Usianya baru saja menginjak enam tahun, namun sudah diuji dengan penyakit kanser otot atau ‘rhabdomyosarcoma’ sejak tiga tahun lalu.
Bermula dengan benjolan di paha kanan
Lebih menyedihkan apabila doktor pakar mengesahkan bahawa kanser yang dihidapi Safiyya Aisyah Shahrul Asyraf sudah berada di tahap akhir dan tempoh hayatnya dijangka enam bulan sahaja lagi.
Ibunya, Syamimi Athirah Sanusi, 30, berkata anak tunggalnya disahkan mengidap penyakit berkenaan selepas paha kanan mempunyai benjolan sebesar bola golf serta kerap demam.
“Safiyya Aisyah sudah jalani dua pembedahan bagi merawat penyakitnya. Sepatutnya perlu jalani rawatan ketiga dengan segera, namun menurut doktor pakar, peluang anak saya sembuh amat tipis iaitu hanya 20 peratus walaupun selepas rawatan memandangkan dos ubat yang akan diberikan juga tinggi.
“Menurut doktor pakar lagi, daripada 10 pesakit yang menjalani rawatan itu, hanya dua kes berjaya dengan peluang hidup tipis menyebabkan kami mengambil keputusan tidak meneruskan rawatan berkenaan,” katanya yang tinggal di Jalan Kampung Parit Hussain, Padang Serai, Perak.
Cuba penuhi impian dan gembirakan Saffiya
Syamimi Athirah berkata, dia dan suami, Shahrul Asyraf Shaharuddin, 33, tetap berusaha menggembirakan kanak-kanak berkenaan yang gemar melukis dan aktif di rumah serta disenangi guru di sekolah kerana kepetahan bercakap.
“Minggu lalu, Safiyya Aisyah menyuarakan hasrat mahu bermain salji bersama keluarga dan kami akan sedaya upaya memenuhi impiannya itu sebelum dia pejamkan mata buat selama-lamanya.
“Ibu bapa mana yang tidak sedih tambahan pula Safiyya Aisyah satu-satunya anak kami, namun saya dan suami tidak mahu menunjukkan kesedihan itu di hadapannya,” katanya lagi.
Mereka ditemui dalam program sambutan hari jadi anjuran Dimash Fan Club Malaysia dengan kerjasama Persatuan Sahabat Kanak Kanak Kanser Wilayah Utara (FOCCAN) di McDonalds Birch House, Jalan Datuk Keramat, Goergetown.
Sementara itu, Maznah berkata, pihaknya bercadang membawa Saffiya Aisyah ke taman tema i-City Shah Alam, Selangor dalam masa terdekat bagi memenuhi hasrat si cilik itu bermain salji, namun bergantung kepada tahap kesihatannya.
Kredit: Berita Harian
Ketahui fungsi carseat di E-Workshop Sayangi Nyawa Anak Dalam Kereta, Let’s Buckle Up! Daftar secara PERCUMA di https://toko.ideaktiv.com/product/sayang-nyawa-anak-dalam-kereta/
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!