Bila hamil, ibu memang akan kerap lapar walau pun pada tengah malam. Ikuti panduan doktor ini Beri agar berat tidak mencanak naik!

Tidak dinafikan apabila hamil, anda akan kerap lapar. Tidak kira waktu walau pun pada waktu tengah sedangkan anda sudah mengambil makan malam sebelumnya. Mengapa hal ini terjadi dan makanan jenis apakah yang boleh di ambil agar tidak mengalami masalah berat badan berlebihan.

KEPERLUAN KALORI IBU HAMIL

Menurut Dr Norintan Zainal Abidin Shah, Pakar Perbidanan & Sakit Puan Columbia Asia Seremban, anda tidak perlu makan secara berlebihan sejak daripada tarikh disahkan hamil sehinggalah ke minggu yang ke-26.

Ini bererti ibu hamil cuma memerlukan lebih kurang 2000 kalori sehari. Bermula dari minggu ke-27 sehingga bersalin, keperluan wanita hamil akan meningkat kepada 2200 kalori sehari sahaja. Sekiranya anda mengambil makanan sehingga jumlah kalori yang dimakan berlebihan, sudah pasti berat badan akan naik berlebihan juga.

SEBAB MAMA HAMIL LAPAR TENGAH MALAM

Masalah kerap lapar pada waktu malam pula merupakan masalah kepada ramai wanita tidak kiralah wanita yang mengandung atau tidak. Terdapat pelbagai teori mengapa wanita kerap lapar pada waktu malam. Antaranya:

  1. Salah tafsir rasa haus dengan lapar.
  2. Waktu makan tidak tetap dan jenis makanan yang diambil kurang sedap.
  3. Suka makan gula dan makanan atau minuman manis

#1 KAWAL STRES

Masalah stres menyebabkan ramai di antara wanita kerap rasa hendak makan. Pada waktu malam, ketika kepala penuh masalah, alternatif dicari adalah untuk menimbulkan rasa gembira. Memakan makanan tertentu boleh menyebabkan seseorang berasa kenyang dan puas hati. Ini semua menyebabkan  kebanyakan wanita berasa gembira dan dapat mengurangkan bebanan stres. Lama kelamaan ia menjadi tabiat dan akan menyebabkan kenaikan berat badan yang banyak.

#2 BEZAKAN ANTARA LAPAR & HAUS

Kadangkala otak tidak dapat membezakan rasa haus dengan lapar. Jadi, sebelum mencari makanan pada waktu malam, minumlah air kosong dahulu. Jika masih juga lapar, barulah puan mencari makanan yang sesuai pula.

#3 WAKTU MAKAN TIDAK TETAP

Jika waktu makan tidak menentu atau makanan yang diambil pada waktu siang TIDAK memuaskan kehendak diri, timbullah rasa lapar pada waktu malam. Bagi mengatasi masalah ini, eloklah disediakan makanan dari rumah atau beli makanan yang anda suka dan bawa sebagai bekalan di pejabat.

#4 ATUR MENU & KALORI

Seelok-eloknya aturkan jadual untuk makan lima kali sehari dengan jumlah kalori sebanyak 400 kalori sahaja setiap kali makan. Dengan mengawal kekerapan dan jenis pemakanan,  anda boleh menjaga jumlah kalori menjadi 2000 kalori sehari. Misalnya, jika suka makan nasi lemak, pastikan hidangan nasi sebesar mangkuk kecil, pilih telur rebus, bukannya telur goreng dan banyakkan timun atau kangkung sebagai bahan sampingan.

#5 BANYAK GULA KETIKA SIANG

Jika anda suka makanan yang manis pada waktu pagi, tengah hari dan petang, maka badan akan ketagih gula. Akibatnya pada waktu malam, anda akan teringin makanan yang manis atau berkarbohidrat. Oleh itu boleh cuba menggantikan gula dalam makanan, roti, kek, aiskrim, minuman dan sebagainya dengan buah-buahan , mengunyah gula-gula getah ataupun mendisiplinkan diri untuk tidak makan makanan yang bergula.

#6 SERAT TINGGI

Akhir sekali, amalkan makan makanan berserat tinggi, minum air kosong secukupnya dan lakukan senaman ringan seperti berjalan kaki setiap hari. Amalan-amalan ini dilaporkan boleh melawan rasa lapar pada waktu malam hari.

 

 

Tinggalkan Komen