Kehamilan

Disahkan Kanser Payudara Semasa Hamil 2 Bulan, Ibu Kongsi Pengalaman Dalam Pa&Ma TV

Share

Tatkala diri sedang hamil, sel kanser pula menyerang. Cabaran getir dilalui ibu ini dalam melakukan rawatan dan dalam masa yang sama menempuhi kehamilan sehingga bersalin.

Puan Rossimah Mohamed, ketika itu tidak menjangka bengkak pada bawah payudara yang dikesan semasa temujanji prenatal. Ibu tabah ini juga telah melalui ujian saringan mammogram mengesan kanser tersebut dan dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut. Disebalik perjuanganya melawan kanser, kesyukuran dipanjatkan kepada Allah apabila kehamilanya dapai diteruskan sehingga bersalin.

 

Ibu ini telah muncul dalam rancangan TV Pa&Ma episod 10, Kehamilan & Kanser yang telah disiarkan di pada 14 Mei 2019, di Astro Prima & Astro Prima HD.

ADA KETULAN DI BAWAH PAYUDARA KIRI
Ibu kepada dua orang cahaya mata ini mengimbau kembali detik awal kehamilannya pada tahun 2015 di mana dia melalui ujian untuk memulakan pemeriksaan antenatal & rekod kehamilannya di sebuah klinik.
“Jururawat yang memeriksa mendapati ada ketulan pada bahagian bawah payudara kiri. Doktor mengesahkan ada ketulan dan membuat surat rujukan untuk refer ke hospital.

“Saya terus hadir ke hospital dan dalam masa 3 hari saya hadir untuk membuat ujian biopsi. Setelah 3 minggu, keputusan ujian mendapati saya mengalami kanser payudara tahap 2.
“Doktor menasihatkan saya untuk membuang ketulan atau membuang keseluruhan payudara. Saya berbincang dengan suami, kami bersetuju untuk membuang kesemuanya kerana tidak mahu memgambil risiko pada masa akan datang,” kata Rossimah kepada Pa&Ma.

DUA OPSYEN YANG SUKAR, SAMA ADA GUGURKAN ATAU TERUSKAN KANDUNGAN

Manakala untuk kandungan, ibu ini diberikan dua opsyen yang dicadangkan oleh doktor. Ia adalah pilihan yang sukar iaitu sama ada untuk meneruskan atau untuk menggugurkan kandungan. Semasa proses pembedahan membuang ketulan tersebut, dia perlu dibius keseluruhan (bius am- general anesthesia) dan ini merisikokan bayi tidak mendapat oksigen.

Setelah mempertimbangkan segala-galanya, Rossimah dan suami memilih untuk meneruskan kandungan zuriat kedua mereka walau pun dirinya bakal menempuhi pelbagai cabaran rawatan barah.

LALUI KIMOTERAPI SEBANYAK ENAM KALI

Selepas pembedahan, Rossimah dirujuk ke Institut Kanser Negara dan beliau telah melalui rawatan kimoterapi sebanyak enam kali. “Semasa kimoterapi, bayi masih dalam kandungan. Saya day care, maksudnya ambil ubat pada sebelah pagi dan tengah hari saya sudah boleh pulang.

“Untuk kimoterapi 5 dan 6, saya melalui operation untuk percepakan proses radioterapi. Bayi saya pula, doktor beritahu ada masalah pada plasenta. Bagi ibu hamil plasenta makin lama makin membesar. Namun bagi saya, plasenta makin lama makin mengecut. Kesan daripada radioterapi itu, perkembangan kaki anak saya tidak berkembang dengan baik. Kakinya tidak lurus, ia membengkok sedikit,” kata Rossimah.

EMOSI TERTEKAN TAPI ROSSIMAH TERUS KUAT
Ibu juga turut mengakui emosinya terganggu. “Ketika rawatan kimoterapi pertama, saya tak boleh bangun. Kimoterapi pertama rambut gugur dengan banyak. Saya berasa sangat sedih tapi suami berikan kekuatan & dorongan. Mesti ada hikmah di sebalik semua ini.

“Ketika kimoterapi yang ketiga, saya minta suami botakkan sepenuhnya kepala. Saya tidak sanggup melihat keadaan rambut yang gugur. Saya nampak segenggam rambut di bilik air, bila ternampak luka pada dada saya menangis. Alhamdulillah suami sangat menyokong. Suami kata jangan menangis. Kalau menangis kasihan pula bayi. Kata suami, kalau sayangkan anak-anak saya perlu kuat teruskan hidup,” kata Rossimah.

MELAHIRKAN PADA USIA KANDUNGAN 36 MINGGU

Ibu ini akhirnya selamat melahirkan secara pembedahan walau pun bayinya pramatang pada usia  kehamilan 36 minggu. Si kecil lahir dengan berat 2.4kg dan mengalami sedikit masalah pada kedua-dua belah kaki iaitu club foot.

Biar pun dilahirkan tidak cukup bulan, anak keduanya itu membesar dengan sihat dan kini sudah boleh berjalan & berlari tanpa masalah. Tatkala mengenang kembali pahit manis ibu ini sempat berpesan sokongan daripada keluarga dan orang sekeliling amat mustahak.

KENA HAPPY SELALU

“Kena happy. Kasih sayang dan kegembiraan adalah satu ubat. Saya tidak bergantung 100% kepada ubat. Saya nasihatkan kepada semua pesakit kanser supaya bangun dan bangkit. Jangan bersedih, menyalahkan diri sendiri dan orang lain. Mintalah pertolongan kepada Allah supaya boleh terus hidup,” katanya.

Bagi anda yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai kanser dan kehamilan, bagaimana ia banyak terjadi semasa wanita hamil, boleh ikuti siaran Pa&Ma 14 Mei 2019, jam 12 tengah hari dan ulangan jam 9 malam di Astro Prima & Astro Prima HD.

Published by
Azma ML