Bertindak Sebelum Terlambat!Terdapat enam panduan elak gigi anak kehitaman dan berlubang. Hakikatnya gigi yang sihat adalah aset yang sangat penting untuk anak bercakap dan makan dengan sempurna. Semestinya tanggungjawab menjaga kesihatan gigi anak-anak terletak dibahu ibu bapa. Hakikatnya elemen yang terpenting bagi penjagaan gigi dan gusi ialah kebersihan mulut yang baik supaya dapat melindungi anak anda daripada kerosakan dan pereputan gigi susu.
Anak akan mulai tumbuh gigi susu yang pertama iaitu gigi kacip pada usia lebih kurang enam bulan ke atas. Apabila gigi sudah tumbuh, ibu bapa perlu membantu anak membersihkan giginya dengan menggunakan berus gigi silikon yang lembut. Seterusnya apabila set gigi susu sebanyak 20 batang sudah tumbuh pada usia dua setengah tahun ke atas, ibu bapa perlu mula tunjuk ajar anak mereka bagaimana cara yang betul untuk menggosok gigi anak mereka.
Namun masalah kerosakan gigi mulai berlaku apabila kebersihan gigi diabaikan. Ia termasuk juga perihal anak yang suka menghisap botol susu sambil tidur. Ia amalan yang sangat tidak digalakkan. Kandungan kanji atau karbohidrat dalam susu akan membentuk lapisan melekit (plak) pada permukaan gigi anak anda. Seterusnya susu yang melekat pada gigi akan menyebabkan gigi mudah mereput. Sebaiknya selepas setiap kali selesai anak anda menghisap susu, bilas mulut dengan memberi sedikit air kosong atau lapkan gigi anak anda menggunakan kain yang bersih.
Jom ikuti enam panduan oleh Dr Halina Haron,Pakar Pergigian, Klinik Pergigian Halina, Bangsar mengenai penjagaan gigi anak buat ibu bapa untuk memastikan kesihatan gigi anak sempurna. Amalkan panduan ini untuk mengelak kerosakan gigi anak anda.
1.Sayuran dan buah-buahan berserat
Pemakanan yang baik untuk diamalkan supaya anak akan mendapatkan gusi yang sihat adalah dengan menggalakkan memakan sayur-sayuran dan buah-buahan berserat. Elakkan snek bergula yang tiada nutrisi. Amalkan tabiat yang sihat dan betul perlu di titik beratkan sejak kecil lagi.
2.Elakan makanan bergula dan berkanji
IKLAN
Pemakanan yang berkandungan gula dan berkanji sangat tidak digalakkan kerana gula adalah musuh utama gigi, selain boleh menyebabkan obesiti. Jika tidak menjaga kebersihan mulut dengan cara menggosok gigi, kandungan gula ini akan melekat pada permukaan gigi sekali gus mereputkan gigi jika dibiarkan berterusan dalam keadaan begini.
3.Elakkan menidurkan anak dengan botol berisi susu.
Pastikan anak menghabiskan susu dengan segera dan setelah anak tidur gantikan dengan botol berisi air kosong biasa. Dengan cara ini, gigi anak tidak akan rosak dengan mudah. Galakkan anak meminum air kosong sejak kecil. Peranan dan kefahaman ibu bapa di sini adalah penting.
IKLAN
4.Kesihatan gusi
Gusi anak perlu dijaga dengan membersihkan gusi walaupun sebelum gigi susu tumbuh. Susu mengandungi karbohidrat yang berkanji dan ada yang bergula. Sekiranya sisa susuan tidak dibersihkan dengan betul pada rongga mulut dan batas gusi anak, ia akan menyebabkan mulut anak akan berbau masam dan gusi boleh menjadi keputih-putihan dan tidak sihat. Keadaan gusi sebegini akan menyebabkan anak berasa tidak selesa jika dibiarkan berterusan.
5.Mengosok cara yang betul
IKLAN
Ibu bapa perlu tahu bagaimana cara membersihkan gigi anak. Ia termasuk cara menggosok gigi dari atas ke bawah dan sebagainya. Juga pemilihan berus gigi dan ubat gigi mengikut umur perlu betul supaya kebersihan mulut dilakukan dengan sempurna. Sentiasa ingatkan anak untuk menggosok gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari dengan anggaran selama dua minit. Ibu bapa boleh menjadi contoh yang baik bagi anak.
6.Pemeriksaan berkala setiap enam bulan
Dinasihatkan anak berusia setahun dibawa berjumpa doktor pergigian supaya dapat diberi tunjuk ajar cara membersihkan gigi anak. Ia untuk memastikan tiada gigi yang berlubang dan gusi pula sihat. Sekiranya berlaku masalah pergigian, rawatan akan diberi pada bahagian yang bermasalah itu.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Masih dalam mood raya, si comel Aaisyah masih lagi jadi perhatian peminat ibunya walaupun dah masuk minggu ke-3 Syawal. Dengan gaya yang tak pernah kalah, ramai yang suka melihat aksinya yang bersahaja.
Bab berfesyen, gaya Aaisyah macam mummy. Semua pakaian yang digayakan cantik-cantik dan sedondon pula tu. Untung sangat Aaisyah!
Nak tahu cantik ke tak baju raya Aaisyah boleh tengok gayanya mengenakan baju raya yang cantik rekaan pereka terkenal pilihan mummy nya sejak dari raya pertama hingga pakaian ke rumah terbuka yang dihadiri mereka sekeluarga.
Bukan sahaja pakaian yang digayakan Aaisyah, gelang tangan yang dipakainya juga turut jadi perhatian netizen.
“Tudiaa gelang aaisyah”
“Besau nyo gelang sha”
“Omg lawanyaaaa!”
“Gelang sajat..comel aje”
Ramai yang teruja tengok gelang Aaisyah. Tak kurang juga yang cakap bertuah betul Aaisyah jadi anak perempuan Che Ta.
Dua Abang Bodyguard Aaisyah
Aaisyah juga beruntung kerana bila dia satu-satunya anak perempuan dalam keluarga, semua memberi tumpuan padanya.
Boleh dilihat keakraban dua abang yang rajin melayan keletah Aaisyah, ternyata dia begitu disayangi walaupun jarak umur mereka jauh berbeza.
Tak hairanlah bila Aaisyah besar nanti abangnya bodyguard Aaisyah.
Sumber: ig aaisyahdhiarana & rozitachewan1
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Mendidik anak sebenarnya fleksibel. Jika kena formulanya memang berkesan tapi kadang-kadang kesilapan juga boleh berlaku kerana kita sebagai ibu bapa terlalu mengikut perasaan.
Mungkin kita tak boleh nak kawal kemarahan pada waktu itu namun bila keadaan dah kembali reda baru kita rasa insaf dan kasihan pada anak. Inilah lumrah kita sebagai ibu bapa.
Perkongsian dari seorang bapa, Ws Adli W Muhammad ini boleh dijadikan pengajaran bersama dan semoga kita sama-sama menjadi ibu bapa terbaik dalam mendidik anak.
Ada orang tanya saya, bagaimana cara terbaik untuk mendidik anak. Saya tidak layak menjawab soalan begitu. Yang saya boleh katakan, saya bukanlah bapa yang baik, yang boleh dijadikan contoh kepada yang lain.
Ada satu peristiwa yang benar-benar sehingga kini mengganggu diri saya. Setiap kali dikenang, saya tidak malu katakan bahawa saya menangis. Pernah juga saya teresak-esak tidak dapat menahan betapa sesalnya saya berbuat perkara tidak baik dalam mendidik anak saya, Safiyyah. Apalah beban yang perlu ditanggung pada usianya yang hanya berumur empat tahun ketika itu.
Ceritanya begini
Sejak Safiyyah mempunyai adik, dapat dilihat bahawa dia banyak cemburu. Safiyyah ini sejak lahir tidak pernah meragam besar, hanya kecil-kecil sahaja ragamnya seperti mahukan susu, mahu tidur dan mahu berjalan di luar rumah. Budaknya diam, tidak banyak bercakap. Melainkan apabila diacah oleh kami dan saudara mara.
