Doktor Ini Bagi Pesanan ‘Mesra’ Untuk Para Suami Tentang Perancangan Kelahiran Anak

Share

Bila bercakap bab perancangan kelahiran anak semua akan fokus pada kaum wanita. Hakikatnya para suami pun boleh juga merancang kelahiran anak tapi kena ada ilmu dan info yang betul.

Tempoh mengandung isteri selama 9 bulan seharusnya melibatkan suami dalam bab perancangan menyambut kehadiran orang baru. Tiada lagi tipikal situasi hanya isteri sahaja yang sibuk buat persiapan sedangkan sumai buat ‘dekk’ je.

Pesanan ‘mesra’ untuk para suami yang ditulis oleh Dr Ahmad Firdaus yang juga seorang bapa wajar dijadikan sebagai panduan berguna untuk suami merancang kelahiran anak.

BIRTH PLAN untuk suami.

Saya seorang lelaki. Saya tiada rahim.

Layakkah saya untuk membuat birth plan atau perancangan untuk kelahiran?

Mesti la boleh.

Bak kata orang England, it takes two to Tango. Isteri takkan tiba – tiba mengandung secara ajaib kan? Mesti ada pasangan hatinya.

Jadi, apa yang harus saya rancang?

Sebagai seorang suami yang mencintai isteri, buat keputusan bersama. Ada 38 hingga 40 minggu untuk anda bersedia dengan rancangan anda.

1. Temujanji

Bukan temujanji ‘dating’, tetapi temujanji berjumpa doktor. Buat keputusan bersama. Nak ke Klinik Kesihatan Awam atau ke Klinik Pakar Swasta. Dua – dua ada kebaikannya tersendiri.

Kalau nak dapatkan temujanji yang lebih flexible, boleh ke klinik swasta. Boleh buat temujanji pada hari Sabtu. Kalau tunggu lama sangat, nanti ada petugas yang tuangkan air coklat panas dan biskut. Tapi kena bayar lebih sikit la. Segala kos ujian darah dan pengimejan (ultrasound) perlu ditanggung sendiri.

Di klinik kesihatan awam pula, faham – faham lah. Pesakit ramai. Masa menunggu pun lama. Jangan harap lah nak ada petugas tuangkan air milo. Bayaran pula berapa? Percuma sahja. ‘Bayaran’ tersebut termasuk kos rawatan, ujian dan konsultasi.

2. Simpan duit

Ada 40 minggu untuk rancang kewangan. Ada 8 hingga 9 kali terima gaji sebelum diketemukan dengan seorang cahaya mata. Kena rancang betul – betul kan? Kebanyakan skim takaful yang sedia ada tidak menyediakan pelan perlindungan untuk wanita mengandung. Segala tanggungan adalah dari wang sendiri. Untuk apa simpan duit?

i. Bayaran bersalin di hospital swasta.

Jika nak bilik cantik, layanan mesra jururawat 24 jam tanpa masam muka dan pilihan doktor wanita sepenuh masa, apa salah pilih untuk bersalin di hospital swasta kan? Sediakan sahaja wang secukupnya. Dalam RM 5000 hingga RM 10,000 kena ada dalam poket.

Ingat. Ini untuk isteri dan bakal cahaya mata tercinta tau. Jangan la pula beli supplemen ‘badan kuat’ dan ekzos kereta sampai beribu riban boleh mampu, tapi untuk hal keluarga jadi tak mampu pula.

ii. Peralatan untuk susu bayi.

Botol susu, breast pump, food warmer dan bottle sterilizer. Empat benda ni sangat digalakkan untuk dibeli. Kalau beli jenis yang elok, boleh digunakan berkali – kali. Jangan lokek duit. Barang – barang ni (kecuali botol susu) boleh digunakan sampai anak ke empat.

iii. Cuti Menyusu.

