Anak yang dikandung selama 40 minggu ini, dilahirkan dengan Sindrom Edward kerana kelainan kromosom trisomi 18. Dijangkakan hayatnya cuma boleh bertahan dua hari, namun kuasa Allah penentu segala-galanya bila si kecil, Sity Nur Jannah masih bernafas sehingga ke hari ini. Mari ikuti coretan mamanya.
“Sepanjang hamilkan kamu, Jannah, doktor tidak dapat kesan sebarang kelainan. Semuanya nampak normal. Daripada awal kehamilan, perkembangan kamu dalam kandungan sentiasa normal, kecuali pada minggu ke-36. Berat kamu dikesan menurun dari 2.8kg kepada 2.6kg! Begitulah minggu seterusnya bila purata penurunan sekitar 200gm seminggu berlaku. Mama mula rasa bimbang tetapi tetap yakin kamu sihat.
Cukup usia kandungan 40 minggu pada tarikh 8 Mei 2017, mama terpaksa lahirkan kamu dengan bantuan ubat indius oleh doktor di Kajang Plaza Medical Centre, Kajang. Doktor bimbang dengan corak penurunan berat badan kamu yang berlaku setiap minggu. Syukur, kamu dilahirkan dengan mudah. Sakit kontraksi hasil cetusan ubat indius pun tidak lama. Mama mula sakit jam 11.30 malam dan kamu lahir 20 minit kemudiannya.
Panjang dan lilit kepala kamu normal, cuma doktor terkejut dengan berat yang cuma 2.2kg. Terus kamu dibawa ke NICU bagi mendapatkan bantuan oksigen kerana gagal bernafas sendiri.
Keesokan harinya pada jam 7 pagi, doktor pakar kanak-kanak menyatakan keadaan kamu agak kritikal dan mencadangkan kes ini segera dirujuk kepada doktor pakar di Hospital Kajang. Tanpa berlengah, pagi itu juga kamu dibawa ke hospital Kajang. Kalau ikut teori, doktor kata peluang untuk kamu hidup sangat tipis. Boleh bertahan dua hari sahaja.
Syukur, pada hari ketiga, doktor cadangkan sampel darah kamu diambil untuk menjalani ujian kromosom di LPPKN. Selepas 14 hari, ujian mengesan kromosom kamu trisomy 18.
Menurut doktor lagi, hayat kamu tidak lama memandangkan ada masalah jantung dan saluran paru-paru berlubang. Saluran pernafasan juga sempit. Selepas berbincang, mama dan ayah mahu bawa kamu pulang ke rumah dan doktor jangkakan kamu boleh bertahan paling lama pun, dua bulan. Sedihnya mendengar makluman doktor pada saat itu.
Perkembangan positif
Sekarang, kamu masih dapatkan rawatan daripada Klinik Pakar Kanak-kanak Hospital Kajang di samping pemeriksaan jantung oleh doktor pakar jantung kanak-kanak di Pusat Perubatan UKM (PPUKM). Doktor pakar kardiologi kanak-kanak di PPUKM mendapati, dahulu VSD dan PDA adalah sebesar 1sm. Sewaktu umur kamu empat bulan, echo yang dilakukan sekali lagi menunjukkan PDA sudah tertutup manakala VSD pula 5mmmanakala VSD pula 5mm. Syukur!
Alhamdulillah, kini kamu semakin aktif. Walaupun perkembangan tidak sama seperti bayi sebaya, kamu banyak tunjukkan perubahan positif. Kamu sudah boleh pusingkan badan ke kiri dan kanan. Berat juga makin bertambah dari semasa ke semasa. Susu ibu yang banyak membantu walaupun diberi menggunakan ryles tube disebabkan masalah jantung itu. Riang hati melihat perkembangan terkini kamu.
Kamu juga sudah kenal nama sendiri. Kala disapa, bibir kamu pasti mengukir senyuman manis. Tersentuh hati mama dan sesiapa sahaja yang memandangnya. Suara mama, papa, abang-abang dan kakak-kakak pun sudah kamu kenal! Senang hari mama melihat tingkah kamu yang tertawa kecil setiap kali kakak atau abang mengusik, bergurau-senda dengan kamu.
