Tugas seorang suami adalah untuk melindungi isterinya. Diberikan kasih sayang dan dimanjakan. Isteri bukan tempat melepaskan amarah dan diseksa sesuka hati.
Suami yang baik akan sentiasa menjaga isterinya. Dengan itu, si isteri akan sentiasa menyayangi dan menghormarti suaminya. Berbeza dengan wanita ini, nasibnya tidaklah sebaik isteri-isteri lain yang dibelai manja. Setiap hari jika ada yang tak kena, dia akan dipukul suaminya.
Mohon admin siarkan cerita saya ni. Saya nak kongsikan pengalaman saya, supaya dapat memberi pengajaran kepada orang lain. jangan terlalu bodoh disebabkan cinta, kalian sanggup diperbodohkan. Sanggup jadi punching bag suami.
Nama saya Arina. Saya seorang suri rumah. Ada ijazah dalam jurusan perakaunan, sebelum berkahwin saya bekerja di sebuah syarikat swasta. Gaji pun lumayan. Bila dah kahwin, rezeki saya terus mengandung.
Disebabkan saya mengalami morning sickness yang teruk, jadi saya tak larat nak bekerja. Sampai kena masuk hospital Jadi suami tak benarkan saya bekerja. Jadi, saya terpaksa berhenti kerja. Walaupun saya sayangkan kawan-kawan di pejabat dan kerja saya waktu tu.
Saya mabuk teruk sehingga lima bulan mengandung. Tapi Alhamdulillah, semua urusan lain selepas itu dipermudahkan. Kontraksi saya cuma dua jam, lepas tu terus bersalin. Saya dikurniakan anak lelaki dengan berat 3.6kg waktu itu dan bersalin pun secara normal.
Kami berikan nama yang membawa maksud ‘ADIL’ pada anak pertama. Entah mengapa, saya suka dengan nama itu. Suami pun tidak membangkang. Untuk enam bulan pertama usia anak kami, cukup bahagia. Kalau orang luar tengok, memang tahu kami happy as a family. Jujur, saya memang bahagia waktu itu.
Sejak anak kami dah nak masuk setahun, saya dapat lihat suami berubah. Dia selalu balik lewat dari pejabat. Kalau dia balik pun, selalu sangat ‘buat muka’. Ada saja yang tak kena, saya pun asyik dimarahi.
Suatu hari, saya minta suami untuk belikan barang dapur. Sebab memang dah habis. Tinggal sikit lagi, cukup untuk sehari dua. Saya kata kalau suami tak sempat, saya boleh keluar beli. Cuma saya tak ada duit belanja.
Dia punya hangin, dia baling saya dengan gelas yang dia pegang waktu tu. “Kau duduk rumah mengangkang, lepas tu dok mintak duit. Kau ingat aku ada kilang cop duit?”. Terkejut saya bila suami herdik saya macam tu. Anak pun menangis sebab terperanjat.
Sejak kejadian dia baling gelas pada saya, tak ada tanda-tanda yang dia menyesal atau nak minta maaf. Lepas hal tu, dia buat tak tahu je. Macam tak ada apa yang berlaku.
Saya masih ingat satu kejadian dia tumbuk muka saya. Hanya disebabkan saya terlelap lepas susukan anak dan badan saya letih sangat. Bila saya terjaga, kebetulan dia baru balik dari pejabat.
Bila dia check kat dapur, tak ada makanan. Dia punya marah, macam ada syaitan yang merasuk. Walaupun saya dah explain dan minta maaf, dia tak nak terima. Dia terus marah-marah dan memaki hamun saya.
Setakat bodoh, sial, celaka, perempuan sundal atau babi tu semua dah biasa sangat keluar dari mulut dia. Bila saya menangis, suami terus datang dan tumbuk muka saya. Bayangkan tangan dia yang besar tu menghentak muka saya. Bersembur darah dari mulut, rupanya pecah.
Dia minta maaf pada saya sebab tumbuk saya. Saya menangis-nangis tanyakan pada dia, apa salah saya. Adakah dia tak sayangkan saya lagi. Katanya cinta dan sayang pada saya. Beria-ia dia minta maaf.
