“Dia Satu-Satunya Anak Kami.” Tak Sangka Ajal Anak Dalam Kolam Sebelah Rumah

Share

“Dia satu-satunya anak kami, puas saya mencarinya sekeliling rumah namun tidak jumpa. Luluh hati ini sebaik dimaklumkan dia lemas,” kata Shaiful Lizam Mat Hudin, selepas mayat anaknya ditemui mati lemas di dalam kolam bersebelahan rumahnya di Kampung Bukit Merah, Paka, Dungun, petang Sabtu (16 Mei).

Shaiful Lizam, 21, berkata, anaknya, Nur Ara Raisha berusia satu tahun setengah di percayai terjatuh ke dalam kolam terbabit, kira-kira jam 5.15 petang.

Menurutnya, sebelum kejadian, dia sedang membaiki keretanya kira-kira jam 5 petang sementara Nur Ara Raisha sedang bermain di tempat duduk belakang kereta.

“Ketika kejadian, isteri Siti Nur Suhada Mohd Zakariayudin, 26, sedang berniaga santan di Bandar Paka.

“Beberapa minit selepas itu, saya dapati anak saya tiada di belakang kenderaan sebelum mencarinya sekeliling rumah namun tak jumpa.

“Saya meminta tolong orang kampung dan bapa saudaranya membantu mencari dia (Nur Ara Raisha) sebelum bapa saudara menemuinya di dalam kolam itu,” katanya ketika ditemui di Bilik Forensik Hospital Dungun.

Katanya, sebaik mengangkat anaknya dari kolam terbabit dia sedaya-upaya memberi bantuan pernafasan sambil berharap anaknya itu masih hidup.

“Saya mendukung anak dan segera mengejarkannya ke Klinik Kesihatan Paka dan kira-kira jam 7 petang saya dimaklumkan pegawai perubatan anak saya sudah meninggal.

“Patutlah arwah sepanjang hari ini sangat bermanja dengan saya dan sepanjang hari ini dia banyak berdiam dan sering melihat ke langit, rupanya dia nak pergi meninggalkan saya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung dengan kejadian itu.

Menurutnya, mayat dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut.

“Mayat dibedah siasat pagi (17 Mei) oleh pakar bedah dari Hospital Sultanah Nur Zahirah HSNZ Kuala Terengganu,”katanya.

Sumber: Harian Metro

Published by
Wan Amy