Tahun kewangan 2024 dilihat memberi harapan besar kepada pelabur ASB apabila prestasi pasaran saham global dan domestik menunjukkan perkembangan positif. Dengan kenaikan dalam indeks utama seperti Nasdaq, S&P 500, Nikkei 225, Hang Seng, serta Bursa Malaysia, prospek pulangan dividen yang lebih baik semakin cerah.

Memetik laporan Berita Harian, menurut Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid, peningkatan harga saham di pasaran-pasaran utama dijangka memberi impak positif kepada pengumuman dividen ASB bagi tahun ini. Sentimen ini memberikan keyakinan kepada pelabur untuk terus menyokong instrumen pelaburan jangka panjang ini.

Dividen ASB 2024, Kenaikan Pasaran Saham Jadi Petanda Baik

“Nasdaq, S&P 500, Nikkei 225 dan Hang Seng, termasuk Bursa Malaysia masing-masing meningkat 32.3 peratus, 27.7 peratus, 16.8 peratus, 16.5 peratus dan 10.9 peratus. Justeru, memandangkan sebahagian besar daripada kelas aset pelaburan ASB adalah pasaran ekuiti, jangkaan terhadap dividen dilihat setidak-tidaknya sama dengan tahun lalu ataupun lebih.

“Berdasarkan laporan tahunan ASB, pendedahan pasaran ekuiti oleh ASB adalah 83.13 peratus pada 2023. Oleh itu, kenaikan harga saham seharusnya menterjemahkan dividen yang lebih baik pada 2024.”

Ads

Mohd Afzanizam berkata, pasaran menyaksikan syarikat seperti Maybank Bhd, Sime Darby Bhd (Sime) dan Tenaga Nasional Bhd (TNB) menunjukkan prestasi yang baik pada 2024, yang memberi impak positif kepada pergerakan harga saham, sekali gus mampu untuk memberikan pulangan yang baik kepada dana ASB.

Dividen ASB 2024, Kenaikan Pasaran Saham Jadi Petanda Baik

Ads

“Pendedahan ASB terhadap sekuriti pendapatan tetap adalah 7.45 peratus pada 2023. Pengaruh kadar faedah secara langsung adalah tidak sebesar pasaran ekuiti, Namun, sentimen kadar faedah di luar negara terutamanya kadar faedah di Amerika Syarikat (AS) dilihat memberi kesan yang lebih besar disebabkan ia boleh memberi impak kepada pegerakaan harga saham global dan tempatan.

“Suasana kadar AS dilihat memberi kesan kepada aliran dana asing. Kita telah menyaksikan dana aliran keluar bersih oleh pelabur asing pada Oktober dan November yang berjumlah RM1.8 bilion dan RM3.1 bilion,” katanya.

Ads

Penganalisis ekonomi, Dr Mohamad Khair Afham, berkata sebagai antara dana pelaburan terbesar di Malaysia, ASB yang mempunyai sebahagian besar portfolionya dalam ekuiti tempatan dan berpotensi mendapat manfaat langsung daripada prestasi pasaran saham Malaysia yang mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 15 peratus setakat suku ketiga 2024 dengan permodalan pasaran keseluruhan kini mencecah RM2.05 trilion.

Katanya, Kadar Dasar Semalaman (OPR) kekal menjadi faktor penting dalam menentukan hasil pelaburan ASB, sekali gus memberikan ruang untuk instrumen pendapatan tetap dalam portfolio terbabit mengekalkan hasil yang stabil.

“Dengan pasaran saham yang mencatatkan peningkatan nilai dan prestasi syarikat tersenarai menunjukkan pemulihan dalam sektor utama, terdapat jangkaan bahawa dividen ASB untuk 2024 berpotensi lebih tinggi berbanding tahun lalu,” katanya.

Sumber: Berita Harian 

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI