Doktor Ajar Teknik ‘Ganjaran Serta Merta’ Kalau Bayi Menolak Untuk Menyusu, Pasti Menjadi!

Share

Naluri setiap ibu selepas bersalin adalah untuk menyusukan bayinya. Kerap kali saya berjumpa dengan ibu-ibu yang sangat bermotivasi sejak mereka hamil lagi untuk menyusukan bayinya sebaik sahaja selepas kelahiran. Akan tetapi ada yang mengatakan ‘Bayi saya tidak suka pada susu saya’ ataupun ‘Bayi saya tidak mahu menyusu’.

Ini akan menyebabkan ibu merasa tertekan kerana memikirkan bahawa bayi tidak mahukannya dan tidak suka pada susunya. Ada ibu yang akan mengatakan bayi berada dalam proses bercerai susu, walhal ini jarang berlaku di kalangan bayi yang berumur kurang dari satu tahun.

Secara lazimnya, ada sebab mengapa bayi enggan menyusu walaupun di peringkat awal kelahiran dan adalah penting untuk kita cuba mengetahui apa puncanya. Apabila sesuatu punca itu diketahui, barulah masalah itu lebih mudah untuk diatasi.

Apakah punca-punca yang menyebabkan bayi enggan menyusu selepas kelahiran?

1. Ubatan yang diterima oleh ibu semasa proses bersalin seperti ubat bius dan epidural. Ubat ini akan membuat bayi mengantuk dan enggan menyusu.
2. Bayi diasingkan dari ibu sejurus selepas lahir dan tidak mendapat sentuhan kulit ke kulit.
3. Masalah di bahagian mulut bayi seperti cleft palate dan tongue tie.
4. Masalah pelekapan disebabkan oleh puting ibu yang tenggelam, rata atau terlalu besar.
5. Posisi yang tidak betul menyebabkan bayi yang tidak selesa apabila menyusu
6. Bayi yang lemah seperti bayi pramatang, hypothyroid atau kurang gula di dalam darah

Ada juga segelintir bayi yang pada peringkat awalnya dapat menyusu dengan baik, tetapi lama kelamaan selepas beberapa bulan akan menolak apabila hendak disusukan oleh ibunya. Kadang kala, bayi akan menyusu sekejap, kemudian akan berhenti dan menangis seperti tidak mahu disusukan lagi. Ini dinamakan Mogok Menyusu ataupun ‘Nursing Strike’. Ini sebenarnya adalah cara bayi untuk memberitahu ibunya yang dia mempunyai masalah tertentu. Jadi ibu perlu cuba menyiasat untuk mengenal pasti apakah masalah ini.

Walaupun penyebabnya kadangkala tidak diketahui dengan jelas, namun ia boleh disebabkan oleh beberapa perkara biasa yang menyebabkan bayi ‘merajuk’ atau tidak selesa.

1. Punca dari susu ibu seperti susu kurang atau terlalu laju, rasa susu yang berubah kerana ibu mengalami Mastitis, datang haid, mengandung dan pengambilan sesetengah jenis ubat.
2. Masalah di bahagian mulut bayi seperti pertumbuhan gigi, jangkitan kulat (candida) atau ulser
3. Masalah perubatan bayi seperti infeksi di bahagian telinga, selsema atau reflux yang menyebabkan bayi tidak selesa untuk menyusu.
4. Keliru puting kerana diberi puting tiruan
5. Bayi sensitif dengan pemakaian minyak wangi atau lotion di bahagian dada ibu yang boleh mengakibatkan bayi kurang berminat untuk menyusu.
6. Bayi merasa takut dengan reaksi ibu sekiranya ibu pernah menunjukkan perasaan takut dan terkejut apabila putingnya pernah digigit oleh bayi sebelum ini
7. Proses perkembangan bayi-Bayi yang berumur enam ke sembilan bulan lebih mudah beralih perhatian dengan persekitaran atau mahukan perhatian ibu sepenuhnya
8. Rutin bayi telah terganggu kerana ibu berpindah rumah atau kembali bekerja.
9. Bayi berpisah dari ibu untuk jangkamasa panjang yang luar biasa.

