Selepas tragedi kematian bayi malang, Adam Rayqal Mohd Sufi mencetuskan banyak pendapat sehingga ada yang sanggup mengecam tindakan ibu yang tidak sanggup berhenti kerja demi menjaga sendiri anak.

Semua ibu di dunia ini kalau boleh memang nak jaga sendiri anak, nak tengok anak membesar depan mata dengan tangan sendiri. Tetapi tak semua orang itu mempunyai rezeki dan nasib yang sama.

Setiap orang berbeza masalah dan tanggungjawab yang dipikul. Jadi kepada mereka yang terus menunding jari kepada ibu-ibu bekerja, hentikan perbuatan tersebut kerana anda tidak berada di dalam ‘kasut’ para ibu berkerjaya yang banyak berkorban segalanya.

Perkongsian yang sangat bermakna hasil tulisan Dr Rusyainie Ramli yang juga seorang ibu diharap dapat membuka mata segelintir pihak yang tak henti-henti ‘mengata’ ibu-ibu berkerjaya yang kononnya tak sayangkan anak.

Sesekali Pinjam Ma Dan Abah Tolong Jaga Anak

Dalam pangkalan tempat saya kerja, isteri-isteri tentera yang tidak bekerja bantu doktor, staf paramedik dan misi-misi saya untuk menjadi pengasuh. Ni hubungan simbiosis komuniti kami. Bila anggota saya terpaksa dihantar ke tugasan luar, pandai-pandailah nak cari jalan nak uruskan anak-anak.

IKLAN

Macam saya pun sama. Ada masa saya pinjam ma abah untuk bantu saya. Ada juga terpaksa saya pontengkan anak-anak dari sekolah, mujur juga sekolah swasta, saya maklumkan sekolah melalui emel. Dah setahun saya menumpang simpati mak untuk menengok-nengokkan anak-anak.

Mak dah masak sangat kerja saya yang tak menentu ni. Suami saya sering ke luar negara untuk bekerja, maka dia pun memang susah nak uruskan bab anak-anak. Mujur juga anak-anak dah bersekolah dan dah biasa berdikari. Semua sendiri. Saya tawaqal saja demi tugas pada tanahair.

Doktor Ini Tegur Sikap Orang Yang Mengecam Ibu Bekerja Tak Jaga Sendiri Anak
Gambar hiasan Foto kredit: anakibu.com.my

Saya dulu ada pembantu rumah. Ma kata kerja macam saya baik ada. Betul ma kata. Tapi bukan semua orang mampu. Sakit hati dan pening kepala dengan karenah orang gaji jangan cakap la. Saya dah melaluinya. Boleh trauma jiwa bila fikir balik.

Saya tak sampai hati sebenarnya nak menyusahkan ma atau mak masa anak-anak masih kecil. Mereka dah melalui zaman mendidik anak-anak dan sekarang adalah masa untuk mereka berehat dan menikmati zaman senja mereka serta beribadat pada Allah SWT. Mereka pun ada kehidupan sosial sendiri.

IKLAN

Guna Khidmat Pengasuh Opsyen Yang Ada

Nak minta tolong adik beradik? Kalau dah macam saya, adik beradik semua berjawatan tinggi dan punya kehidupan yang jauh lebih baik dari saya, dah macam mana kan pula. Tak semua orang ada banyak pilihan bab nak cari bntuan jaga anak-anak.

Menggunakan khidmat pengasuh adalah opsyen yang ada untuk mak-mak yang bekerja. Mulut longkang jenis puaka tak berinsurans tu senang la suruh mak yang konon bermata duitan ni berhenti kerja dan menjaga anak sendiri.

Mak Adam Rayqal tu jururawat terlatih. Dia bekerja di hospital tersibuk, terbaik dan terbesar di negara kita ni. Dia bertugas di unit rawatan rapi bayi. Bayangkan, dia berpenat lelah mencurah bakti pada anak-anak mak ayah orang lain. Seluruh jiwa raga dia di situ.

Bila Adam Rayqal diperlakukan sebegini rupa, mudah sungguh jari menuding pada misi tu. Bayi sekecil itu bukannya senang untuk dicari pengasuh. Sudahlah begitu, jururawat kan bertugas ikut shif. Bukan ikut waktu pejabat, lantas nak dapatkan pengasuh yang sanggup pun memang sukar.

Wajibkan Majikan Sedia Pusat Asuhan 24 Jam

IKLAN

Sudah sampai masanya, agensi kerajaan yang bertanggungjawab mewajibkan semua majikan mengadakan pusat asuhan bayi dan kanak-kanak. Kalau kat hospital, mesti diwujudkan taska yang beroperasi 24 jam, sebab staf semua bekerja ikut shif. Inilah penyelesaian yang terbaik untuk mengatasi masalah yang kita hadapi sekarang.

Staf kat hospital ni menyediakan servis untuk masyarakat kita. Ni fardhu kifayah. Pengorbanan mereka terlalu besar dan tersangat penting. Bayangkan kalau semua jururawat, doktor, kakitangan sokongan di hospital yang wanita berhenti kerja setelah mempunyai keluarga, pincanglah sistem kesihatan di negara kita.

Ini bukan masa untuk menuduh dan meletak batu kesalahan pada sesiapa. Sekarang adalah masa untuk kita mencari penyelesaian.

Jalannya sudah nampak. Pelaksanaannya mesti dilakukan segera sebelum lebih banyak tragedi yang mengerikan melanda dek kurangnya keprihatinan di peringkat atasan pada keperluan staf bawahan dalam menjalankan tanggungjawab mereka untuk kepentingan masyarakat.

Sumber: Rusyainie Ramli

Kredit foto: anakibu.com.my

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI