Sering kali kejadian tidak diingini berlaku ketika ada ibu bapa yang meninggalkan anak-anak di rumah sendirian. Baru-baru ini di China menurut satu laporan akhbar antarabangsa seorang kanak-kanak berusia 3 tahun terjatuh dari lantai 29 bangunan kediaman yang didiami oleh keluarganya.
Kejadian berlaku ketika kanak-kanak itu cuba naik ke tingkap dapur dari bangku sebelum terjatuh ke bawah hampir 300 kaki, lapor Daily Mail.
Ibubapa kanak-kanak berkenaan yang berkerja sebagai pekerja migran di Wilayah Pusat Henan telah meminta nenek kepada kanak-kanak itu untuk menjaganya dirumah ketika mereka keluar bekerja.
Namun, ayah kepada kanak-kanak itu memberitahu, sewaktu kejadian berlaku neneknya telah keluar dari rumah untuk melakukan kerja dan membiarkan kanak-kanak itu sendirian di rumah menonton televisyen.
Kira-kira 10 minit selepas itu, neneknya telah pulang ke rumah dan mendapati kanak-kanak itu sudah tiada.
Nenek kanak-kanak itu yang cemas segera keluar untuk mencari dan kanak-kanak itu dijumpai kawasan tanaman bunga dibawah bangunan kediaman mereka. Dakwanya, kemungkinan pokok-pokok yang telah patah di luar banggunan itu yang mengurangkan risiko maut kepada kanak-kanak itu.
Kanak-kanak itu segera dibawa ke hospital kanak-kanak Changzhou dan dilaporkan mengalami kecederaan parah di seluruh badan.
Doktor mengatakan kanak-kanak itu dalam keadaan kritikal ketika sampai di hospital dan mengalami kegagalan penafasan. Terdapat beberapa kesan lebam, luka parah diparu-paru, luka di kedua buah pinggang, patah tulang rusuk dan mengalami pendarahan di saluran pencernaannya.
Walau bagaimanapun, kanak-kanak tersebut dilaporkan telah kembali sedar dan berada dalam keadaan stabil buat masa ini.
Menurut laporan tersebut juga kanak-kanak lelaki itu sedang dalam proses pemulihan.
Sumber: Siakap Keli & dailymail Uk