Doakan Baby Hawa. Bayi Yatt Hamzah Berusia 50 Hari Terlepas Jatuh Ke Lantai

Share

Pelakon Yatt Hamzah berdepan detik cemas selepas bayinya yang baru berusia 50 hari terlepas jatuh ke lantai selepas terlepas daripada dukungan kakaknya.

Yatt berkata, Suci Hawa Zulaikha yang juga anak keempat itu dalam keadaan stabil selepas dikejarkan ke hospital namun masih perlukan pemantauan.

“Dia ada bengkak sedikit di kepala tetapi tidak boleh x-ray sebab masih terlalu kecil. Ubat pun tak boleh bagi.

“Doktor kata macam stabil setakat ini. Bagaimanapun, masih perlukan pemantauan dalam tempoh 24 jam.

“Kalau muntah berterusan kena bawa semula ke hospital,” katanya kepada Harian Metro.

Menceritakan insiden itu, Yatt berkata dia berada di bilik lain sebelum menyedari kemalangan berkenaan.

“Saya dalam bilik sedang uruskan dan mandikan anak ketiga. Manakala bayi dengan kakak-kakak yang lain berada di ruang tamu.

“Apabila Hawa nangis, anak sulung saya mendukungnya seperti biasa. Malangnya dia terlepas dan jatuh,” katanya.

Terdahulu, Yatt memuat naik di Instagram mengenai insiden itu dan meminta semua doakan anak kecilnya itu tiada apa-apa.

“Mohon doa semua. Baby Hawa yang baru berusia 50 hari baru saja jatuh atas lantai selepas kakaknya terlepas dari dukungan semasa berjalan menuju ke arah bonda.

“Bonda sangat risau dengan keadaan dia. Kasihan baby Hawa. Sekarang nak terus ke hospital,” kongsi Yatt dalam status awalnya.

Sumber: Metro

Published by
Wan Amy