Membuat sabun dari lebihan susu badan sangat popular dalam kalangan ibu menyusu. Namun apakah hukumnya membuat sabun dari lebihan susu badan untuk kegunaan sendiri? Ikuti perkongsian daripada laman rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Assalamualaikum w.b.t
Saya ingin bertanya, saya mempunyai susu badan yang berlebihan. Dan susu badan tidak dapat disimpan dalam tempoh yang lama. Jadi, saya bercadang hendak menjadikannya sebagai sabun. Soalannya, apakah hukum membuat sabun dengan menggunakan susu badan tetapi untuk kegunaan diri sendiri sahaja? Mohon penjelasan Dato’ Mufti.
Jawapan :
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Maksudnya : “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu.”
(Surah al-Baqarah : 233)
Dr. Wahbah al-Zuhaili mengatakan bahawa hukum-hukum ini telah ditetapkan oleh syarak bertujuan menjaga dan melindungi anak-anak supaya dapat terus hidup serta menjamin masa depannya. Sesiapa yang berpaling daripada hukum ini, maka dia telah berdosa dan mendapat hukumannya di hari akhirat kerana agama Islam itu adalah rahmat bagi seluruh alam, tidak kira yang masih kecil atau dewasa. (Lihat al-Tafsir al-Wasit, 1/130)
Susu ibu adalah suci
Mengenai kesucian susu ibu, Imam al-Nawawi ada menyebutkan bahawa :
Maksudnya : “Susu badan adalah suci menurut mazhab Syafie… dan ianya adalah pendapat yang diputuskan oleh para ashab (ulama Syafi’iyyah) kecuali penulis kitab al-Hawi. Beliau telah menukilkan satu pendapat daripada al-Anmathi yang merupakan salah seorang daripada ulama Syafi’iyyah bahawa susu badan adalah najis. Dan ia halal diminum oleh kanak-kanak kerana dharurat… Dan pendapat ini tiada apa-apa (nilai) bahkan telah jelas kesilapannya. Akan tetapi beliau telah menukilkan pendapat seperti ini bertujuan supaya berhati-hati daripada ditipu dengannya (pendapat tersebut). Sesungguhnya Syeikh Abu Hamid telah menukilkan bahawa kaum muslimin telah ijma’ akan kesuciannya. Al-Ruyani telah berkata… sekiranya kita mengatakan, mengikut pendapat mazhab (syafie) bahawa manusia itu tidak menjadi najis disebabkan oleh kematiannya. Maka, apabila seorang wanita itu mati dan di dalam buah dadanya ada susu. Susu tersebut adalah suci serta harus (hukumnya) untuk diminum dan dijual.”
Ads
(Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/569)
Selain itu, al-Khatib al-Syirbini juga ada mengatakan bahawa :
Maksudnya : “Adapun susu haiwan yang dimakan dagingnya seperti susu kuda, sekalipun ia telah melahirkan baghal adalah suci. Firman Allah SWT : {(iaitu) susu yang bersih, yang mudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang-orang yang meminumnya.}[Surah al-Nahl : 66] Dan demikianlah juga susu manusia kerana tidak sesuai dengan kemuliaannya untuk (dikatakan) ia berasal (sumber) daripada najis.”
(Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/234)
Begitu juga al-Mardawi juga ada menyatakan bahawa susu manusia dan susu haiwan yang dimakan adalah suci secara sepakat para ulama (tanpa perselisihan). (Lihat al-Insof fi Ma’rifah al-Rajih min al-Khilaf, 1/343)
Maka, kita ketahui bahawa susu manusia adalah suci dan bukannya najis. Perkara ini kami telah jelaskan di dalam artikel kami al-Kafi li al-Fatawi (1542) : Adakah Susu Ibu Suci serta Sah Solat Dengannya?
Membuat sabun dengan susu manusia
Perbincangan dan perbahasan mengenai susu ibu atau susu badan banyak berkisar mengenai hukum penyusuan iaitu apabila ia diminum ataupun sekiranya ia dijual beli.