Adalah menjadi impian setiap ibu mengandung untuk memberi susu ibu sepenuhnya untuk bayi mereka. Seeloknya sehingga 6 bulan (exclusive breastfeeding). Tetapi akibat komitmen kerja, ramai yang terpaksa meneruskan tugas sejurus selesai cuti bersalin.

Galakkan isteri anda untuk mengambil cuti menyusu (breast feeding leave). Walaubagaimanapun, cuti menyusu ini adalah TANPA gaji. Jadi, sediakan wang secukupnya supaya pendapatan keluarga tidak terjejas selama tempoh cuti menyusu tersebut. Simpan dahulu wang sebelum mengambil cuti menyusu.

iv. Bahan bacaan

Sediakan sedikit wang untuk membeli bahan bacaan seperti himpunan doa untuk ibu mengandung dan cara – cara mendidik anak – anak. Jangan pula menghabiskan duit beli buku perihal kesihatan, tetapi sumber rujukan penulis hanyalah blog penulis sendiri. Zaman sekarang banyak juga buku merepek yang dijual hanya untuk menjana keuntungan.

3. Cuti Rehat

Sepanjang tempoh mengandung, macam – macam perkara boleh berlaku. Pendarahan, bersalin awal, muntah dan loya yang teruk (hyperemesis gravidarum) dan sebagainya. Takkan nak biarkan isteri harungi seorang diri. Kena la tunjuk romantis dan jaga kekasih hati betul – betul. Bukan senang nak harungi 9 bulan mengandung. Sekurang – kurangnya, berikan sokongan moral.

Simpan cuti tahunan secukupnya. Boleh rancang awal – awal kan? Jangan pula datang ke klinik minta MC bohong pula. Nanti apabila anak besar, dia terikut – ikut pula dengan budaya minta MC tipu.

4. Hospital Mesra Suami (Husband Friendly Hospital).

Jika diberi peluang, cari hospital yang mesra suami. Kebanyakan hospital awam ada menawarkan bilik bersalin yang mesra suami. Pegang tangan isteri. Usap rambut isteri. Jangan risau, berada di sisi isteri ketika bersalin tidak akan melembapkan daya pemikiran.

Sebaliknya, ia akan membuka mata si suami tentang betapa cantiknya suatu proses kelahiran. Lihat sendiri pengorbanan seorang isteri untuk melahirkan zuriat yang akan mendoakan kesejahteraan ibu bapanya. Kenang kembali pengorbanan ibu kita melahirkan kita. Ketika itu, doakan sekali kesejahteraan ibu bapa kita yang masih hidup atau telah pergi.

5. Doa, doa, doa

Doakan keselamatan isteri mengharungi segala dugaan ketika mengandung.

Doakan bertemu doktor dan misi yang baik ketika bersalin.

Doakan ditemukan dengan doktor wanita.

Doakan aurat isteri sentiasa dipelihara ketika bersalin nanti.

Doakan keselamatan dan kesihatan isteri dan bakal zuriat.

6. Post – partum (selepas bersalin).

Pelan anda tidak berakhir setelah isteri selesai bersalin. Tempoh post partum atau ‘pantang’ juga penting. Belajar cara menjaga bayi bersama. Belajar cara menukar lampin, memandikan anak dan memanaskan susu.

‘Bonding’ bukan sahaja untuk si ibu. Bapa pun perlu ada ‘bonding’ dengan anak. Baru ada kasih sayang utuh dalam keluarga.

Ketika ‘pantang’ ini juga, pantau pengambilan makanan isteri. Ketika ini, ramai ‘scammers’ yang akan datang promosi benda – benda pelik. Produk ketat la, produk susu la, produk ramping la, supplemen la. Jaga – jaga dengan ‘scammers’ ni. Dapatkan bantuan dan rujukan kesihatan dari mereka yang pakar.

Boleh buat kan?

Yang penting ada perancangan.

Dr Ahmad Firdaus Bin Mohd Haris
(Pengerusi dan Pengasas Medical Mythbusters Malaysia)

Sumber: Medical Mythbusters Malaysia

Published by
Hasnita Sawal