Dua beranak rentung selepas Toyota Alphard dinaiki mereka terbakar dalam kemalangan di Kilometer 119.9 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, dekat Kepala Batas, hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu kira-kira 10 pagi.
“Difahamkan, kenderaan pelbagai guna (MPV) itu dinaiki tiga beranak berbangsa Cina sebelum terbabas dan terbakar.
“Dua mangsa iaitu seorang lelaki dan anak perempuannya berusia tiga tahun didapati rentung di dalam kenderaan itu, manakala isteri lelaki terbabit berjaya menyelamatkan diri.
“Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kepala Batas untuk dibedah siasat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Saadon Moktar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kebakaran itu pada 9.58 pagi.
“Sepasukan anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kepala Batas dikejarkan ke lokasi dan sebaik tiba, sebuah MPV didapati terbakar.
“Kenderaan mungkin melanggar penghadang jalan, terbabas dan terbakar di situ. Ia terbakar 100 peratus,” katanya.
Menurutnya, selepas api dipadamkan dan pemeriksaan dibuat menemui dua mangsa yang rentung di dalam kenderaan.
Sayu dengar suara anak merayu dan menjerit
Menurut laporan Penang Kini, saksi mendakwa mendengar suara si anak merayu dan menjerit meminta pertolongan kerana tersepit sebelum meninggal dunia.
Moga keluarga mangsa tabah menghadapi takdir ini walaupun baru saja seminggu menyambut Tahun Baru Cina.
Sumber: Harian Metro & Penang Kini
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI