Setiap ibu patut amalkan doa untuk anak-anak supaya sentiasa dalam rahmat-Nya. Tahukah anda, doa seorang ibu itu mampu menembusi langit? Doa yang sangat mudah untuk Allah makbulkan. Dalam apa keadaan sekalipun, doa adalah senjata kita dengan Allah.
Begitu juga dalam membesarkan dan mendidik anak agar menjadi khalifah yang berjaya di dunia dan akhirat.
Perihal doa ini tidak ada syarat yang utama. Maksudnya, untuk doa anda dimakbulkan oleh yang Maha Kuasa, tidak ada syarat-syarat yang ditetapkan Allah, cukup sekadar ikhlas dan penuh berharap. Tetapi alangkah cantiknya, jika kita memperkemas dan mengamalkan doa-doa yang diambil daripada kalam Allah. Kan? Kalau sukar menghafal dalam bahasa arab, cukup menghafal terjemahan doa tersebut dalam bahasa Melayu pun tidak mengapa. Yang penting ikhlas.
Doa untuk melembutkan hati anak yang degil
Ibu bapa bolehlah amalkan membaca Surah Ash-Syura ayat 19
“ Allah Maha Lembut takdir-Nya (serta melimpah-limpah kebaikan dan belas kasihan-Nya) terhadap hamba-hamba-Nya; Ia memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ( menurut peraturan yang telah ditetapkan), dan Dialah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa”.
Baca doa ini 19 kali pada air dan minta anak tersebut meminumnya. Insya-Allah perangai anak yang degil akan berubah kepada baik dengan izin Allah.
Boleh juga baca doa ini pada ubun-ubun anak itu ketika dia tidur.
Doa untuk anak lembut hati, pintar dan soleh
Ketika memasak, sentiasa basahkan lidah dan bacakan doa ayat 200 dari Surah Ali Imran yang bermaksud:
“Wahai orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaran kamu, dan bersedialah serta bertakwalah kepada Allah supaya kamu berjaya.”
Diikuti pula dengan memperbanyakkan zikir ‘Ya Hayyu,Ya Qayyum,Ya Latiff dan Ya Rahman’ berulang-ulang.
Atau baca Surah al-Fatihah, surah Taha ayat 1 sehingga 5, diikuti doa Nabi Daud sebanyak 3 kali. Doanya, ‘Ya Allah, lembutkanlah hati anakku(sebut namanya), seperti mana Engkau lembutkan Nabi Daud akan besi. (sebut namanya).”Kemudian hembuskan pada makanan dan minuman. Kalau anak masih menyusu, hembuskan pada susu.
Ads
Doa untuk menangani anak lasak dan nakal
Amalkan ayat 40 dari Surah Ibrahim yang bermaksud
“Wahai Tuhanku, jadikanlah aku orang yang mendirikan sembahyang, dan zuriat keturunanku. Wahai Tuhanku perkenankanlah doaku.”
Selepas solat lima waktu, amalkan doa dari Surah Al-Furqan ayat 74 yang bermaksud
“Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh daripada isteri-isteri dan zuriat keturunan kami perkara-perkara yang menyukakan hati kami, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang bertakwa.”
Doa supaya anak rajin solat
Ibu bapa bolehlah amalkan membaca Surah Ibrahim ayat 40-41.
Ads
“ Ya Allah Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan anak-anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan solat. Ya Tuhan kami perkenankanlah doaku. Ya Tuhan kami beri ampunlah aku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang-orang mukmin pada hari terjadinya hisab(hari kiamat).
Doa ini seeloknya dibaca selepas solat, atau setiap kali teringatkan anak. Amalkan membaca doa ini Insya-Allah anak-anak akan utamakan solatnya.
Doa anak taat perintah Allah
Supaya anak taat perintah Allah boleh amalkan doa ini;
Surah Al-Baqarah ayat 128.
“Ya Allah Ya Tuhan kami, jadikanlah kami berdua orang yang tunduk patuh kepada Engkau dan (jadikanlah) di antara anak cucu kami orang yang tunduk patuh kepada Engkau dan tunjukkanlah kepada kami cara-cara dan tempat-tempat ibadah haji kami dan terimalah taubat kami ini. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.
Amalkan dan bacalah doa ini setiap kali selepas solat.
Ads
Doa agar anak dengar kata
Amalkan membaca Surah Al-Anbiya ayat 69.
“ Kami berfirman, Hai api menjadi dinginlah, dan menjadi keselamatan bagi Ibrahim.
Atau Al-Hasyar ayat 22-24
“ Dialah Allah yang tiada Tuhan selain Dia, yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, Dialah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Dialah Allah yang tiada Tuhan selain Dia, raja, Yang Maha Suci, Yang Maha Sejahtera, Yang Mengurniakan Keamanan, Yang Maha Memelihara, Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuasa, yang memiliki segala keagungan, Maha Suci Allah dari apa yang mereka persekutukan. Dialah Allah Yang Menciptakan, Yang Mengadakan, Yang Membentuk Rupa, yang mempunyai Hasmaul Husna, bertasbih kepadanya, apa yang ada di langit dan di bumi, dan Dialah Yang Maha Perkasa, lagi Maha Bijaksana.
Doa memohon rahmat dan keberkatan
Jika surah-surah di atas telah diamalkan, ibu bapa juga dituntut untuk meminta rahmat dan keberkatan dalam setiap yang dilakukan supaya hasilnya akan lebih baik. Bolehlah amalkan surah di bawah ini.
Surah Al-Imran ayat 8-9
“ Mereka berdoa, Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan, sesudah Engkau memberi pertunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami, rahmat dari sisi Engkau, kerana sesungguhnya Engkaulah Maha Pemberi Kurnia. Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau mengumpulkan manusia, untuk menerima pembalasan pada hari yang tak ada keraguan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janji.
Kasut ‘squeaky’ memang nampak comel bila anak pakai tapi ganggu proses belajar berjalan. Kasut ‘squeaky’ atau kasut berbunyi sering kali menjadi pilihan ibu bapa kerana bunyinya yang comel dan menghiburkan.
Kasut ‘Squeaky’ Memang Nampak Comel Bila Anak Pakai Tapi Ganggu Proses Belajar Berjalan
Setiap kali anak melangkah, kasut ini akan mengeluarkan bunyi yang menarik perhatian. Di sebalik kecomelannya, kasut ‘squeaky’ sebenarnya boleh memberikan kesan negatif terhadap proses pembelajaran berjalan semula jadi anak.
Menurut Public Health Malaysia kasut berbunyi ini boleh mengganggu proses pembelajaran berjalan semula jadi anak. Ini kerana mereka mungkin terlalu tertumpu kepada bunyi yang dihasilkan daripada langkah mereka.
Mungkin anda rasa ia comel dan kanak kanak sukakannya, namun ia bukan pilihan yang terbaik untuk dipakai secara harian.
Kasut berbunyi boleh mengganggu proses pembelajaran berjalan semula jadi anak kerana mereka mungkin terlalu tertumpu kepada bunyi yang dihasilkan daripada langkah mereka.
Dari segi keselamatan, bunyi squeaky boleh mengganggu perhatian kanak-kanak, menyebabkan mereka kurang fokus terhadap persekitaran mereka.
Kasut ini juga menyebabkan anak-anak mengubah cara berjalan mereka untuk terus mendengar bunyi, yang boleh menjejaskan postur
Paling penting, kasut ini sebenarnya sangat menggangu ketenteraman orang lain terutama di tempat awam seperti hospital, klinik dan pejabat.
Dari segi kebaikan, kasut jenis ini memberi motivasi untuk kanak kanak belajar berjalan. Ia membantu ibu bapa untuk peka kepada pergerakan anak dan beri keseronokan pada anak.
Mungkin lebih baik, kasut ini hanya di pakai di persekitaran rumah dengan pengawasan ibu bapa, bukan untuk kegunaan harian dan di tempat awam.
