Lihat wajah anak-anak, tentunya beribu yang anda harapkan daripada mereka. Salah satu darinya pasti mengharapkan mereka adik beradik sentiasa bersatu dan saling sayang menyayangi sampai bila-bila. Sebenarnya harapan anda itu haruslah di usahakan daripada anak-anak masih kecil lagi. Bab kata pepatah jikalau mahu melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ini antara perkara yang perlu anda lakukan semasa anak-anak masih kecil kalau anda mahu hubungan adik beradik anak-anak terus kukuh dan bahagia sampai bila-bila.

Sama Adil

Tidak adil merupakan kesilapan yang sering ibu bapa buat tanpa sedar. Contohnya apabila adik buat silap bukan adik yang dimarahi tetapi yang sulung. Alasan yang tua tidak jaga yang kecil. Apabila situasi ini terlalu kerap berlaku akan membuatkan si sulung membenci adiknya dan mereka secara tidak langsung menjadi jauh dan mencemburui antara satu sama lain.

Begitu juga apabila ingin membeli sesuatu pasti kan anda membelinya sama adil agar perasaan kecil hati atau cemburu itu tidak timbul. Mungkin anda rasa abang dah besar takkan nak beli permainan lagi. Abang tak payah beli adik sahaja.  Anak-anak sentiasa menuntut untuk dilayan serta di hargai sama rata tidak kiralah apa jua situasi. Jadi anda lah yang perlu bijak mengawal situasi seperti berikut agar tiada yang terasa hati. Harus diingatkan juga, kebiasaannya anak yang rasa dirinya tidak disayangi semakin mereka besar semakin akan menjauh dari keluarga. Jangan sampai jadi begitu ya..

Sikap Tolong-Menolong

Ads

Walaupun mereka masih kecil tetapi sikap tolong menolong ini perlu diajar dari awal lagi. Contohnya apabila adik keluarkan permainan dan ketika masa berkemas. Minta abang atau kakak tolong mengemas sama-sama. Sambil mengemas mungkin anda boleh berikan pujian atau bermain siapa lagi pantas menyimpan. Mereka akan rasa seronok dan bergembira bekerjasama.

Begitu juga apabila abang atau kakak perlukan pertolongan minta adik bantu juga. Mungkin bantuan adik tidaklah besar mana kerana kemampuannya tetapi yang penting anda telah didik mereka adik beradik sentiasa bantu membantu dan susah senang bersama hanya dimulakan dengan perkara-perkara kecil.

Ads

Makan sama-sama

Usahakanlah paling tidak sekali dalam sehari untuk semua ahli keluarga berkumpul makan bersama-sama. Saat makan bersama-sama, bercerita dan ketawa akan membuat semua ahli keluarga rasa seronok dan menghargai antara satu sama lain.  Malah akan membuatkan kasih sayang makin hari makin kuat antara satu sama lain.

Ads

Jaga antara satu sama lain

Sehari paling kurang sekali wajib pesankan pada anak-anak untuk mereka sentiasa jaga antara satu sama lain. Sebelum pergi sekolah atau boleh juga sebelum tidur katakan pada anak-anak “Abang atau kakak perlu jaga adik dan begitu juga adik perlu jaga abang atau kakak……..”. Percayalah kalau dari kecil anda sudah ingatkan perkara ini pada anak-anak apabila mereka dewasa kelak pesanan ini akan sentiasa kukuh dalam ingatan mereka adik beradik.

Tunjukkan Contoh Yang Baik

Jangan jadi seperti ketam mengajar anaknya berjalan. Mahu anak-anak jadi baik tetapi anda sendiri tidak begitu. Anda juga perlu pasti kan hubungan anda dengan adik beradik baik. Sentiasa tolong menolong, ziarah menzirahi serta sayang menyayangi antara satu sama lain. Contoh yang baik ini akan mereka jadikan sebagai panduan untuk mereka bila dewasa nanti.

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI