Doktor Bagi Neb Bila Pernafasan Anak Teruk. Jika Kerap Ambil Tiada Masalah

Share

Rawatan nebuliser adalah cara yang paling cepat berkesan pada bayi dan kanak-kanak yang ada masalah pernafasan seperti nafas laju, berkahak atau semput.

Persoalannya ramai ibu bapa risau anak akan ketagih neb jika kerap mengambilnya. Adakah betul?

Dr Aishah Alsagoff bagi penjelasannya untuk ibu bapa lebih faham.

Anak saya akan ketagih neb ke doktor? Ini soalan saya biasa terima saban hari. Sebelum kita jawab, jom kita fahamkan dulu apa tu neb?

Neb adalah singkatan dari nebuliser. Atau orang panggil sedut gas. Nebuliser ni sebenarnya satu alat yang menukarkan ubat dari bentuk cecair kepada bentuk mist/gas.

Selepas itu kita akan sedut ubat tersebut melalui oxygen facemask dan terus ke paru-paru. Jadi asalnya ia adalah ubat cecair, yang kita tukarkan ke bentuk gas supaya mudah diberi.

Rawatan nebuliser ini biasa sangat untuk bayi dan kanak-kanak, kerana mudah untuk disedut dan mempunyai efek yang segera.

Bila bayi perlukan neb?

Bila ada masalah pernafasan seperti nafas laju, berkahak, semput, dan sebagainya yang perlukan kelegaan segera dan cepat. Ada juga bayi yang stabil, aktif dan nafas tidak laju, tetapi masih perlukan neb untuk membantu mencairkan kahak.

Oklah, jadi kita berbalik kepada soalan di atas.

Anak saya akan ketagih neb ke doktor?

Tidak wahai ibu-ibu. Sama seperti makan ubat asma atau ubat kahak dalam bentuk cecair tidak membawa ketagihan, begitu juga dengan neb. Tidak sama sekali ye.

‘Yelah biasa di hospital setiap 4-6 jam diberi neb, memang takpe ke?’

Iya, memang perlu begitu, kerana efek neb hanya sementara, dan sesetengah jangkitan paru-paru yang lebih serius perlukan rawatan neb yang kerap dan konsisten untuk membantu bukakan kembali saluran pernafasan.

Kalau pakai neb ni maksudnya bayi saya ada asma ke doktor?

Bukan begitu. Bronchitis, bronchopneumonia, croup, hyperactive airway, ini adalah antara banyak-banyak jangkitan paru-paru yang ‘common’ dikalangan bayi dan kanak-kanak yang perlukan neb selain dari asma. Jadi, pakai neb bukan bermaksud anak anda sakit asma ye. Melainkan dia memang sudah didiagnos ada asma.

Mungkin dengan keadaan cuaca kita sekarang, makin kerap bayi kecil kena bronchitis dan jangkitan paru-paru. Jadi sedikit saya nak pesan, selain faktor cuaca yang kita tak boleh kawal, yelah kuasa Tuhan, ada beberapa faktor yang kita boleh kawal, dan harap dapat sama-sama menjaga.

ASAP ROKOK

Rumah yang ada bayi kecil, penghuni rumah janganlah hisap rokok didalam rumah, mahupun di halaman rumah. Pun tak boleh. Bauan rokok dan asap rokok sangat sensitif untuk bayi

Begitu juga di tempat-tempat awam terutama kedai makan. Tengok dulu kiri kanan ada budak kecil tak di meja sekitar. Kasihankan mereka.

KUCING, MAINAN BERBULU

Bayi yang kerap kena jangkitan paru-paru, senang alah dengan bulu kucing! Selain bulu kucing, bulu-bulu teddy bear atau apa-apa soft toys pun tak boleh juga. Simpanlah teddy bear tu tunggu dia besar

HABUK, HAMA KARPET, DAN YANG BERKAITAN

Jika anak kerap batuk elakkan karpet di rumah buat sementara waktu. Habuk, hama karpet boleh jadi punca anak ada masalah berkaitan pernafasan dan alergi.

Sumber: Dr Aishah Alsagoff

Published by
Wan Amy