“Doakan Akak Cepat Dapat Zuriat.” Rider Food Tergamam Dapat RM1K, Duit Disedekahkan

Share

Orang kata anak adalah penyeri dalam rumah tangga dan pengerat hubungan kasih sayang antara suami isteri. Namun tak semuanya bernasib baik untuk mendapat cahaya mata selepas berkahwin walaupun sangat mengharapkan rezeki itu datang cepat.

Ada yang perlu menjalani rawatan untuk mendapat anak, tak kurang juga pasangan yang kedua-duanya sihat tiada masalah, belum sampai masanya untuk menimang zuriat. Semua itu adalah rahsia Allah yang tiada siapa tahu.

Namun kali ini, kisah yang dikongsikan oleh seorang penghantar makanan yang tidak menyangka pelanggannya memberi tip (wang) dalam jumlah yang cukup besar benar-benar buatkan dirinya sebak.

“Sama-sama aminkan niat kakak ini”

Menurut Muhammad Faris Faizul, 28, tiada niat pun untuk menunjuk tetapi niat saya adalah untuk orang ramai sama-sama mengaminkan doa buat kakak ini yang sangat mengharapkan seorang anak dalam keluarganya.

“Sejak berkhidmat sebagai penghantar makanan secara sepenuh masa awal tahun lalu, tak pernah saya terima tip sehingga RM1,000. Jumlah ini sangat besar. Sebelum ini memang ada juga pelanggan yang akan bagi tetapi dalam jumlah yang biasa saja.

“Saya menerima wang ini daripada seorang pelanggan di Bukit Antarabangsa, Ampang, Selangor. Sebaik menerima pesanan, saya bergegas mengambil makanan dipesan di restoran dan menghantarnya ke rumahnya jam 5.25 petang.

“Ketika dalam perjalanan, pelanggan itu ada menghantar kiriman mesej memaklumkan saya supaya meletakkan makanan di meja dalam kawasan rumah dan mengambil sekali sampul yang ada di situ,” katanya.

Selepas beredar daripada situ, Muhammad Faris berhenti rehat di satu kawasan dan terkejut apabila melihat ada RM1,000 di dalam sampul tersebut.

“Saya ikhlas berkongsi rezeki”

Macam tak percaya wang yang dapat sebanyak itu, Muhammad Faris menghubungi semula pelanggan berkenaan kerana bimbang tersilap mengambil sampul sepatutnya.

“Setelah mendapat jawapan, pelanggan itu memang berniat memberi saya wang sebanyak itu.

“Dia ikhlas cuma minta saya doakan semoga dia dikurniakan zuriat dan berkongsi rezeki itu dengan rakan yang lain.

“Ikutkan saya tidak mahu berkongsi kisahnya di FB tetapi lakukannya dengan harapan lebih ramai yang akan mendoakan wanita itu selepas terbaca hantaran saya,” katanya.

Niat sedekah untuk anak yatim dan golongan yang memerlukan

Apabila Muhammad Faris kongsikan kisah ini, ramai yang cadangkannya untuk sedekahkan wang tersebut kepada rumah anak yatim dan masjid.

“Ya memang saya berhasrat menyumbang sebahagian wang diterimanya kepada anak yatim.

“Saya belum usik lagi wang itu tetapi ada terfikir untuk sedekahkan sebahagiannya kepada anak yatim dan golongan kurang bernasib baik kerana mahu pahala pelanggan itu berpanjangan.

“Siapa tahu, dengan sedekah itu, Allah makbulkan impian wanita itu untuk mendapat zuriat seperti yang diharapkan,” katanya.

Kredit: Muhammad Faris Faizul & Metro

**Nak beli barangan kelengkapan barangan anak klik saja di sini

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)

Published by
Wan Amy