Saya pula sebabkan sayang, tak sanggup nak biarkan masalah ini berlajutan. Jadi, saya maafkan dia. Dengan harapan dia berubah. Dan dia memang betul-betul menyesal sebab buat macam tu pada saya.
Pernah saya ceritakan hal ini pada Mimi (kawan baik saya). Dia kata ini masalah besar. Sama ada saya perlu dapatkan kaunseling atau jika berlanjutan, kena dapatkan nasihat dari pejabat agama. Tapi saya takut. Tak mahu bergelar JANDA. Bodohnya saya!
Saya ingatkan panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Saya percaya suami dah berubah dan menyesal. Rupanya tidak. Bila mulut saya yang dah pecah ni dah baik, dipukulnya saya lagi.
Kena tampar, kena tolak sampai jatuh tangga. Saya sampai dah kebal. Pernah juga dia pukul saya dengan getah paip sampai berbirat satu badan. Tali pinggang pun saya merasa. Saya betul-betul terseksa. Nak minta tolong takut. Nak keluar rumah pun suami tak bagi.
Anak masuk umurnya dua tahun setengah, saya mengandung lagi. Saya bersyukur, tapi jujurnya tak bersedia untuk ada anak kedua. Mungkin kalau suami saya baik, saya tak takut untuk mengandung. Tapi disebabkan suami kaki pukul, saya jadi takut. Trauma.
Saya tak beritahu pada suami yang saya tengah mengandung. Saya tahu pun sebab saya dah lewat datang haid dan waktu keluar dengan dia, saya curi-curi beli alat UPT. Bila check, saya positif.
Entah apa salahnya, hari tu dia balik dan marah-marah. Mood tak berapa elok. Waktu nak hidangkan air pada dia, saya terlanggar mainan anak. Jadi air tu tertumpah atas baju seluar dia.
Memang salah besarlah waktu tu, dengan angin dia yang tengah tak okay. Saya pula tertumpahkan air pada dia, memang terus saya dibelasahnya. Mula-mula dia tampar muka saya.
Kemudian dia pukul-pukul badan saya dengan tali pinggang. Akhir sekali, saya terjatuh. Waktu ini peluang untuk dia. Terus dipijaknya perut saya! Ya, saya ingat keluar darah waktu tu. Saya tahu saya dah gugur. Dia pun kelam-kabut dibuatnya. Malam tu minta maaf sekali lagi, tapi saya dah tak ada hati. Jadi tawar.
Esoknya, waktu suami keluar bekerja, Mimi datang ke rumah. Terkejut Mimi bila tengok keadaan saya. Mimi datang bersama suaminya sebab waktu tu dia kata dia risau juga nak datang sendiri.
Mimi dan suaminya tolong kemaskan barang-barang saya dan anak. Kemudian mereka bawa saya ‘lari’. Mula-mula saya dibawa ke hospital untuk buat pemeriksaan. Doktor mengesahkan saya gugur dan mempunyai beberapa kecederaan pada tubuh saya.
Mimi minta salinan report kesihatan. Hari tu, saya bermalam di rumah Mimi. Pertama kalinya saya rasa selamat. Mimi dan suaminya minta saya buat laporan polis. Dan kemudian rujuk kes saya di pejabat agama.
Saya ikut saranan Mimi dan suaminya. Lepas saya ceritakan hal ini pada keluarga saya pun, mereka minta saya bercerai dengan suami. Mereka tak sangka selama ini saya terseksa kerana didera oleh suami.
Jadi bila ibu dah minta saya berpisah, itulah saya lakukan. Saya nekad bila semua orang menyokong dan memberi kekuatan kepada saya. Demi kebahagiaan saya dan anak, saya tak menyesal bercerai dengan suami.
Ingat para isteri semua, kalau lebih banyak menderita dari bahagia lebih baik berpisah. Jangan takut bergelar janda, tak hina pun. BUkan salah kita kalau jodoh tak panjang, yang penting jangan biarkan diri anda dihina dan diperlakukan sesuka hati. Dapatkan bantuan dan jangan takut untuk bertindak.
Untuk berkongsi cerita atau pengalaman anda, bolek klik KONGSI CERITA.