Di dalam rumah kami, Safiyyah mempunyai motor beroda tiga berkuasa bateri yang boleh ditunggangnya di dalam rumah. Yang saya perasan, apabila adiknya Riyadh, ketika itu sudah berusia 2 tahun mahu bermain bersama, akan ditolak adiknya. Yalah, padanya itu harta dia. Budak-budak. Banyak kali saya lihat, Safiyyah suka menolak adiknya itu apabila cuba menaiki motornya.
Sampailah suatu hari pada waktu senja, mereka bergaduh pasal motor tu. Safiyyah seperti biasa akan jadi pemenang, menolak adiknya sehingga jatuh terduduk. Riyadh menangis besar.
Saya yang masa itu mahu ke bilik air untuk mandi, naik marah. Memarahi Safiyyah sunguh-sungguh dengan mengatakan padanya, dia seorang kakak yang kedekut, suka cari pasal, bencikan adik dan paling saya ingat sampai sekarang “Abah tak akan cakap lagi dengan Safiyyah”.
Kau bayangkan kawan, saya berkata kasar begitu kepada anak kecil yang baru berusia empat tahun.
Safiyyah menangis. Tersedu-sedu dan membawa diri ke bilik wan (nenek) nya. Berjalan penuh sayu, menunduk sambil tangan kanan mengesat-ngesat air mata yang jatuh berjurai di pipinya. Sayu, teramat sayu dan pilu.
Saya terus dalam keadaan marah masuk ke bilik air. Mulut masih lagi membebel. Selesai mandi saya kembali ke bilik. Sudah sahaja memakai pakaian, saya pun bersedia untuk keluar dari bilik menuju untuk bersolat maghrib di ruang tamu. Ketika mahu keluar,di dinding, bersebelahan pintu bilik, Safiyyah duduk di situ.
Dengan kedua-dua tangan memeluk lutut yang mana lututnya itu di paras dadanya, kepalanya tertunduk, dan dia kemudian memujuk saya dengan mengangkat kepala memandang ke arah saya, perlahan suaranya tersedu-sedu memanggil “Abah, abah, Safiyyah ni”.
Itulah Safiyyah. Kena marah macamana pun, tak sampai seminit dia akan cuba mengambil hati saya dengan menunggu di pintu bilik. Banyak kali sudah dibuatnya begitu.
Itulah perkara paling bodoh saya lakukan dalam hidup saya hari itu. Saya langsung tidak menyahut panggilan Safiyyah, dan lebih malang bagi Safiyyah, saya tidak langsung menghiraukannya. Terus membentang sejadah dan bersolat maghrib, dalam keadaan marah hanya reda sedikit.
Safiyyah pula, kekal duduk bersandar di dinding, dengan harapan saya akan memujuknya.
Tidak. Saya terus tidak melayannya. Keluar dari rumah, untuk ke masjid pula, saya terus dengan ego bodoh saya terhadap anak kecil itu, tidak memandang dan melayannya.
Ketika saya bergerak ke masjid dengan menaiki motorsikal, saya sempat memandang ke arah pintu cermin, kelihatan Safiyyah memandang sayu ke arah saya. Saya pula, kekal tidak pedulikannya.
Kalian tahu, hari itu anak kecil bernama Safiyyah ini diuji perasaannya pada usia begitu dengan sikap sombong dan bodoh bapanya, iaitu saya.
Sungguh, pandangan sayu Safiyyah hari itu, masih kekal dalam ingatan saya.
Di masjid, sebelum Ustaz Jauhari memulakan kuliahnya, beliau suka bermula dengan mukadimah berkaitan isu-isu semasa. Entah kenapa hari itu, beliau memberi peringatan dan pengajaran berkaitan mendidik anak dengan betul. Katanya:
Mendidik anak bukan seperti mendidik orang dewasa, perlu belaian dan kasih sayang yang berlebihan daripada walinya dan ibunya.
Tarik minat anak-anak dengan ilmu agama, sirah nabi.
Tegur anak dengan baik, bukan menengking, memboikot malah menarik muka mahupun tidak bertegur sapa beberapa hari.
Rujuk cara nabi Muhammad melayan anak-anak.
Anak kalau bergaduh sesama, itu biasa. Bagi masa untuk mereka suaikan diri, bagi peluang semua merasa dan bagi menang-menang, bukan sorang menang, sorang kalah.
Anak merajuk, ambil hati anak. Bukan dibiarkan begitu sahaja dengan dunia rajuknya.
Dengarkan anak dengan bacaan al Quran dari bibir kita sendiri, perlahan-lahan anak ini akan jadi anak yang patuh pada arahan kita, lembut hatinya mendengar kata.
Saya termenung. Semasa itulah saya sedar, betapa bodoh dan sombongnya tindakan saya terhadap Safiyyah. Tindakan paling bodoh diambil untuk budak seusia begitu. Ya Tuhan, ampuni aku.
Mengikut marah saya, saya lupa perasaan Safiyyah yang masih kecil. Saya lupa betapa dia perlukan kasih sayang saya. Saya lupa, betapa dia suka duduk di atas riba saya. Saya lupa, bahawa umurnya ketika itu baru empat tahun. Saya silap, bukan itu didikan untuk Safiyyah pada usianya begitu. Saat itu, hati saya mendesak untuk pulang segera, bertemu dan memeluknya erat sepuas-puasnya.
Selesai solat isyak, saya lekas pulang. Hati saya memberontak, mahu terus berjumpa dengan puteri si jantung hati saya. Sesampainya di rumah, isteri membuka pintu, kemudian berkata pula dalam sayu,
“Kasihan Safiyyah. Dia sudah tidur, menangis tidak henti-henti. Abang ni, nak marah ke budak pun, janganlah sampai begitu sekali sikapnya. Tak layan ke dia, tak pandang ke dia, tak tegur ke dia. Apalah yang dia tahu pada umurnya begitu. Dunianya hanya kegembiraan, dunianya hanya penuh permainan yang menyeronokkan. Dunianya, sudah pasti ada cemburu pada adik-beradiknya. Kita pun begitu kan dulu-dulu?”
Saya terduduk di atas sofa. Menghadap wajah Safiyyah yang sedang lena di atas toto, dibentang di ruang tamu. Wajah comel itu, sayu dan menyimpan rindu buat ayah yang baru sahaja memarahinya tanpa memikirkan tahap usianya, tanpa memikirkan bahawa Safiyyah itu anak perempuan, yang memerlukan kelembutan dalam asuhan berbeza dengan lelaki.
Saya, bertegas tidak bertempat. Itu semua mencipta tindakan bodoh dari diri sendiri.
Saya perlahan turun dari sofa dan merapati Safiyyah. Mengusap-ngusap kepalanya, menyentuh lembut pipinya. Ketika jari saya menyentuh tapak tangannya, seakan dia tahu ketika itu saya yang menyentuhnya, cepat dia menggenggam dengan jari kecilnya. Erat. Lama bagai tidak mahu dilepaskan.
Saya sebak. Menyesal dengan tindakan melulu saya, menyesal dengan dosa yang telah saya lakukan kepada Safiyyah. Entah kenapa saya hari itu, menuruti kata syaitan memenuhi nafsu amarah, meninggi ego kononnya saya betul lakunya.
Wahai kawan,
Anak ini anugerah agung kurniaan Allah. Didiklah mereka dengan jalan dan ajaran yang betul dan benar. Tegurlah mereka, perbaikilah sikap mereka mengikut usianya, berikanlah kasih dan sayang sepenuhnya selagi berpeluang. Kawal emosi kita ketika berhadapan dengan mereka. Berikan masa untuk mereka bermanja dengan kita, luangkan masa untuk bersama bergurau senda bermain.
Saya pernah tersasar dalam memperbaiki sikap anak. Betapa sakitnya dan perasaan sesal itu kekal terpahat dijiwa sehingga sekarang. Tak pernah pudar walau sesaat.
Anak menghadirkan berkat dan rahmat buat kita, menambah rezeki keluarga. Tidak pula mereka membebankan kita, apatah lagi menyusahkan hidup kita.
Hadir mereka membawa keindahan dalam kehidupan berkeluarga. Indah jugalah hendaknya cara didikan kita, kelak harapannya apabila membesar setiap tahun, mereka mengikut segala didikan dan ajaran yang baik-baik, dan dapat menempuh alam kehidupan penuh cabaran dengan berpandukan jalan-jalan disukai agama dan masyarakat.