Alternatif Kasut untuk Anak Kecil
Sebagai alternatif, ibu bapa boleh memilih kasut yang lembut, fleksibel, dan tanpa bunyi untuk anak kecil yang sedang belajar berjalan. Kasut yang sesuai untuk belajar berjalan sepatutnya memberi sokongan yang baik tanpa menghalang pergerakan semula jadi kaki.
Kasut dengan tapak yang nipis dan lembut juga membantu anak merasakan permukaan lantai dengan lebih baik, yang penting untuk keseimbangan dan koordinasi.
Kesimpulannya walaupun kasut ‘squeaky’ mungkin kelihatan comel dan menyeronokkan, ibu bapa perlu berhati-hati dengan kesan jangka panjang yang mungkin dihadapi oleh anak-anak mereka.
Pembelajaran berjalan adalah proses penting dalam perkembangan motor kasar anak, dan adalah penting untuk memberikan mereka persekitaran dan alat yang terbaik untuk menyokong proses ini.
Memilih kasut yang sesuai tanpa gangguan bunyi adalah langkah yang bijak untuk memastikan anak-anak dapat belajar berjalan dengan betul dan semula jadi.
Bila ada adik baru, si abang mula lah jealous kan. Kadang-kadang anak masih belum faham, mereka rasakan ibu memberikan perhatian lebih kepada baby baru dan mereka rasa terabai. Tapi bayi yang baru lahir memang perlukan lebih perhatian dari si ibu. Pengalaman ini dikongsi oleh blogger terkenal, Irine Nadia di Instagramnya.
Abg Umar. Dia sayang adik dia, selalu datang dalam bilik belai-belai, cium-cium baby, tapi tu laa jeles. Macam kakak-kakak dia steady je dan dulu kakak dia dapat adik tak lah sampai macamni. Haha. Oh anak terunaku .
Umar masih menyusu lagi dgn ibu, rutin dia setiap malam sebelum dapat adik, lepas dia dah habis main, dah letih terus masuk bilik ajak ibu tido. Ni tadi dia nak menyusu, sekali adik terjaga. Letak Umar dekat tepi kejap, tengok-tengok dia cebikkk tutup mata sambil sedu-sedu keluaq ayaqq mataaaa. Tapi nasib baik la bila ayah dia datang, terus happy balik dan tido dgn ayah.
Ibu ni tahan je lah sebak kejap, kang layan perasaan satu keje x boleh buat huhu. Kasih sayang ibu semua sama rata untuk anak-anak.
Netizen turut sebak melihat video yang dikongsi oleh beliau di instagram. Video abang umar menangis tersedu-sedu. Ramai juga yang berkongsi pengalaman mereka dengan anak-anak.
Ala kenapa saya pulak yang rasa sedih dan sayu ni
Boboi macam tu kot irine
Anak lelaki memang macam tu
Sama situasi anak sulung teruna saya bila dapat adik
Jika bercuti bersama keluarga di Langkawi pastikan semuanya dirancang dengan sempurna supaya semua tempat dapat kita pergi dengan teratur.
Tentunya cuti-cuti bersama keluarga adalah antara aktiviti wajib yang mesti ada apabila cuti sekolah atau cuti hujung minggu. Tentu pelbagai lokasi yang dirancang nak membawa anak-anak melihat dunia luar. Apa kata percutian kali ini, bawa anak ke Langkawi. Walaupun tiada taman tema atau pantai, tentu percutian ke Langkawi meninggalkan kenangan manis buat anak-anak.
Ikuti tip daripada Encik Hasnul Yakin Mohammed yang sudah lama menetap di Langkawi. Moga cadangan lokasi menarik menjadi panduan buat yang pertama kali bercadang pergi bercuti ke Langkawi. Klik sini untuk penginapan murah.
