“Doakan saya, bantu saya dan berilah pandangan. Kita teruskan legasi pemimpin terdahulu, membina negara Malaysia yang berbilang kaum dan agama, dalam keredaanNya.”
Begitu kata Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri apabila dilantik sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Terdahulu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelantikan beliau sebagai jemaah menteri kabinet baharu di Putrajaya.
Zulkifli berkata, dengan rendah hati saya memohon jasa baik sahabat semua untuk berterusan mendoakan agar saya dikurniakan Allah SWT kekuatan untuk memikul amanah dan kepercayaan ini sepenuh keupayaan.
“Kepada Allah SWT kami berserah dan bertawakal,” katanya dalam perkongsian di instagram dan facebook rasminya.
Zulkifli yang juga anak kelahiran Kuala Terengganu mencatat sejarah apabila menjadi mufti pertama di negara ini dilantik dalam barisan Kabinet.
Beliau yang juga bapa kepada lima orang anak berharap rakyat dapat memberi pandangan untuk sama-sama membina negara ini dalam keredaan Allah.
Sumber: Ig & FB Dr Zulkifli Al Bakri