Perancangan mama dan ayah ialah mahu bantu kuatkan anggota badan kamu. Biar kamu boleh meniarap, merangkak dan seterusnya berjalan. Jadi, kamu bakal jalani fisioterapi tanpa had umur. Mama dan ayah juga akan berikan sokongan untuk latihan bertutur dan menulis sebagai persediaan ke sekolah nanti. Sity Nur Jannah, hadirnya kamu bukan setakat seorang puteri buat mama dan ayah tetapi lebih kepada amanah Allah yang datangnya dari syurga.”
Mamamu,
Sity Warhana Sa’yan
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Anak kecil di bawah usia lima tahun jika selalu diserang batuk adalah perkara normal kerana sistem imunisasi tubuhnya masih belum kuat. Tapi, takkanlah kita mahu anak asyik bergantung kepada ubat saja kan? Biasanya apabila anak batuk diselangi dengan demam, mulai tidak aktif dan dadanya berombak kuat serta mempunyai lekukan di dada harus segera dibawa ke hopsital untuk buat xray pada dadanya. Seorang ibu di Facebook, Yatie Emra telah berkongsi kisah anaknya yang selalu diserang batuk.
Ketika dibawa anaknya ke klinik dan dapat ubat, apabila balik tu Yatie mendapati anaknya semakin kerap batuk, nafasnya menjadi laju dan berbunyi wheezing. Juga ada lekukan pada tengah dada dan kakinya mulai sejuk. Menghabiskan lebih kurang satu jam untuk membuat tepuk percussion bagi mencairkan kahak serta buat urutan reflek point sinus bagi mengurangkan masalah hidung tersumbat. Keadaan anaknya bertambah baik dan boleh tidur.
Tidak mahu anaknya terlalu bergantung kepada ubat, ibu ini membuat ubat batuk homemade yang lebih natural untuk anaknya itu. Ikuti cerita Yatie dan resipi ubat batuk homemade, jika anda berniat mahu mencubanya.
🍯UBAT BATUK HOMEMADE🍯
Rabu lepas Fydh dijangkiti selesema teruk & hidung tersumbat. Petang Khamis, start batuk jenis chesty cough lak. Mulanya saya berikan ubat batuk yang dibeli kat farmasi sebelum ni. Tapi Fydh tak serasi & masih batuk non stop. Menjelang malam, dah start demam lak. Pagi² Jumaat tu, bawa Fydh ke klinik sebab dia dah makin kerap terbatuk². Walaupun ada kahak dalam dada, doktor cakap keadaan Fydh tak teruk sangat & tak perlu ambil nab..
Balik je dari klinik, batuk Fydh makin kerap dalam 5 minit sekali. Makan ubat batuk dari klinik pun masih tak nampak perubahan. Nafas Fydh makin laju & bunyi wheezing pulak. Nampak dia tarik nafas dalam (bila bernafas ada lekukan dalam kat tengah² pertemuan tulang selangka) sebab susah nak nafas. Kaki dia pun mula terasa sejuk je sebab tak cukup oksigen dalam badan. Dekat sejam saya ulang tepuk percussion untuk cairkan kahak & urut refleks point untuk paru² pada belakang, dada, tapak tangan & tapak kaki.. Urut refleks point sinus & sinus drainage untuk kurangkan hidung tersumbat. Alhamdulillah, bila dah lega sikit Fydh tertidur gak..
Masa tu la saya terfikir, sampai bila nak bergantung pada ubat batuk semata².. Masa gi klinik tu, saya ada tanya doktor dah 3 bulan++ Fydh asyik batuk on-off. Walaupun dah habis ubat batuk, sesekali anak akan terbatuk & bunyi kahak dalam dada. Lepas 2-3 minggu, mesti batuk berulang lagi. Doc cakap batuk berulang dikalangan kanak² ni perkara biasa. Terutamanya kanak² usia 5 tahun ke bawah ni, memang selalu jer kena batuk berulang sebab imun badan tak kuat. Tapi kalau batuk disertai tanda² badan lemah, demam, nafas jadi laju serta ada lekukan dalam bawah rusuk bila bernafas, kena gi hospital lak, buat chest xray untuk check jangkitan paru².
So kalau batuk on-off lagi lepas ni, takkan Fydh nak bergantung sepenuhnya pada ubat batuk & berlarutan lak sampai imun badan dia kuat..? Mungkin akan batuk lagi beberapa bulan, mungkin setahun-2..?? Apa yang buatkan saya bertambah risau.. Risiko Fydh ni kena asthma tinggi sangat sebab keluarga kedua² belah saya serta suami ada masalah asthma & resdung, nak² Fydh sendiri pun ada mild eczema. Tu belum lagi risau kalau kena jangkitan paru² lak sebabkan masalah berkaitan batuk ni.. Huhu..