Cuti sekolah akan mucul kembali pada minggu hadapan dan sudah tentulah ramai yang ingin berkunjung ke Pulau Langkawi bersama rakan-rakan dan juga keluarga tersayang.Tidak dapat dinafikan yang Pulau Langkawi kini selalu dipenuhi pengunjung terutama sekali kepada pelancong-pelancong yang ingin keluar dari hiruk-pikuk bandar sambil mencari ketenangan di sebuah pulau.
Sebagai seorang yang sudah lama menetap disini, saya berikan beberapa tips dan pesanan semoga ianya dapat membantu dalam kelancaran trip anda untuk ke Pulau Langkawi.
Pengangkutan Feri
Sekiranya anda tidak tahan ataupun alah kepada mabuk laut, saya syorkan untuk anda supaya mendapatkan tiket feri untuk ke Pulau Langkawi melalui laluan Kuala Perlis dan bukannya Kuala Kedah. Ini kerana laluan laut melalui Kuala Perlis hanya mengambil masa lebih kurang 55 minit saja untuk sampai dan 2 jam sekiranya anda datang melalui Kuala Kedah.
Saya juga syorkan supaya anda membeli ataupun menempah tiket feri untuk trip pulang/keluar sebaik saja anda sampai ke Pulau Langkawi kerana ianya adalah satu tindakan yang bijak. Jangan mengambil mudah tentang perkara ini.
Terdapat banyak isu pelancong-pelancong yang terkandas dan tidak dapat keluar dari Pulau Langkawi kerana kehabisan tiket feri Ada juga yang terpaksa tidur di jeti kerana hotel-hotel telah penuh ketika musim cuti sekolah. By the way, sebelum anda give up, anda juga boleh mencuba membuat panggilan ke syarikat Feri RORO yang membawa kenderaan keluar-masuk ke Langkawi kerana mereka juga menyediakan kemudahan untuk penumpang sahaja.
Sekiranya anda membeli tiket feri pada masa tertentu, pastikan anda keluar 2-3 jam lebih awal dari hotel untuk ke jeti. Kesesakkan lalu lintas selalu terjadi di jalan-jalan berhampiran bandar Kuah menghala ke jeti terutamanya ketika musim cuti sekolah ataupun hari cuti umum.Takut nanti terlepas feri!
Lokasi menarik
Makanan
Saya juga ingin recommend kepada anda untuk mencuba beronok (sejenis mentimun laut) yang selalunya dibuat kerabu. Hanya restoran tertentu sahaja mempunyai menu istimewa ini, mungkin kerana beronok yang agak sukar untuk diperolehi. Selalunya Restoran Siti Fatimah yang terletak berhampiran Kampung Tok Senik Resort dan Restoran HBL di Bayas ada menjual menu ini. Cuba lah.
Aktiviti yang paling penting dan jangan sesekali anda lupa ialah mencuba laksa tempatan terutama sekali di restoran Laksa Kaw (Teratak LAKSA KAW Rossabina) yang terletak berhadapan Sekolah Rendah Padang Mat Sirat (berhampiran kawasan Beras Terbakar). Perrkkkhhh…Hidangan laksanya cukup sedap dan agak popular pada ketika ini. Jom !
Cenderahati
Highly recommended – anda harus membeli produk-produk gamat seperti sabun, minyak dan sebagainya sebagai cenderahati.
Pemandangan sawah padi memukau
Menikmati pemandangan yang cukup tenang lagi memukau di kawasan sawah padi yang berlatar belakangkan bukit dan juga gunung-ganang. Sekiranya anda berada di Pulau Langkawi, anda boleh cuba menyusuri jalan sekitar Ulu Melaka menuju ke Makam Mahsuri. Pemandangan di sini is worth to die for!
Pasar malam
Mengunjungi pasar-pasar malam Pulau Langkawi. Anda juga boleh membeli atau mencuba ulam “lat tut”di sini. Jangan takut,”lat tut” ini hanyalah sejenis rumpai laut yang begitu banyak terdapat di Pulau Langkawi. Selalui disediakan sebagai ulam!
