Didik Anak Buat Kerja Rumah, Susah Tapi Kena Percaya Pada Kebolehan Anak-Anak – Dr Norzila

Share

Semua papa mama inginkan anak yang rajin dan boleh disuruh untuk melakukan kerja rumah sedangkan mereka sendiri tidak tahu cara dan tip terbaik untuk mendidik anak-anak ini.

Bukan mudah untuk mendidik mereka. Malah perlu membiasakan mereka sejak kecil lagi. Mungkin ada caranya yang lebih tepat untuk mengajar mereka. Baca pandangan Dr Norzila Zakaria ni.


Berikan kepercayaan kepada anak melakukan tugas
=====================================

Ada banyak perkara kita mahu anak-anak kita lakukan tapi kadang-kadang kita tidak memberikan kuasa penuh kepada mereka dan akhirnya anak-anak pun tidak seronok untuk melakukannya kerana banyak arahan ‘jangan’ dari kita.

‘Jangan buat macam tu, buat macam ni… mari ibu tunjuk” kecewa anak kerana usahanya ‘salah’! Namun kalau kena caranya pasti mereka boleh terima. Ubah sedikit sahaja ayat tadi, mungkin bunyinya begini:

“Wah dah separuh karpet bersih, pandailah anak-anak ibu ni cuci”

Senyum dan tanyakan apa perasaan mereka “Seronok tak boleh basuh karpet? Boleh main air juga kan?”

Dengarkan jawapan mereka. Raikan perasaan mereka. Pasti keyakinan diri mereka bertambah tinggi kerana kita meraikan usaha mereka.

“Ok, sekarang ibu nak tunjuk macamana nak cuci bahagian ni yang agak kotor, boleh? Nanti lepas ni abang dan adik buat sendiri ya”.

Beritahu mereka proses yang kita rancangkan seterusnya dan pemantauan yang akan kita lakukan. Jadi bila kita ‘tegur’ dan baiki mereka mudah menerimanya.

Jika kita terus ‘menyerang’ dan menegur dengan cara yang tidak hikmah, pasti mereka kecewa dan tidak mahu menyambung kerja-kerja mereka.

Sesekali mainlah bersama mereka, kalau basuh karpet biar basah bersama-sama mereka, pasti mereka seronok bila kita bersama-sama melakukannya dan bukan memerhati sahaja.

Jika kita bertindak seperti ketua dan hanya memberi arahan, saya pasti mereka tidak akan seronok melakukan aktiviti tersebut. Nasib tidak baik mereka merajuk dan kita pun jadi marah sebab mereka tidak mengikut arahan kita.

Jadi fikirkan apa aktiviti yang kita boleh berikan sepenuh kuasa kepada mereka tanpa arahan dan pemantauan rapi dari ‘ketua’ kepada mereka, maknanya biarkan saja mereka buat ikut suka hati mereka. Dan jika aktiviti tersebut memerlukan pemantauan dan hanya sebahagian sahaja kuasa yang boleh diberikan, maklumkan mereka supaya mereka tidak kecewa.

Jika aktiviti yang diberi kuasa penuh menjadi sesuatu yang perlu dipantau, boleh lakukan teknik seperti di bahagian awal untuk melibatkan diri kita dalam aktiviti mereka dengan lebih bijak.

Aktiviti cuci karpet Ini adalah aktiviti yang saya berikan kuasa penuh kepada anak-anak saya semasa cuti PRU bulan lepas. Saya biarkan saja apa mereka mahu lakukan dan hanya melibatkan diri di hujung aktiviti untuk mereka berhenti mencuci.

Memang puas hati mereka boleh melakukan aktiviti ini mengikut cara mereka sendiri.

Sudah pasti bila ditambah dengan sedikit pujian mereka rasa sangat dihargai dan tahap keyakinan mereka juga meningkat bila dapat menyelesaikan tugasan dengan baik.

Dapat intipati dari kisah ini?

Kredit: Dr Norzila Zakaria
Published by
SRM