Fydh ni kalau batuk biasa, kurang gak bila minum madu. Tapi batuk kali ni, kurang berkesan kalau minum madu semata².. Tak lama dulu, saya pernah buat resipi campuran madu+lemon+minyak zaitun (dari artikel livestrong). Masa tu saya sendiri yang alami batuk berpanjangan. Walaupun ia berkesan pada saya tapi campuran tu terlalu masam (trigger gastrik) & kurang berkesan untuk Fydh. Dalam bulan Mac lepas lak, saya pernah cuba resipi ubat batuk (madu+bawang) dari perkongsian Dr. Rizal, tapi Fydh tak gemar lak rasa bawang yang terlalu kuat. So kali ni saya gabungkan semua info yang saya dapat dari perkongsian Dr. Rizal, Dr. Suri Roowi & beberapa sumber lain untuk hasilkan resipi ubat batuk homemade yang hanya gunakan bahan² alami dari dapur.. Sementara Fydh tidur tu cepat² lah saya masuk dapur & siapkan ubat batuk homemade ni..
Saya sempat rendam sejam je dulu sebab Fydh dah terjaga & batuk non stop balik. Badan dia mula nampak lemah sebab dia langsung tak nak makan sebabkan asyik batuk je. Lepas berikan rendaman madu tadi, sekali lagi saya buat tepuk percussion untuk cairkan kahak & buat urutan refleksologi untuk redakan batuk.. Mujur gak setiap kali saya buat tepuk percussion & urut refleks point ni, batuk Fydh akan lega sikit..
Dalam 20min++ lepas beri rendaman madu tu, batuk Fydh beransur kurang & badan dia mula berpeluh.. Sebelum ni badan dia langsung tak berpeluh (padahal dia memang jenis kuat berpeluh). Walaupun masih ada bunyi wheezing, tapi kekerapan batuk dah kurang dalam 30 minit sekali. Sampai malam, sempat 2x gak Fydh minum. Batuk pun dah kurang sejam sekali.. Bila tidur malam pun tak kerap sangat batuk macam waktu siangnya.
Pagi Sabtu, Fydh dah mula aktif & berselera bila makan. Dia masih terbatuk² dalam sejam-2 sekali, tapi kahak pun dah makin cair. Takdelah susah & sakit sangat dada masa anak terbatuk² tu.. Bunyi wheezing pun dah takde. Fydh pun dah mula boleh main macam biasa. Sebenarnya Sabtu tu saya sendiri pun dah jangkit selesema & batuk. Tekak mula rasa bengkak & perit disertai batuk dengan kahak yang pekat dalam dada. Lepas ambil rendaman madu ni, memang terasa perbezaannya & tekak pun dah tak rasa membengkak.
Malam tadi pun Fydh boleh tidur lena & sekali jer terbatuk tengah malam. Hari ni, masuk hari ke-4 saya berikan Fydh rendaman madu (ubat batuk homemade) ni. Syukur alhamdulillah, batuk Fydh dah makin kurang dengan izinNya.. 😊
½ biji bawang holland/merah 150-200gm madu 3-5 ulas bawang putih 2 sudu makan minyak zaitun 1 biji lemon – diambil jus (anggaran 50ml) 11-15 biji bunga cengkih
Cara²: 1)Potong ½ biji bawang merah & bekukan selama 5-10 minit 2)Ketuk bawang putih, biarkan selama 10 minit. 3) Sementara menunggu tu, perah jus dari sebiji lemon. Ketepikan. 4) Tumbuk kasar cengkih & campurkan ke dalam jus lemon. Biarkan sebati seketika. 5) Bawang merah tadi boleh dileraikan atau dipotong kasar. Campurkan ke dalam madu. 6) Masukkan jus lemon & kacau. 7) Bawang putih yang telah diketuk, dicampur ke dalam minyak zaitun & dipanaskan dengan api paling kecil selama 2-3 minit sahaja. Biarkan suam sedikit sebelum dicampurkan ke dalam madu tadi.
🌟Rendam sekurang²nya sejam-2 pada suhu bilik supaya jus bawang keluar. Setelah 2 jam, barulah boleh disimpan dalam peti sejuk. 🌟Campuran madu & bawang ni lebih berkesan selepas dibiarkan terendam semalaman. 🌟Sebaik²nya kacau/goncang sebelum guna 🌟Boleh minum airnya sahaja atau makan bersama bawang (untuk Fydh, saya berikan air sahaja, tapi saya suka makan bersama bawang sebab rasa crunchy) 🌟Bagi kanak² ambil 1 sudu teh, 2-3 kali sehari/bila perlu 🌟Orang dewasa 1 sudu makan, 2-3 kali sehari/bila perlu 🌟Orang yang alami masalah gastrik sebaik²nya ambil 1 sudu teh je dulu & jangan ambil sewaktu perut kosong (pastikan alas perut sikit, bukannya makan sampai kenyang). Jika tiada masalah, barulah boleh ambil 1 sudu makan. 🌟Pastikan simpan dalam bekas bertutup 🌟Anak setahun ke bawah tak boleh minum madu yer. 🌟Sebaik²nya buat dalam kuantiti yang sikit (atau sukatan 2x ganda) & buat baru setiap kali habis sebab kandungan allicin & khasiat akan berkurangan jika disimpan lebih lama.
Saya share cara saya buat ubat batuk homemade ni bukan nak galakkan orang ramai supaya tak perlu ke klinik & dapatkan rawatan perubatan jika sakit ye. Tapi bila makan ubat batuk pun dah tak menjadi, atau batuk berpanjangan bolehlah cuba cara alternatif lak.. Lagipun ubat batuk homemade ni gunakan bahan² alami dari dapur je.. 1 lagi kelebihannnya, banyak bahan dalam ni berfungsi untuk tingkatkan imun badan. So kalau tak batuk pun, sebenarnya boleh je ambil rendaman madu ni..
Sekarang jom saya terangkan khasiat setiap bahan² dalam ubat batuk homemade ni lak..
❤BAWANG 🔹Boleh gunakan bawang holland atau bawang merah. Tapi menurut Dr. Suri Roowi, bawang holland ni tinggi mineral manakala bawang merah lebih tinggi kadar antioksidan & tinggi vitamin C. 🔹Bawang merah bila dibekukan seketika, khasiatnya akan bertambah menjadi 200 kali ganda (info dari Dr. Suri, boleh baca post tentang sayuran antikanser)
💛MADU (pastikan yang asli) 🔹Tinggi antioksidan, tingkatkan imun badan 🔹Mengandungi pelargonium, guaifenesin dan dextromethorphan. Bahan² ni terbukti secara saintifik dapat melawan dan menghilangkan simptom batuk dan kahak. (theAsianparent Malaysia) 🔹Madu lebih baik dalam melegakan dan mengurangkan kesan batuk daripada diphenhydramine iaitu bahan dalam ubat batuk. (medic.usm) 🔹Madu kelulut merupakan madu yang terbaik, hanya amik masa 5-30 minit untuk diserap ke dalam darah. (Dr. Suri Roowi) 🔹Orang yang ada masalah gastrik, lebih baik gunakan madu tualang sebab madu kelulut lebih masam (Dr. Suri Roowi)
💚BAWANG PUTIH 🔹Bawang putih perlu diketuk/dihancurkan & dibiarkan selama 10 minit supaya Allicin terbentuk. Allicin berfungsi sebagai antikanser, membantu masalah radang, bertindak sebagai antikulat dan menghalang jangkitan bakteria. (Dr. Suri Roowi) 🔹Jika bawang putih yang telah diketuk & dibiarkan selama 10 minit ditambahkan minyak zaitun, akan menghasilkan Ajoene. Ia merencatkan pertumbuhan sel kanser (Dr. Suri Roowi) 🔹Gabungan bawang putih & minyak zaitun juga merupakan salah satu petua tradisional untuk batuk, asthma & masalah berkaitan pernafasan. 🔹Jika bawang putih dipanaskan dengan suhu yang rendah (35°C), akan tingkatkan lagi aktiviti enzim & menggalakkan penghasilan Allicin. Tapi ia akan termusnah pada suhu lebih tinggi dari 40°C (sebab tu panaskan bawang putih dengan api perlahan & kejap je) 🔹Boleh tambah bilangan bawang putih ikut selera, tapi orang yang alami masalah darah cair, perlu kurangkan/kawal pengambilan bawang putih
💜MINYAK ZAITUN 🔹Berfungsi sebagai antioksidan, tinggi hidroksityrosol & memainkan peranan dalam kesihatan jantung, paru-paru serta meningkatkan sistem imun 🔹Berfungsi melincirkan kerongkong & mengurangkan pedih akibat batuk. Ia mengandungi agen oleocanthal yang bertindak mengurangkan radang pada kerongkong sama seperti ibuprofen berfungsi
🧡LEMON 🔹Tinggi vitamin C (diperlukan oleh badan untuk mempercepatkan proses penyembuhan), antibakteria, tingkatkan imun, kurangkan penghasilan mukus, mengurangkan selesema & batuk.
💙CENGKIH 🔹Berfungsi melegakan kerongkong akibat batuk serta mengurangkan sakit tekak, batuk & asthma. Juga berfungsi sebagai antioksidan & antibakteria.
Nota Kaki👣: ⭐Jika anak terbatuk² tanpa henti, selain buat tepuk percussion, pastikan
👉minum air kosong secukupnya
👉boleh juga berikan anak minum air rendaman cengkih+madu untuk berikan kelegaan pada tekak (ketuk sedikit cengkih supaya minyak patinya keluar, rendam dalam air panas & setelah suam tambah madu)
👉berikan air rebusan halia untuk kurangkan batuk (tambah madu bila dah suam).
👉Banyakkan juga penggunaan cengkih/halia dalam masakan (boleh masukkan 2-3 biji cengkih ketika masak nasi, lebihkan halia jika masak bubur nasi, lebihkan cengkih & halia dalam sup, dll)
👉Apape jenis herba & rempah ni memang kena basuh dulu sebelum guna. Saya basuh cengkih & keringkan guna kitchen towel dulu sebelum tumbuk.
Semoga dengan perkongsian dari ibu ini dapat membantu anda yang mahu mencuba alternatif semula jadi bagi membantu mengurangkan masalah batuk berkahak pada anak. Selamat mencuba!
Sampai sekarang pakar-pakar perubatan belum pasti dengan tepat tentang punca sebenar ketumbuhan fibroids dalam rahim.
Menurut Dr Hamid Arshat, apa yang nyata lebih kurang 30% wanita berumur 35 tahun ke atas mengalaminya. Ramai tidak sedar kerana tiada gangguan dalam haid, atau masalah lain. Ertinya ketumbuhan ini berlaku dalam senyap. Ada yang masih tidak sedar hingga akhir hayat mereka.
Ada juga yang hamil dengan ketumbuhan fibroid tanpa apa-apa gangguan dan terus melahirkan anak secara normal.
Sebaliknya fibroids boleh ganggu kehamilan dengan menyebabkan keguguran, pendarahan waktu hamil, ganggu kedudukan bayi dalam rahim- songsang (breech), melintang atau lain-lain serta memerlukan bedah cesarean. Juga menyebabkan kelahiran pramatang.
Sesetengah pakar berpendapat faktor baka dan keturunan memainkan peranan terhadap masalah ini. Berwaspada bila emak atau saudara terdekat mengalaminya.
Biasanya penghidap fibroids mengalami ketidak seimbangan hormon, iaitu hormon estrogen berlebihan dan hormon progesteron kurang.
Estrogen dipercayai berperanan, kerana bila menopause iaitu bila kandungan estrogen berkurangan, saiz tumbuhan fibroid akan mengecut dan kadang-kadang boleh terus hilang.
Sebaik-baiknya jauhkan factor-faktor yang menyebabkan hormon estrogen meningkat tinggi seperti kegemukan, polycystic ovaries, tumbuhan ovary, pil-pil yang mengandungi estrogen serta krim sapu untuk besarkan buah dada (mengandungi estrogen).
Langkah Mengurangkan Pengaruh Hormon Estrogen Pada Wanita
Punca sebenar bagi penyakit yang berkaitan dengan peranakan wanita seperti ketumbuhan fibroid, adenomyosis dalam rahim, endometriosis, ovarian cyst, kanser rahim dan kanser payudara tidaklah diketahui .
Baka memainkan sedikit peranan, tapi punca persekitaran seperti kelemahan immuniti, toksin, dan hormon estrogen yang berlebihan dalam tubuh badan wanita serta ketidak seimbangan antara hormon estrogen dan progesteron lebih berperanan dalam ketumbuhan tersebut.
Dalam keadaan biasa, hormon estrogen adalah sangat penting bagi fungsi-fungsi edaran haid, kesuburan, kehamilan, sifat kewanitaan, kecantikan, fungsi seks, bentuk badan dan lain-lain.