Dataran Lang
Fotografi di sekitar Dataran Lang. Harus dilawati kerana ianya adalah ikon Pulau Langkawi. Saya masih sanggup abaikan segala lawatan ke Langkawi Wildlife Park, Crocodile farm ataupun Under Water World Langkawi semata-mata untuk ke sini. Mungkin itu hanya pandangan saya, belum tentu anda.
Hutan Bakau
Menjelajah hutan bakau di kawasan Kilim Geopark. Banyak hotel-hotel dan agensi-agansi pelancungan yang menawarkan pakej ini. Berhati-hati dengan harga yang ditawarkan.
Tasik Dayang Bunting
Saya juga syorkan untuk anda melawat ke Tasik Dayang Bunting. Lawatan ke sini banyak ditawarkan di dalam pakej Island Hopping. Anda boleh berurusan dengan banyak agensi-agensi pelancongan ataupun jurumudi bot di sekitar pantai Teluk Dalam (terletak berhampiran Resort World Langkawi) ataupun jeti Kuah jika berminat untuk ke sana. Baru-baru ini riuh rendah tentang kisah pelancong dari Singapura yang mendedahkan kononnya beliau kini telah hamil selepas berkahwin berbelas tahun tanpa anak. Beliau percaya ianya berkaitan dengan air Tasik Dayang Bunting yang diminumnya tempoh hari. Wallahualam!
Telaga Tujuh
Air terjun tujuh lapisan ini memang cukup popular namun banyak faktor keselamatan yang harus diambil kira sebelum anda datang ke sini.Terdapat beberapa kejadian di mana pelancung-pelancung tergelincir jatuh terutama sekali sewaktu musim hujan.Oh ya..Orang tua-tua kata, sekiranya anda terbau wangi sewaktu disini, janganlah ditegur.Besar kemungkinan puteri tujuh beradik sedang bermandi-manda. Entah betul atau mitos tapi tolong beringat ya!
Langkawi Cable Car
Satu lagi ikon Pulau Langkawi. Sekirannya anda datang ke Langkawi pada musim cuti sekolah, pastikan anda datang awal ke sini kalau tidak mahu beratur panjang. Terdapat juga tiket-tiket ekspress (tidak perlu beratur) yang dijual tetapi harganya agak mahal.
Pantai Pasir Tengkorak dan Pantai Teluk Yu
Aman dan damai.Tiada hiruk-pikuk manusia yang menjerit-menjerit bermain jet ski, ATV ataupun banana boat. Kawasan disini masih sunyi walaupun pada musim cuti sekolah. Pantainya juga agak bersih dan pasirnya juga putih jika hendak dibandingkan dengan kawasan tumpuan seperti Pantai Chenang.
Melawat Makam Mahsuri
Bagi saya ianya tidak masuk akal sekiranya anda datang ke Pulau Langkawi tetapi tidak melawati Makam Mahsuri. Sudah terdapat banyak usaha-usaha menaik taraf telah dijalankan disini dan sebab itulah ianya sering dilawati pengunjung. Terdapat acara pementasan drama Mahsuri selalu diadakan disini terutama sekali pada hari Ahad.
Berkunjung ke Tanjung Rhu
Pertama kali saya sampai ke sini adalah pada tahun 1984 dan ianya tetap memukau sehingga hari ini. Pemandang sewaktu senja di sini cukup cantik !
Pantai Pasir Hitam
Sama ada pasirnya bertukar menjadi hitam atas kerana sumpahan ataupun reaksi tindak balas bahan-bahan kimia, saya biarkan anda sendiri untuk menilainya. Pantai yang terletak berhampiran Teluk Ewa ini selalu dikunjungi kaki-kaki photography yang sukakan pemandangan Pulau Taratao (Thailand) yang boleh dilihat di sini.
Tip makan makanan laut di Langkawi
By the way, saya juga ingin menasihati anda tentang perkara-perkara berikut…………….
