Dalam keterujaan menunggu hari melahirkan anak kelima, lelaki ini terpaksa menerima kehilangan isteri sedang sarat hamil. Dua nyawa hilang sekali gus dalam sekelip mata.
Allahyarham Faridah Md Nayen yang sedang sarat mengandung terkorban dalam kemalangan di Kilometer 32 Jalan Langkap – Kampar berhampiran simpang Klinik Desa Tanjung Keramat di Teluk Intan, pagi semalam.
PERJALANAN KE KLINIK UNTUK PEMERIKSAAN KANDUNGAN
Tiada siapa menjangka perjalanan ke klinik kesihatan untuk pemeriksaan bulanan kandungannya adalah saat-saat terakhir Allahyarham. Allahyarham Faridah menumpang kenderaan jirannya yang turut maut dalam kemalangan tersebut.
DIMAKLUMKAN HANYA KEMALANGAN KECIL
Berita menyayatkan hati itu diterima suami Allahyarham Faridah, Ahmad Ismail, 45, pada 11.30 pagi daripada sepupunya yang memaklumkan hanya kemalangan kecil.
“Sebaik terima panggilan saya bergegas ke Hospital Teluk Intan, namun semuanya sudah terlambat,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Teluk Intan malam ini.
Menurutnya, sebelum kejadian isterinya bersama tiga yang lain yang juga jiran sebelah rumah sedang dalam perjalanan dari rumah mereka di Tanjung Keramat menuju ke Klinik Kesihatan Desa Tanjung Keramat terletak kira-kira 1 kilometer.
ALLAH LEBIH MENYAYANGI
Bapa kepada empat cahaya mata ini reda dengan ketentuan Allah yang lebih menyayangi isterinya dan bayi mereka.
“Saya reda dan terima kehendak tuhan ini. Kami menunggu kelahiran anak kelima namun tuhan lebih menyayangi mereka dan anak itu turut meninggal dunia dalam perut kandungan,” katanya sayu.
“IBU SEORANG YANG SANGAT PENYAYANG”
Lebih memilukan ialah apabila anak anak sulung, Allahyarham Faridah, Mohd Firdaus Ahmad, 15 mengatakan ibu yang dikasihi seorang yang sangat penyayang. Ternyata dia tidak dapat menahan kesedihan ketika ditemui selepas kehilangan ibu tersayang.
“Ibu adalah seorang yang sangat penyayang, namun sentiasa tegas dalam pelajaran. Hasrat ibu adalah untuk melihat saya berjaya dalam pelajaran dan arwah sering menasihatkan saya supaya rajin belajar serta mahu saya memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tidak lama lagi.
“Saya ingin memenuhi hasrat arwah yang mahu saya memperoleh keputusan cemerlang itu,” kata Firdaus.
BAYI 8 BULAN ANTARA YANG CEDERA
Dalam kejadian 10.30 pagi itu, kemalangan mengakibatkan tiga wanita maut iaitu suri rumah, Farah Ain Salim, 19; pesara Fuziyah Sarjuni, 62 dan Faridah Md Nayen, 38 yang sarat mengandung 35 minggu.
Kemalangan membabitkan sebuah lori, pacuan empat roda Ford Ranger, Suzuki Swift dan Proton Saga itu turut mengakibatkan anak kepada Farah Ain iaitu Nur Afrina Miqaila berusia lapan bulan cedera dan seorang lelaki berusia 43 tahun luka di hidung.
Sumber: hmetro.com.my
Artikel berkaitan: Tak Kesampaian Jadi Ibu, Wanita Hamil 5 Bulan Maut Kemalangan. Sempat Jamah Hidangan Diidam
Bagi anda yang ingin mengetahui tentang travel umrah bersama anak kecil dan tipsnya, ikuti rancangan TV Pa&Ma pada Rabu, 4 September 2019, jam 9 malam di Astro Prima & Astro Prima HD bersama pengacara Datin Fouziah Ghous dan suami Datuk Zhafran.