Tindakan estrogen terhadap tisu-tisu biasanya diseimbangkan oleh hormon kedua wanita iaitu hormon Progesteron, yang hanya dikeluarkan jika wanita mengalami penetasan telur/ovulation. Banyak situasi yang menyebabkam wanita tidak mengalami penetasan telur / ovulation.
Oleh itu, kekurangan hormone Progesteron boleh menyebabkan hormone Estrogen bertindak sewenang-wenangnya.
Beberapa situasi yang menyebabkan hormon Estrogen meningkat ialah kegemukan atau obesiti. Lemak- lemak yang berlebihan boleh menggalakkan pembentukan estrogen serta pengurangan Progesteron.
Selain daripada kilang telur, sumber lain bagi estrogen ialah kilang adrenal yang terletak di atas buah pinggang. Wanita-wanita yang mengalami masalah pembengkakan ovary seperti Polycystic ovaries Syndrome (PCOS) juga sering mengalami masalah hormon Estrogen yang berlebihan dan kekurangan hormone Progesteron.
Oleh itu, saya cadangkan beberapa langkah untuk mengawal tindakan atau pengaruh estrogen agar ketumbuhan yang dinyatakan di atas dapat dikurangkan. Estrogen dibentuk dari kolesterol melalui rangkaian tindakan biokimia, dan enjim aromatase diperlukan.
Langkah-langkah mengawal estrogen
Oleh itu, ambillah langkah- langkah mengawal stres seperti membaca al-Quran, solat, berzikir, berselawat, bersenam selama 30 minit sehari, yoga dan yang paling mudah adalah dengan melakukan deep breathing exercise.
Deep breathing exercise ini boleh dilakukan di mana- mana setiap satu atau dua jam. Ini dapat menenangkan fikiran dan sekaligus dapat mengimbangkan hormon estrogen dan progesteron.
Pengambilan makanan yang berkhasiat
Ada beberapa jenis makan yang bertindak mengawal tahap Estrogen iaitu:
Buah delima/ promegranate
Pengambilan buah delima atau mengamalkan jus delima setiap hari akan memberi pelbagai faedah kesihatan. Antaranya ialah mengawal tekanan darah, mengurangkan arterosclerosis dan juga boleh mencegah/ mengurangkan risiko sakit jantung.
Seterusnya, ia juga bertindak sebagai anti-estrogen dengan mengawal enzim yang digelar aromatase enzim yang biasanya menggalakkan peningkatan estrogen.
Sayur- sayuran
Sayur- sayuran seperti brokoli, kobis, bunga kobis, sawi dan bayam mempunyai kandungan chlorophyll yang bertindak mengawal penghasilan hormone Estrogen. Ia juga mengandungi sterol yang memang bertindak mengawal pembentukan Estrogen.
Minyak zaitun (Extra virgin olive oil)
Minyak zaitun ini jika diamalkan setiap hari, ia boleh mengawal tahap Estrogen dalam tubuh wanita melalui satu kandungannya yang digelar lutreopin yang juga mengawal /menindas tindakan enzim aromatase (enzim yang bertanggungjawab dalam penghasilan estrogen) di mana sekaligus mengawal penghasilan hormon estrogen yang berlebihan
Cendawan
Cendawan yang dikatakan boleh mencegah enzim aromatase ialah cendawan butang atau cendawan Shitake yang bukan sahaja mencegah penghasilan Estrogen, ia juga boleh mengawal kanser.
Biji anggur (grapeseed)
Biji anggur mengandungi pelbagai bahan resveratrol dan lain- lain polyphenol yang banyak mempengaruhi kesihatan manusia. Di antaranya ialah, mencegah penyakit jantung dan angin ahmar. Ia juga bertindak mengurangkan hormon estrogen dalam badan wanita.
Chia Seed
Chia seed merupakan bahan yang berguna untuk mengurangkan tahap Estrogen dalam tubuh badan wanita. Begitu juga flexseed. Chia seed mengandungi omega 3 yang tinggi di samping vitamin – vitamin lain juga yang mempunyai faedah dalam kesihatan wanita.
Oats
Oats adalah makanan yang sering diambil pada waktu sarapan. Ia juga diketahui mengandungi bahan steroidal saponins untuk mencegah tindakan enzim aromatase yang seterusnya menggalakan penghasilan estrogen.