Hukum asal menggunakan susu (yang suci) sebagai salah satu bahan dalam sabun adalah harus seperti susu kambing atau lembu. Perkara ini adalah bertepatan dengan kaedah :
Ads
الأصل في الأشياء الإباحة حتى يدل الدليل على التحريم
Maksudnya : “Asal sesuatu hukum itu adalah diharuskan, sehingga terdapat dalil yang menunjukkan pengharamannya”
Akan tetapi menjadikan susu badan sebagai salah satu bahan di dalam pembuatan sabun, kami cenderung untuk mengatakan bahawa perkara tersebut adalah dilarang dan tidak dibenarkan.
Hal ini kerana kedudukan manusia itu tinggi di sisi Allah SWT berbanding makhluk yang lain, jadi semua anggota atau apa sahaja yang berasal daripada tubuh manusia perlu dihormati dan dimuliakan, serta tidak boleh dimanfaatkan sewenang-wenangnya, lebih-lebih lagi jika ia digunakan sebagai bahan mencuci (sabun). Perkara ini bertepatan dengan kaedah Sadd al-Zarai’ iaitu menutup jalan yang boleh membawa kepada penyalahgunaan bahan yang berasal daripada manusia seperti susu ibu serta merendah-rendahkan kemuliaan seorang manusia.
Lebih-lebih lagi, sabun adalah termasuk dalam perkara tahsiniyyat (menambah baik) dan bukannya hajiyat (keperluan) atau darurat (keperluan mendesak). Sudah memadai apa yang telah Allah SWT sediakan (tundukkan) buat manusia mengambil manfaat daripadanya seperti haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan dan lain-lain.
Maksudnya : “Dan Dia (Allah) telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang berfikir.”
(Surah al-Jathiyah : 13)
Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT telah menundukkan untuk kamu semua segala apa yang ada di langit yang terdiri daripada matahari, bulan dan bintang, serta segala apa yang ada di bumi yang terdiri daripada haiwan-haiwan (makanan dan pengangkutan darat), tumbuh-tumbuhan, kapal dan lain-lain, untuk manfaat buat kamu semua. Kesemua nikmat-nikmat ini adalah merupakan pemberian daripada Allah semata-mata, Dia memberikan perkara-perkara tersebut kepada kamu sebagai nikmatNya dan juga kurniaanNya. Maka hendaklah kepadaNya sahaja kamu menyembah (beribadah) dan jangan sekali-kali kamu menjadikan bagiNya sekutu. Sesungguhnya pada apa yang telah Dia tundukkan buat kamu itu ada mengandungi tanda-tanda dan bukti-bukti yang menunjukkan kepada keesaanNya, bagi mereka yang merenung (berfikir) akan ayat-ayat Allah (tanda-tanda kekuasaanNya) serta hujah-hujah dan dalil-dalilNya lalu mereka mengambil pengajaran daripadanya. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 499)
Ads
Begitu juga, larangan ini adalah selaras dengan peraturan ditetapkan di dalam Garis Panduan Kawalan Produk Kosmetik di Malaysia yang menyatakan bahawa semua bahan-bahan yang tersenarai di dalam Annex II tidak boleh digunakan bagi menghasilkan produk kosmetik. (Lihat Guidelines for Control of Cosmetic Product in Malaysia, Bhg. Cosmetic Ingredients, hlm. 10) Antara bahan-bahan terlarang yang telah disenaraikan di dalam Jadual Annexe II Part I ialah sel, tisu atau sebarang bahan yang berasal daripada manusia. Oleh itu, susu ibu adalah termasuk di dalam larangan tersebut dan sabun adalah merupakan salah satu daripada produk kosmetik.
Kesimpulan
Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, kami simpulkan kepada beberapa perkara :
Kami cenderung kepada pendapat yang melarang susu badan atau susu ibu dijadikan sebagai sabun. Hal ini kerana kedudukan manusia itu sendiri yang mulia dan tinggi di sisi Allah SWT. Justeru, semua anggota atau apa sahaja yang berasal daripada tubuh manusia perlu dihormati dan dimuliakan, serta tidak boleh dimanfaatkan sewenang-wenangnya, lebih-lebih lagi jika ia digunakan sebagai bahan mencuci (sabun).
Kemuliaan seorang manusia adalah berdasarkan firman Allah SWT :
وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِىٓ ءَادَمَ
Maksudnya : “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam..”
