Allah nak bagi rezeki lagi selepas ini kami sangat bersyukur.
“Tak di sangka selepas balik dari mengerjakan umrah, Mac tahun lalu, isteri disahkan mengandung untuk kali kedua. Bagai tak disangka doa kami di Mekah semasa mengerjakan umrah dimakbulkan.
“Bermula dari itu, perjalanan mengandung isteri saya sama seperti wanita lain. Cuma yang doktor risaukan disebabkan mengandung di usia 40-an ada beberapa perkara kena jaga.
“Berulang alik ke klinik buat pemeriksaan dan temujanji doktor kami tak kisah, paling penting anak dalam kandungan sihat,” jelasnya.
Anak tak mahu tunjuk muka
Ketika kandungan isteri 6 bulan, perasaan teruja untuk melihat anak begitu berkobar-kobar. Setiap kali buat pemeriksaan doktor, perkara pertama saya nak tengok keadaan anak.
“Tapi apa yang buatkan saya jadi tak sabar menunggu kelahiran anak ini, setiap kali doktor scan, waktu itulah dia tak mahu tunjuk muka walaupun dah mengetahui jantinanya.
“Masuk 36 minggu, kerana masih belum dapat lagi tengok wajah anak, seminggu sekali saya bawa isteri buat scan tapi ternyata hasrat itu gagal hinggalah sampai masa isteri melahirkannya.
“Sebelum itu, saya dah niat walaupun mabuk darah dan mudah pengsan saya tetap nak jadi orang pertama yang melihat wajah anak. Macam tak percaya tapi hakikatnya saya berjaya melalui pengalaman ini,” katanya.
Sambut anak
Tanggal 30 Disember lalu, jam 3.38 petang isteri selamat bersalin. Masa dalam labour room, ketika tengok isteri menahan kesakitan, seperti ada satu tenaga luar biasa dalam diri untuk beri sokongan pada isteri.
“Sebak dan terharu melihat perjuangan isteri waktu itu. Baru tahu besarnya pengorbanan isteri bergelar ibu untuk menghadiahkan zuriat pada suami.
“Tak mahu melengahkan saya terus memberi semangat dan buat pertama kalinya menyambut sendiri anak walaupun dengan keadaan darah yang banyak.
“Waktu itu juga saya menggunting tali pusat anak sebelum menyerahkannya pada isteri. Tak terfikir pun saya mampu melalui pengalaman ini kerana masa kawan kemalangan dan membantunya pun saya pengsan sehinggalah sedar di katil hospital.
Betullah orang kata, kadang-kadang sesuatu perkara yang kita tak jangka tapi bila dapat kekuatan itu dengan sendirinya kita mampu menghadapinya. Mengalir air mata daddy pertama kali lihat wajah Medina Ayra. Moga membesar menjadi anak solehah sayang!
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI