Didik Kongsi Barang Jika Tak Nak Ganggu Perkembangan Sosial Dan Emosi Anak

Share

Masalah apabila anak-anak bergaduh sebab tak nak kongsi barang, memang biasa berlaku. Walaupun anak tu dah masuk tadika, tetap mempunyai perangai yang sama. Memang nampak biasa-biasa sahaja, tetapi perkara ini jika dibiarkan akan jejas perkembangan anak.

Melalui maklumat daripada pusat perkembangan kanak-kanak, Excel Qhalif, membiarkan perkara ini sejak usia kecil lagi akan  menganggu perbendaharaan kata, komunikasi,interaksi sosial, dan emosi anak. Sedangkan ketika ini, mereka perlu  bermain dengan rakan sebaya untuk rangsang perkembangannya. Jom ikuti perkongsian ini.

Saya sering didatangi oleh ibubapa yang mengadu anaknya tidak suka berkongsi. Terutama barang mainannya, meskipun dengan ibubapa atau adik beradik mereka sendiri. Perkara ini bukanlah masalah pokok tetapi ia boleh menjadi serius apabila anak tersebut mempunyai masalah pertuturan atau lambat bercakap.

Kenapa boleh jadi begitu? Selain eye contact, berkongsi juga adalah sebahagian elemen asas pra-komunikasi. Contohnya; sekarang kita berkongsi cerita yang sama, topik yang sama, membaca artikel yang sama dan berkongsi masalah yang sama. Iaitu topik anak sukar berkongsi. Begitulah juga dengan anak-anak kita, sekiranya mereka sukar berkongsi, tiada komunikasi 2 hala yang sihat bakal berlaku.

Bukan sahaja komunikasi, malah perkembangan perbendaharaan kata, perkembangan interaksi sosial, dan emosi juga boleh menjadi terhad dan terganggu.

Kanak-kanak perlu bermain dengan rakan sebaya untuk rangsang perkembangannya. Secara tidak langsung idea dan kebijaksanaan mereka bertambah.

Bagaimana hendak atasi masalah ini? Di sini saya sertakan 5 teknik yang mungkin berguna buat ibubapa dirumah.
1.Pilih Mainan yang Betul
Pilih permainan yang mempunyai ciri-ciri berkongsi atau memerlukan 2 orang pemain ataupun memerlukan bantuan orang dewasa. Contohnya seperti congkak dan lego . Pasti untuk siapkan satu lego anak perlukan bantuan ibubapa. Disinilah peluang berkongsi dan bermain bersama digunakan sebaik mungkin.


2.Jadikan Diri Anda Sebagai Contoh
Mainkan peranan anda sebagai contoh terbaik. Ibubapa mesti menunjukkan tauladan berkongsi. Kerana anak-anak adalah peniru terbaik. Sekiranya bermain dengan mereka, pastikan mengikut giliran bermain. Contohnya permainan, baling bola masuk ke dalam bakul. Boleh dilakukan mengikut giliran, mula papa baling, kemudian mama dan kemudian si anak. Cakap dengan dia “Papa baling pula” dengan ini anak faham kosep berkongsi dan main bersama.
Saya pernah didatangi oleh anak yang sangat pandai berkongsi. Inilah teknik yang beliau suami isteri lakukan.


3.Puji dan Galakkan Mereka
Puji mereka apabila mereka sudi berkongsi dengan rakan. Dengan cara ini mereka suka lakukannya dengan kerap. Jika boleh, pujilah mereka di hadapan orang yang beliau sayangi.
Si ibu boleh kata begini, “Tengahari tadikan papa, Imran kongsi permainan dia dengan Aiman. Bagus dia main sama-sama” Papa pula sampuklah dengan penuh minat “Ohh ye ke, baguslah Imran pandai kongsi dan main sama-sama”


4.Bincang & Pujuk
Kadang-kala anak tidak mahu berkongsi sebab permainan tersebut permainan kesayangan mereka. Atau mungkin juga ada sejarah silam yang membuat mereka tidak mahu berkongsi. Permainan mereka dirosakkan atau dihilangkan.
Tanya mereka; “Kenapa Imran tak nak kongsi kereta tu?”
Mungkin Imran akan menjawab; “Dulu Aiman main kereta Imran sampai rosak”
Pujuk dan bincang dengan mereka; “ Mama faham, tapi dulu tu Imran tak sengaja , kesian dia nak main dengan Imran. Kalau rosak papa betulkan nanti”. Guna kebijaksaan anda untuk pujuk mereka. Ibubapa pastinya lebih mengenali anak mereka dengan lebih dekat.


5.Kuatkuasakan Undang-undang
Setiap barang mainan yang baru dibeli, letakkan satu undang-undang. “Ini papa punya mainan, Imran nak main, boleh. Tapi kena main dengan papa.” Jangan berikan kuasa milik mutlak pada mereka. Tegur sikap mereka yang terus merampas barang yang mereka mahukan. Simpan barangan tersebut setelah bermain bersama. Undang-undang ini tidak semestinya dikuatkuasa pada semua mainan, cuma sesetengah permainan sahaja.

Teguran buat anak

Kesimpulannya:
Ia mampu mengubah sikap dan cara anak bermain. Matlamat kita adalah untuk mereka terus boleh berkongsi dan berkomunikasi. Sebagai ibubapa kita perlu sabar dan berdoa. Tiada apa yang berlaku sekelip mata. InsyaAllah semua usaha ini ada balasan dariNya.

Sumber: www.excelqhalif.com

 

Published by
Nor Yusoff