(Surah Al-Isra’ : 70)
Larangan ini juga adalah selaras sebagaimana keputusan mesyuarat panel pakar syariah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ke-86 yang tidak membenarkan penggunaan susu ibu sebagai bahan kosmetik termasuk dalam penyediaan sabun.
Ini juga adalah sebagai langkah Sadd al-Zarai’ iaitu menutup jalan yang boleh membawa kepada merendah-rendahkan kedudukan manusia itu sendiri serta penyalahgunaan bahan yang berasal daripada manusia seperti susu ibu sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Garis Panduan Kawalan Produk Kosmetik di Malaysia.
Lebih-lebih lagi, sabun adalah termasuk dalam perkara tahsiniyyat (menambah baik) dan bukannya hajiyat (keperluan) atau darurat (keperluan mendesak). Sudah memadai apa yang telah Allah SWT sediakan (tundukkan) buat manusia mengambil manfaat daripadanya seperti haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan dan lain-lain.
Kami juga ingin menasihati semua wanita yang mempunyai lebihan susu yang selamat daripada penyakit berjangkit atau kesan ubat-ubatan yang diambil sebelum susu diperah, adalah lebih baik sekiranya dia boleh mencari anak susuan yang benar-benar memerlukan susu ibu untuk diberikan. Moga-moga ia boleh menjadi salah satu amal kebaikkan yang diterima oleh Allah SWT di hari akhirat kelak.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Suntikan Corticosteroid diberikan kepada ibu sebelum bersalin, terutamanya yang mungkin bersalin awal dari tarikh jangkaan. Harap mama tidak menolak suntikan ini.
Menurut Pegawai Perubatan Obstetrik & Ginekologi, Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak, suntikan amat penting untuk ibu yang berkemungkinan melahirkan bayi pramatang.
Corticosteroid adalah sejenis ubat yang diberikan kepada ibu, jika seseorang ibu itu dijangka akan melahirkan bayi pramatang/ tak cukup bulan.
Ubat ini diberikan secara suntikan pada otot, sama ada pada peha, lengan atau pada punggung. Ianya diberikan melalui 2 dos atau ada yang memberikan sebanyak 4 dos dalam tempoh 24 – 48 jam.
Corticosteroid membantu mengurangkan risiko berkaitan dengan bayi pramatang
Ubat ini sudah digunakan bertahun-tahun lamanya, diberikan kepada ibu yang dijangkakan akan melahirkan bayi pramatang, meningkatkan peluang bayi pramatang hidup selepas dilahirkan. Selain itu, ianya mengurangkan risiko bayi pramatang mendapat komplikasi serius seperti masalah pernafasan (disebabkan peparu bayi masih tidak matang), pendarahan di dalam otak, jangkitan kuman yang serius ataupun masalah pada salur pencernaan.
Adakah corticosteroid berbahaya kepada saya dan bayi?
Suntikan sebanyak 2 atau 4 kali dianggap selamat untuk ibu dan bayi. Lebih banyak kajian diperlukan untuk mengatakan suntikan lebih daripada itu adalah selamat.
Berapa lama suntikan corticosteroid ini menjadi efektif?
Suntikan corticosteroid ini membantu jika dos terakhir diberikan antara tempoh 24 jam sehingga 1 minggu sebelum bayi dilahirkan. Ada juga kebaikan sekiranya bayi dilahirkan dalam tempoh 24 jam dari dos yang pertama.
Bilakah suntikan corticosteroid diberikan?
Suntikan diberikan pada minggu kehamilan ke 24 dan 34 minggu 6 hari. Jika anda akan menjalani pembedahan elektif, suntikan corticosteroid amatlah digalakkan jika pembedahan itu akan berlangsung pada 35 hinggga 38 minggu 6 hari kehamilan.
Suntikan corticosteroid boleh diberikan sebelum 24 minggu kehamilan, tetapi bukti corticosteroid dapat membantu bayi seawal ini masih lagi tidak jelas, pakar perunding akan berbincang dengan anda terlebih dahulu.
5 kategori penerima suntikan corticosteroid
Ibu dinasihatkan untuk menerima suntikan ini jika anda berpotensi untuk melahirkan bayi pramatang, sebelum 35 minggu kehamilan. Ini termasuklah :
Ibu sedang mengalami kontraksi pramatang.
