“Syukur Allah beri rezeki anak kedua yang dilahirkan selamat walaupun terpaksa lahir ketika kandungan 8 bulan tetapi dalam masa sama sedih mengenangkan keadaan isteri yang terlantar koma hingga hari ini,” kata Muhammad Hairi Ramli, 27.
Sel kanser merebak ke tulang belakang
Muhammad Hairi berkata, isterinya, Noor Athirah Mohd Ariff, 24, disahkan menghidap kanser payudara ketika sarat mengandung pada bulan lalu, malah difahamkan sel barah itu telah merebak ke bahagian tulang belakang.
Katanya, keadaan isteri menyebabkan doktor mengambil keputusan untuk bayi dalam kandungan yang berusia lapan bulan ketika itu, dilahirkan melalui pembedahan bagi menyelamatkan kedua-dua nyawa.
“Selepas isteri selamat melahirkan bayi kami pada 23 Mei lalu, beliau dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan berada dalam keadaan separuh koma, sekali gus bergantung sepenuhnya pada mesin bantuan pernafasan.
“Lebih menyedihkan, anak bongsu kami yang diberikan nama Muhammad Aidilfitri, belum dapat merasa setitik pun susu daripada ibunya dan hanya bergantung pada susu formula khas untuk bayi pramatang.
“Hati saya sebak setiap kali melihat wajah anak bongsu yang baru dilahirkan, masih belum dapat menikmati belaian seorang ibu.
Ads
“Jauh di sudut hati, saya berharap keajaiban akan berlaku dan isteri boleh menyusukan bayi kami apabila sedar nanti,” katanya.
2017 dah perasan ada benjolan kecil
Menceritakan lanjut, bapa kepada dua cahaya mata itu berkata, selepas melahirkan anak sulung pada 2017, isteri mendapati ada benjolan kecil pada payudara kanan tetapi lama-kelamaan ia hilang susulan berubat secara tradisional.
“Namun ketika mengandungkan anak kedua kami, benjolan pada payudara sebelah kanan timbul semula. Benjolan itu kemudian semakin membesar dan menyakitkan tetapi pada awalnya, disangkakan ia hanya ‘bengkak susu’
“Pada awal kehamilan, isteri sangat cergas. Bagaimanapun apabila kandungan berusia lapan bulan, saya melihat isteri cepat penat dan lesu yang dianggap mungkin kerana beliau sedang sarat.
Ads
Doktor sahkan kanser
“Namun, saya melihat keadaan isteri semakin teruk lalu cuba memujuknya untuk mendapatkan rawatan di hospital dan beliau akur. Selepas beberapa siri ujian dilakukan, doktor yang merawat mengesahkan benjolan itu adalah kanser.
“Ketika itu, luluh hati saya dan hanya mampu berdoa kepada Allah SWT supaya nyawa kedua-dua mereka yang amat disayangi itu dapat diselamatkan,” katanya.
Hilang punca pendapatan
Muhammad Hairi berkata, berikutan beliau terpaksa berulang-alik ke hospital untuk menjenguk keadaan isteri, anak sulung berusia dua tahun, Muhammad Hairil Hafsya kini dijaga ibu mentuanya yang tinggal di Kampung Kok Keli, Tumpat.
Ads
“Bagi memudahkan urusan menjaga anak bongsu yang baru dilahirkan pula, ibu saya, Hazimah Harun, 50, kini tinggal bersama-sama untuk menguruskan keperluannya.
“Pada masa sama, saya buntu memikirkan keadaan kewangan kami sekeluarga kerana sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya hilang punca pendapatan kerana sebelum ini berniaga kecil-kecilan. Buat masa ini saya hanya mengharapkan simpati adik-beradik serta saudara-mara lain kerana belum dapat lagi bekerja berikutan perlu ke hospital dan perlu fokus pada isteri.
“Namun, sampai bila saya perlu bergantung harap pada mereka untuk meneruskan hidup? Harapnya masih ada rezeki lain lagi selepas ini dan berharap Allah memberi syifa kepada isteri untuk kembali sihat dan kami dapat bersatu semula satu keluarga. Hingga kini saya masih buntu lagi memikirkan keadaan isteri dan anak-anak yang masih kecil.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Muhammad Hairi melalui talian 011-64845596.
Seorang wanita berdepan detik cemas apabila bayi perempuannya yang berusia 19 bulan, hampir menjadi mangsa culik dua lelaki warga asing dalam kejadian di sebuah pasar raya dekat sini, malam tadi.
Dua warga asing terbabit bagaimanapun sudah pun ditangkap polis selepas didakwa cuba melakukan jenayah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao, berkata dalam kejadian pada jam 7.30 malam itu, wanita berkenaan memaklumkan dia sedang menaiki tangga bergerak di pasar raya itu bersama anaknya serta adik perempuan.
Menurutnya, seorang bayi perempuan berusia 19 bulan hampir menjadi mangsa culik dua lelaki warga asing berkenaan.
“Wanita berkenaan yang sedang memimpin tangan bayinya tiba-tiba didatangi dua lelaki warga negara asing dari arah belakang yang mana salah seorang lelaki itu bertindak mengangkat anaknya.
“Wanita berkenaan terus menjerit dan menarik semula anaknya manakala dua lelaki berkenaan cuba melarikan diri bagaimanapun berjaya ditangkap orang awam yang berada di pasar raya itu.
“Dua lelaki berkenaan kemudian diserahkan kepada pihak polis dan kini direman tiga hari bagi siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda.
Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara atau mana-mana balai polis berhampiran.
Mendidik anak di zaman serba moden ini sememangnya cukup mencabar. Perlukan kesabaran yang tinggi dan penuh ketegasan dalam mendidik. Hal ini turut sama dilalui pelakon cantik, Faezah Elai.
Ibu kepada tiga orang cahaya mata ini yang turut terpilih sebagai penerima Pa&Ma Gala Award, Best Mama Millenial 2023 mempunyai caranya yang tersendiri untuk mendidik tiga anak perempuannya serta dua anak lelaki tirinya.
Mengakui banyak pengorbanan yang terpaksa dilalui saat bergelar ibu, namun kata Faezah dia rela meninggalkan segala yang pernah dikecapinya dulu demi amanahnya terhadap kesemua anak-anaknya.
“Saya rasa semua ibu kena lupa sekejap tentang penat tu, banyak berkorban banyak benda. Macam saya sendiri banyak korbankan kerjaya saya, me time atau keluarga dengan kawan-kawan.
“Kalau di sini keluar dengan kawan-kawan saya pun dah lupa lama sebab dah tak ada hati nak buat perkara itu sebab anak-anak kan. Kalau saya keluar, anak saya akan call berkali-kali. Jadi saya cukup selesa dengan anak-anak sahaja,” kongsinya menerusi sesi live bersama Pa&Ma.
Didik anak perempuan, anak lelaki cara berbeza
Malah ketika ditanya mengenai cara didikan kepada anak-anaknya, akui Faezah, dia dan suami sememangnya punya cara sendiri.
“Saya ni lebih suka ikut apa yang baik dalam agama kita. Bagi saya cara besarkan anak perempuan lain, cara besarkan anak lelaki juga berbeza. Sebab anak tiri pun saya jaga kan.
“Anak perempuan saya banyak terapkan tentang taat. Nanti bila dah besar perlu taat pada suami dan sebagainya. Jadi saya pastikan mereka ikut apa yang saya buat sejak awal lagi supaya senang bila besar nanti.
“Saya tak bagi mereka banyak pilihan. Sebab anak perempuan ni, contoh kalau kita bagi dia pakai baju merah jambu misalnya, dia akan cakap tak mahu. Jadi dari situlah saya mahu mereka belajar erti taat itu.
“Anak lelaki pula lain, saya ajar dia untuk buat keputusan dalam hidup dia. Contoh kalau kita minta dia pilih baju, selalu dia akan cakap tak kisah dan minta ibu pilihkan. Jadi saya selalu suruh dia buat keputusan dalam banyak perkara.
“Yang perempuan pula, bukanlah saya sekat segalanya tapi saya sertakan dengan sebab dan alasan kenapa dia tak boleh buat sesuatu namun dengan alasan yang baik,” luahnya lagi.
Tidak berdepan kesukaran, akui ibu cantik manis ini lagi, dia paling bersyukur kerana kesemua anaknya paling mudah dijaga.
“Alhamdulillah anak-anak saya boleh terima semuanya dan tak banyak merungut. Kalau saya nak kemana-mana saya jadi mudah. Bagi saya anak ini ibarat satu kain putih, kita yang mencorakkannya. Jika anak saya ada berkelakuan tak betul beritahulah saya, sebab ini semua salah saya.
“Nak didik anak untuk taat dan beradab bukan senang. Saya memang tegas dengan anak-anak tapi saya tak pernah pukul anak-anak saya. Bagi saya hidup kita ni biar miskin tapi jangan kita tak ada adab,” kongsinya lagi.
Bagi peminat Master Chef, anda pasti mengenali barisan juri-juri Master Chef. Jock Zonfrillo antara juri yang diminati ramai kerana tutur katanya yang sopan ketika memberi pendapat dan penampilan yang tampan.
Namun kita baru sahaja dikejutkan dengan berita yang amat menyedihkan apabila Jock ditemui meninggal dunia pada Ahad lalu, jam 2 pagi. Juri MasterChef Australia (M.A) tersebut ditemui berseorangan dalam sebuah bilik hotel di Melbourne.
Mendiang turut meninggalkan dua cahaya mata Alfie dan Isla yang masih kecil serta isteri, Lauren Fried.
Ketika kejadian, Isteri dan 2 anaknya saat itu menyambung percutian mereka di Rome, Itali manakala Jock terbang pulang ke Australia untuk menghadiri sidang media khas pelancaran musim terbaru M.A.
Anak lelaki Jock, Alfie antara yang paling terkesan dengan pemergian beliau kerana Alfie sangat rapat sehingga memanggil bapanya “best friend”.
Jock Zonfrillo dikenali sebagai ‘family man’ kerana sentiasa bersama keluarga dan sangat rapat dengan anak-anak. Mendiang semasa hayat sentiasa berkongsi momen bersama anak-anak di laman media sosialnya.
Sentiasa mengkritik secara profesional dan tidak pernah menengking peserta, peribadi Jock sentiasa dalam ingatan sepanjang menjurikan M.A. Namun siapa sangka disebalik senyum manis yang terukir, rupanya Jock menghidap barah usus beberapa tahun kebelakangan ini dan komplikasi tersebut dirahsiakan daripada pengetahuan umum.
Bantuan Awal Persekolahan, "Peluasan BAP kepada pelajar tingkatan enam pertama kali dilaksanakan..." Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 diperluaskan kepada pelajar Tingkatan Enam bermula pada sesi persekolahan 2025/2026.