Mogok menyusu memang menyulitkan walaupun seorang ibu itu amat berdedikasi dalam menyusukan bayinya. Ia merupakan perkara yang sukar untuk diterima apatah lagi jika bayi telah menyusu secara baik untuk beberapa bulan. Kebanyakan ibu merasakan tidak mungkin timbul sebarang kesukaran setelah begitu lama.

Walaupun perlakuan bayi menolak susu badan merupakan pengalaman yang merisau dan mengecewakan, dengan mempraktikkan beberapa teknik, kita boleh melatih bayi kita untuk kembali menyusu. Ia memerlukan sedikit masa, kesabaran dan kasih sayang. Ada bayi yang akan mengambil masa beberapa hari dan ada juga hingga satu ke dua bulan untuk mendapatkan lekapan yang terbaik.

Ingat, bayi tidak boleh dipaksa untuk menyusu kerana ia akan menyebabkan stress kepada bayi dan bayi akan lebih enggan untuk menyusu.

Percayalah! Selepas proses penyusuan menjadi lebih baik, penghasilan susu akan menjadi lebih lancar dan bayi akan mempunyai kepercayaan untuk meneruskan penyusuan dan bayi akan menjadi lebih sabar apabila melekap ataupun ‘latching’.

Apakah tips yang boleh dipraktikkan untuk membuat bayi lebih mahu untuk menyusu badan?

1. Memperbanyakkan sentuhan kulit ke kulit atau ‘Skin to Skin Contact’
• Sentuhan kulit ke kulit bermakna bayi diletakkan telanjang di atas dada ibu yang terdedah. Satu selimut digunakan untuk menutup kulit keduanya.
• Sentuhan kulit ke kulit bukan sahaja dapat membantu proses penyusuan, malah ia juga dapat membantu dengan kenaikan berat badan bayi itu. Luangkan masa bersama bayi semasa penyusuan walaupun penyusuan itu tidak berjaya, dan juga selepas penyusuan.
• Ini akan membuatkan bayi lebih gembira sebelum dia melelapkan mata dan apabila bangun dari tidur. Dengan berada bersama bayi sepanjang masa, ibu akan dapat menyusu bayi sejurus selepas bayi menunjukkan ‘feeding cues’ ataupun tanda-tanda pra penyusuan seperti pembukaan mulut, tangan bayi di dalam mulutnya dan kepala menoleh ke kiri dan kanan.

2. Penyusuan yang kerap
• Tawarkan bayi payudara setiap kali ada peluang untuk memberi ‘comfort’ ataupun kepuasan kepada bayi seperti sebelum bayi tidur atau sejurus selepas bayi bangun dari tidur. Kebanyakan bayi yang menolak penyusuan badan apabila mereka berjaga akan mahu menyusu semasa mereka mengantuk.
• Sekiranya payudara terlalu bengkak, perah susu terlebih dahulu untuk membantu bayi melekap dengan lebih baik pada payudara.

3. Dengan memakai baju menyusu ataupun ‘Nursing Friendly’
• Pemakaian yang sesuai untuk penyusuan ataupun ‘Nursing Friendly’ akan memberi akses yang mudah kepada bayi untuk menyusu dan menjimatkan masa apabila memulakan penyusuan. Bayi boleh hilang kesabaran apabila ibu mengambil masa untuk memperbetulkan baju dan pakaian dalam sebelum menyusu dan ini boleh menggangu proses penyusuan yang sempurna.

4. Dapatkan posisi dan persekitaran yang sesuai
• Dapatkan tempat kegemaran dan juga posisi penyusuan kegemaran bayi anda. Ada bayi yang gemar menyusu dalam posisi baring dan ada yang gemar dalam posisi pegangan buaian atau silang tangan. Anda boleh mencari bilik atau sudut yang bercahaya malap dan pasangkan muzik atau alunan Zikrullah yang menenangkan. Elakkan dari gangguan bunyi bising dari televisyen, radio, alat permainan atau anak yang lain. Selalunya, bayi yang berusia enam hingga sembilan bulan bertindak untuk mogok susu disebabkan dia amat terangsang untuk meneroka dunia yang baru dikenali.
• Anda juga boleh mencuba untuk menyusukan bayi anda sambil bergerak. Sesetengah bayi lebih suka menyusu apabila dibuai atau apabila dibawa berjalan berbanding disusukan semasa anda sedang duduk atau berdiri.