Mereka, pengirim doa bahagia kita di sana, asuhlah sebaiknya.
Kadangkala anak sengaja ugut nak buat sesuatu yang dia tahu kita akan marah, itu tandanya dia cuma nak dapatkan perhatian dari ibu ayah. Tak perasan atau memang biasa situasi ini berlaku tanpa kita sedar ia adalah petunjuk yang anak-anak mahukan ibu ayah memberi perhatian kepadanya.
Sedar atau tidak kurangnya perhatian dari ibu ayah akan membuatkan si kecil menjadi nakal, tak duduk diam dan mengamuk tak tentu pasal. Mungkin anda beranggapan ia perkara remeh kerana ketika itu anda sedang sibuk dengan urusan kerja atau menghadap handphone. Namun disebabkan hal yang kecil dan remeh ini ia boleh memberi kesan terhadap tingkah laku dan emosi anak.
Perkongsian daripada Noor Afidah Abu Bakar, Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK) ini boleh dijadikan panduan berguna kepada semua yang bergelar ibu bapa!
“Pecahkan ni ye Mama. Pecahkan ye!”
Tumpuan kepada kerja-kerja saya terganggu apabila mendengar nada ugutan yang keluar dari mulut seorang anak kecil kepada ibunya.
Saya menjeling ke arah datangnya suara itu. Seorang wanita duduk bersama dua orang anaknya, seorang lelaki yang berusia lingkungan 8 tahun dan seorang perempuan yang berusia lingkungan 6 tahun.
Anak perempuan masam mencuka sementara anak lelaki buat hal sendiri seakan kebosanan.
“Tengoklah abang ni Mama. Tengoklah, Dia kacau.”
Ibu masih khusyuk dengan telefonnya tanpa sebarang ekspresi. “Sekejap la, Mama nak balas ni kejap.” Si Ibu bersuara memberi respon kepada anak tanpa memandangnya.
“Nak pecahkan ni! Nak pecahkan!” Anak perempuan masih mengugut hendak pecahkah ‘tablet’ yang dipegangnya. “Sekejap la.” Balas ibu lembut dengan matanya melekap pada telefon. Sedikit pun tidak dijelingnya kepada anak yang mengugut.
Anak itu kelihatan kecewa kerana tiada perhatian daripada ibu.
“Nak kencing dalam seluar!” Ugutan anak berterusan tetapi kali ini bukan lagi tentang ‘tablet’.
“Kencing dalam seluar!” Sambil anak memegang seluarnya dan memerhatikan si ibu. Mata ibu masih pada telefonnya. Langsung tidak terganggu seolah-olah itu perkara biasa.
Rimas saya melihat si Ibu. “Oh ibu, pandanglah sekejap anak itu. Sudah lama dia cuba mencuri perhatianmu. Sekejap pun jadilah. Dia hanya ingin mengadu.” Getus hati saya.
Selama hampir 20 minit anak mengugut ibu supaya memberi perhatian kepadanya. Dia ingin mengadu tentang abangnya yang mengganggu.
Abang kebosanan, adik diganggunya. Itu biasa.
Balasan ibu hanyalah “Sekejap” “Sabar” “Ibu perlu balas e-mail” Jeling pun tidak. Mungkin itu juga perkara biasa dalam dunia yang serba terkejar-kejar sekarang ini.
Tetapi anak kecil mengugut untuk merosakkan harta benda dan melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya, itu luar biasa.
Anak sanggup lakukan apa saja untuk mendapatkan perhatian ibubapa. Apa saja seperti anak perempuan ini. Perhatian yang diberikan adalah isyarat bahawa dirinya bernilai dan dihargai. Jika dirinya dirasakan tidak bernilai bagi ibu, kenapa perlu dia peduli tentang tablet atau seluar yang dikotorkan? Itu hanyalah material yang boleh diganti.
‘Attention seeking’ adalah sifat semulajadi anak-anak, tidak kiralah kecil atau remaja. Tingkah laku anak akan dipengaruhi oleh matlamat inginkan perhatian.
Ingatkah lagi penulisan saya tentang ‘sense of belonging?’
Noor Afidah Abu Bakar Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)