Air ketuban sudah pecah, walaupun tiada kontraksi.
Bayi dikehendaki untuk lahir awal, misalnya bayi tidak membesar dalam rahim.
Ibu mempunyai masalah dan bayi perlu dilahirkan awal untuk menyelamatkan ibu, misalnya pre-eclampsia.
Jika ibu akan menjalani pembedahan caeserean elektif sebelum 39 minggu, ibu akan disarankan untuk menerima suntikan corticosteroid.
Kelahiran pramatang ni tak boleh disekat-sekat walaupun doktor guna pelbagai ubat untuk hentikan proses bersalin. Apa yang boleh dibuat, bantu mempersiapkan bayi pramatang yg bakal lahir untuk matangkan peparunya agar kurang komplikasi berkaitan dengan kelahiran pramatang
Manusia hanya merancang, Allah yang menentukan segala-galanya. Ini ikhtiar kita
Biarpun proses melahirkan tidak mudah, diiringi dengan pelbagai cabaran dan rasa sakit, namun ibu tidak pernah merasa serik. Sekejap rasa, mulalah rasa rindu mahu hamil dan bersalin semula. Tidak kiralah melahirkan secara normal atau melalui pembedahan, momen kelahiran itu menjadi satu kenangan terindah buat insan bergelar ibu.
Sebagai seorang pegawai Perubatan Kesihatan Wanita & Kehamilan, banyak pengalaman Dr Muhammad Izzat Abdul Razak menyambut kelahiran bayi. Melalui perkongsiannya di laman Facebook, dia bercerita tentang pengalamannya tentang seorang ibu yang melahirkan bayi dalam kedudukan songsang secara normal.
Ni kisah masa saya berkhidmat di salah sebuah hospital daerah dahulu. Lama sangat dah.
Hospital ni dulu-dulu ada kalanya tkde pakar O&G yang cover, jadi apa-apa kes yang memerlukan caesar atau instrumental delivery – forceps atau vacumm akan dipindahkan ke hospital besar yang mempunyai pakar, kelengkapan dewan bedah dan ada doktor bius.
Al kisahnya datang la seorang ibu ni, berkerut menahan sakit. Perutnya macam dah cukup bulan
“Meh puan baring sini, saya periksa. Mcm nak beranak je tu”
“Ha ah dah kerap pulak sakit ni Dr, semalam tak sekerap macam ni. Lain macam sakitnya. Tu saya datang hospital”
Check macam biasa. Pegang perut dulu
“Emmm keras kat bahagian atas ni. Macam kepala budak”
Bergegas capai mesin scan..
“Ok memang confirm, songsang ni. Uri kat atas (normal) . Kepala mendongak sikit. Berat anggaran dalam 2.5kg. Bila periksa jalan bawah (VE) dah 3cm , memang rasa bontot baby kat bawah tu.”
“Puan last makan dan minum jam berapa?”
“Dari semalam saya tak makan pape, memang takde selera dok menahan sakit”
“Ok. Bagus. Nampaknya puan ni kena caesar. Baby songsang ni. Nak beranak pula. Jalan bawah dah buka 3cm. Kat sini takboleh nak buat caesar, nak kena pindahkan puan ke hospital besar”
“Staffnurse, prepare patient nak transfer! Bawak delivery set sekali. Sterile (bebas kuman) glove size 7 bawak lebih sikit”
Setelah inform pakar oncall hospital besar, kes diterima. So bergegas la semua transfer mak tu.
Hospital daerah ni ke hospital besar dalam 20-30 minit kalau jalan tak jem. Tapi tu lah, sebelum ada hiway, terpaksa guna jalan lama ibarat ular kena palu, berbukit bukau. Kalau sesapa yg naik ambulans yg macam ribut lalu plak jalan tu, kompem akan memuntahkan segala isi perutnya. Tak tipu!
“Hello Dr.xxxx, saya yang call tadi nak transfer 1 breech in labour. Skang patient dah fully dalam ambulance. Saya nak inform nak buat vaginal breech delivery. Saya rasa dah tak sempat nak patah balik ataupun sampai kat sana.”
“Ok proceed.”