5. Bersabar dan hindarkan dari memberi tekanan kepada bayi untuk menyusu
• Apabila bayi seolah-olah enggan untuk menyusu dan merajuk, elakkan dari menolak kepala bayi ke payudara untuk memaksakan penyusuan. Sekiranya bayi seakan-akan sudah hilang sabar, jangan memaksa bayi untuk melekap ke payudara tetapi banyakkan sentuhan kulit ke kulit supaya bayi dan ibu akan lebih tenang. Cuba jangan tunjukkan perasaan bengang dan marah anda. Apabila bayi mula menunjuk tanda-tanda pra-penyusuan, ibu boleh mencuba lagi.

6. Tidur berhampiran dengan bayi
• Ini akan menggalakkan sentuhan kulit ke kulit dan bayi akan mendapat akses yang lebih mudah untuk menyusu. Tetapi ingat, berkongsi katil dengan bayi ada risiko untuk ‘SIDS’ ataupun Sindrom Kematian Bayi Mengejut. Adalah lebih baik untuk bayi tidur dalam kot atau katil bayi dalam bilik yang sama dengan ibu.
• Apabila bayi tidur di dalam katilnya sendiri tetapi di dalam bilik yang sama dengan ibu, ibu akan dapat menyusu bayi dengan segera iaitu sejurus sahaja selepas bayi menunjukkan tanda para penyusuan atau ‘feeding cues’ dan lebih mudah untuk menyusu pada waktu malam.
• Jangan beri bayi anda puting tiruan.

7. Teknik ‘ Ganjaran serta merta’ ataupun ‘Instant Reward’
• Teknik ini adalah untuk melatih bayi untuk mempelajari bahawa lekapan ke payudara adalah cara untuk mendapatkan susu. Ibu boleh menggunakan mana-mana cara yang sesuai.
i. Perah susu secara manual dengan tangan atau dengan pam sehingga merasa ‘let down’ sebelum bayi melekap pada payudara
ii. Jika ibu menggunakan Pelindung Puting ataupun ‘Nipple Shield’, isikan di bahagian puting dengan susu sebelum bayi melekap
iii. Titiskan susu ibu pada puting ibu di sudut mulut bayi semasa bayi sedang melekap dengan menggunakan dropper atau picagari
iv. Dengan menggunakan ‘Supplemental Nursing System (SNS)’

Sekiranya bayi masih enggan menyusu, cuba beri bayi susu ibu yang diperah (EBM ) dengan menggunakan cawan yang kecil atau sudu. Kemudian, bawalah bayi berjumpa dengan doktor untuk memastikan bayi anda sihat.

Adalah penting untuk membawa bayi yang tidak sihat berjumpa dengan doktor bagi dapatkan juga rawatan yang sesuai untuk bayi dan posisi penyusuan yang terbaik untuk bayi yang sedang berada dalam kesakitan.

Ibu juga perlu sentiasa memerah susu bagi memastikan bekalan susu tidak terputus selagi bayi masih enggan untuk menyusu.

Saya sering mengingatkan ibu-ibu bahawa sifat bayi untuk enggan menyusu ini adalah sementara sahaja. Dengan mengenal pasti punca mengapa bayi enggan menyusu dan sekiranya ibu juga berkomited untuk meneruskan penyusuan dan juga mendapat sokongan dari ahli keluarga, InsyaAllah ibu akan berjaya.

Sumber:
Dr Tengku Putri Zainab
Pakar Pediatrik
MBBS (IMU), MRCPCH (UK)
Sunway Specialist Centre Damansara
Klinik Pakar Kanak-Kanak Dr Putri, Sunway Specialist Centre Damansara

 

Published by
NuFa