– JANGAN menjejakkan kaki ke restoran-restoran yang di penuhi akuarium berisikan udang kara, ikan kerapu ataupun jenahak. Sebenarnya, tidak salah untuk masuk ke restoran-restoran tersebut sekiranya anda mampu dan berbajet besar. Tetapi anda harus ingat tentang harga jualannya.Fahami betul-betul tentang harga yang dipamerkan .Ketahuilah yang harga-harga tersebut adalah berdasarkan harga untuk 100 gram dan bukannya harga untuk sekilogram. Tidak perlu anda aniaya restoran tersebut dikemudian hari dengan membuat posting ke dalam media sosial sambil memaki hamun hanya kerana anda salah faham ataupun tidak puas hati pada harga yang anda terpaksa bayar.
– JANGAN sesekali mencari dan membayar kereta/van/motosikal sewa di Pulau Langkawi melalui ejen-ejen di jeti Kuala Kedah ataupun Kuala Perlis. Saya rasa ramai yang ikhlas untuk berurus niaga tetapi ramai juga yang menipu. Saya nasihatkan agar anda berurus sendiri dengan wakil-wakil kereta sewa sewaktu sampai di jeti Pulau Langkawi. Banyak sudah pelancong yang ditipu sebelum ini. Berhati-hati juga dengan segala pakej penginapan chalet-chalet yang ditawarkan.
– JANGAN terlalu kerap tawar menawar harga. Bukannya tidak boleh malah ianya bagus tetapi biarlah berpada dan janganlah terlalu melampau. Kasihanilah kepada penduduk-penduduk tempatan yang menjalani perniagaan harian secara kecil-kecilan.
– JANGAN merungut mengenai kelajuan wifi dan internet.You’ll find a better connection with benda-benda lain di Pulau Langkawi. Anda kena faham yang anda kini berada di pulau dan bukannya di tanah besar.
-JANGAN memberi makanan kepada kera-kera yang banyak terdapat di bahu jalan terutama sekali berhampiran kawasan Pantai Kok. Habis kotor kawasan persekitaran kerana plastik-plastik sampah yang tidak dikutip semula.
– JANGAN memberi makan kepada burung-burung helang ketika anda mengikuti aktiviti eagle feeding. Apalah sangat zat-zat ataupun khasiat yang terdapat dalam perut-perut ayam yang ditabur tu? Tahukan anda yang aktiviti ini juga boleh menyebabkan burung-burung helang tersebut akan terlalu bergantung harap kepada makanan yang disediakan manusia dan hilanglah deria naturalnya ataupun minat untuk memburu.
– Sila pastikan anda memakai topi keledar. Banyak motosikal-motosikal berkuasa besar dan juga skuter-skuter kecil yang disewakan secara harian di Pulau Langkawi. Pakailah topi keledar yang disediakan dan janganlah terpengaruh sangat dengan filem-filem hindustan yang heronya langsung tidak pernah memakai topi keledar sewaktu dia membawa heroinnya naik motosikal mengelilingi pulau.Banyak sangat kejadian maut yang terjadi depan mata saya. Jangan kita datang ke sini dalam keadaan yang cukup sempurna namun dibawa keluar dalam keranda.- Sedikit perhatian harus diberikan kepada anak-anak anda sekiranya membenarkan mereka bermandi-manda di kawasan Pantai Tengah dan juga Tanjung Rhu terutama sekali sewaktu air laut sedang pasang dan beralun besar. Sila ambil perhatian tentang keadaan dasar laut di kawasan tersebut yang agak dalam dan juga jelmaan ombak-ombak besar yang datang di luar jangkaan.
– Akhir sekali, jangan sesekali meninggalkan Pulau Langkawi sebelum anda menikmati hidangan laksa di Pulau Langkawi. Spot yang terbaik sekali untuk hidangan ini adalah gerai LAKSA KAW di pekan Mat Sirat ( Berhadapan Sekolah Rendah Padang Mat Sirat ). Jangan terkejut walaupun gerai ini agak kecil tetapi selalu dikunjungi oleh selebriti-selebriti tanah air ! Terdapat juga hidangan lain selain laksa disini. Cuba lah !