Ambulans pun diberhentikan. Ibu ditarik ke hujung ambulans. Nurse guna pelbagai kain dan selimut pesakit yg ada buat sebagai tirai. Pesakit perlu berada pada hujung ambulans supaya tarikan graviti dapat bantu bayi songsang itu dilahirkan. Pantangnya, takboleh tarik baby tu. Kalau tak sabar dan tarik-tarik baby tu, tersilap langkah – kepala baby akan mendongak, seterusnya tersangkut. Perkara yg AMAT AMAT ditakuti. Nauzubillah
Baby songsang akan perlahan-lahan keluar sendiri. Hands off technique. Memula kluar punggung, pinggul, kemudian bantu keluarkan kaki, kemudian luruskan badan bayi, bahu, bantu keluarkan kedua-dua belah lengan, kemudian nampak rambut dan leher. Bantu proses kelahiran kepala dengan teknik khas.
Alhamdulilah. Bayi songsang selamat dilahirkan dalam ambulans, di tepi jalan !
Berlecaknya ketiak masa tu, dengan dahi yang berpeluh mencurah-curah, hanya Allah sahaja yang tahu.
Pengorbanan seorang ibu tidak boleh dinafikan. Salute ibu! Pun begitu, usaha serta kepakaran kakitangan kesihatan seperti doktor dan juru rawat juga perlu diberikan kredit kerana sehabis daya mereka akan berusaha untuk memastikan si ibu dan anak selamat kedua-duanya pada setiap kali proses kelahiran.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Paracetamol adalah ubat yang dapat menurunkan suhu badan ketika demam dengan selamat. Ia boleh diambil oleh kanak-kanak, orang dewasa, ibu yang hamil dan ibu yang menyusukan anak, mengikut dos yang diberikan.
BOLEHKAH SAYA MENGAMBIL PARACETAMOL SEMASA MENYUSUKAN ANAK?
“Adakah ibu demam yang menyusu anak mengambil paracetamol untuk redakan demam? Berapa biji yang selamat diambil ya doktor. Mohon pencerahan doktor sebab penerangan sebelum ini tidak cukup meyakinkan?”
Nasihat saya adalah ambil paracetamol bila perlu, mengikut dos yang ditetapkan dan untuk jangka masa yang pendek saja. Dos yang biasa diberikan untuk orang dewasa sama ada hamil, menyusukan anak atau tidak ialah satu atau dua biji tablet 500mg, setiap 4-6 jam.
Dos maksima yang dibenarkan untuk orang dewasa adalah 8 biji tablet 500mg (jadi jumlah dos 6 g) dalam 24 jam. Dos yang berlebihan memberikan kesan buruk pada hati dan ginjal.
Walau bagaimana pun sedikit dos yang diambil oleh ibu yang menyusukan anak akan masuk ke dalam air susu ibu, tetapi masih dalam kuantiti yang selamat.
Walau bagaimana pun, saya menasihatkan agar lebih berhati jika:
1. bayi lahir secara pramatang 2. bayi lahir tidak cukup berat (kurang 2.5kg) 3. bayi lahir dengan masalah kesihatan yang serius 4. Mengambil paracetamol bersama ubat lain kerana gabungan ubat-ubatan ini masuk ke dalam susu ibu dan memberikan kesan pada bayi yang menyusu.
Boleh rujuk pada doctor atau farmasis bagi mengetahui dos yang lebih tepat, jika ada masalah kesihatan yang menghalang pengambilan ubat.
Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Dah masuk hujung tahun ni, biasanya mama papa pasti buat persediaan anak-anak masuk ke sekolah. Apa yang patut kita nak buat supaya anak-anak tak kekok dan teruja nak ke sekolah?
Jom ikuti perkongsian ilmu bermanfaat dari Dr Tengku Putri Zainab Ab Malek (Pakar Perunding Pediatrik), Pn Nurul Sheriena Musa (Konsultan Perkembangan Kanak-kanak & Terapis Cara Kerja) serta sharing dari selebriti Yana Samsudin bagaimana dia melatih anaknya untuk belajar tiga bahasa. Daftar di https://toko.ideaktiv.com/product/tip-a-z-anak-ready-ke-sekolah/
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Pelakon dan usahawan terkenal, Anzalna Nasir, kini lebih selesa dikenali sebagai seorang ibu yang penuh kasih sayang selepas mendirikan rumah tangga dengan Hanif Zaki...