Buah – buahan citrus
Buah buahan citrus seperti lemon,limau kasturi, limau bali, limau nipis di samping mangandungi vitamin C,dan anti-oksidan, ia juga mengandungi unsur anti-estrogen
Minum air limau kasturi (2 biji ), sebiji limau nipis atau sebiji lemon diperah juz kedalam segelas air suam dan dicampur satu sudu madu. Amalkan setiap hari.
Bawang-bawang
Bawang banyak digunakan sebagai rencah dalam makanan kita. Di samping megandungi bahan- bahan yang mengandungi anti-oksidan ,ia juga boleh mencegah serangan sakit jantung. Ia juga mengandungi bahan dipanggil quercetin, sejenis flavonoids yang mengurangkan tahap estrogen dalam badan.
Kunyit
Kunyit mengandungi banyak khasiat Kesihatan di antaranya dapat mengurangkan hormone Estrogen dalam badan wanita. Mengamalkan kunyit/perahan air kunyit 2-3 kali seminggu dikatakan baik untuk mengimbangkan hormone Estrogen dan Progesteron
Algae ( spirulina/ chlorella)
Algae diketahui ada kesan mengawal pembentukan Estrigen dalam badan. Algae boleh diamalkan untuk mengimbangkan hormon wanita.
Makanan-makanan fermented
Makanan fermented seperti Tempe, yogart, kimchi, diketahui mempunyai pelbagai faedah dan juga berbillion bacteria baik untuk badan dan melawan bacteria yang berbahaya untuk usus kita. Ia juga mempunyai kesan anti – Estrogen
Minyak kelapa Dara
Minyak kelapa dara diketahui mempunyai kesan anti-Estrogen
Bawang Putih
Bawang putih mempunyai pelbagai kesan untul mengawal peredaran darah dan mengurangkan risiko sakit jantung dan angin ahmar. Ia juga mempunyai kesan anti – Estrogen.
Daun Kucai
Daun Kucai juga mempunyai bahan – bahan yang bertindak sebagai anti-Estrogen.
Berries (black berries, blackcurrant, mulberry)
Berries mengandungi bahan anti-oksidan dan juga flavonoids yang banyak faedahnya terhadap kesihatan tubuh badan wanita. Di samping itu juga ia bertindak sebagai anti-estrogen
Ambillah langkah-langkah untuk mengimbangkan hormon serta mengurangkan tahap estrogen dalam tubuh badan wanita agar penyakit-penyakit seperti fibroid, adenomyosis dalam rahim, endometriosis, ovarian cyst, kanser rahim dan kanser payudara dapat dikawal di samping mengambil langkah- langkah lain untuk mengawal penyakit-penyakit tersebut.
Bila anak demam, cirit birit atau selesema ibu ayah tak senang duduk dibuatnya. Malah raya pun jadi tak bermakna. Sebab itu pentingnya untuk sediakan ‘payung’ sebelum hujan.
Beberapa hari lagi kita akan meraikan Hari Raya. Jauh atau dekat, ramai akan pulang ke kampung halaman masing-masing bagi meraikan dengan keluarga tersayang. Sudah tidak sabar rasanya hendak pulang ke kampung halaman. Terbayang wajah ibu dan ayah serta suasana kampung yang menggamit memori.
Dalam kekalutan menyelesaikan kerja-kerja di pejabat mahu pun di rumah kerana hendak bercuti panjang, persiapan pulang ke kampung juga mesti dilakukan. Bagi yang sudah berkeluarga dan mempunyai anak kecil, persiapan rapi perlu dilakukan.
Antara persiapan yang perlu dilakukan adalah ubat untuk bayi atau kanak-kanak apabila berhadapan dengan sakit yang RINGAN.
“Sediakan Payung Sebelum Hujan”, persediaan ini sangat penting terutamanya sekiranya kampung halaman anda terletak jauh di pedalaman dan jauh dari fasiliti kesihatan. Klinik dan farmasi swasta juga mungkin tidak beroperasi semasa tempoh perayaan.
Antara masalah kesihatan ringan yang biasa berlaku kepada kanak kanak adalah;
1. Demam atau tahan sakit,
2. Sakit perut, muntah dan cirit birit
3. Alahan ringan yang menyebabkan kegatalan dan ruam.
4. Batuk dan selsema
Berikut merupakan “check list” ubat ubatan untuk masalah masalah tersebut;
* Ubat ini TIDAK sesuai untuk kanak kanak berusia 2 tahun ke bawah
Kesemua ubat yang di senaraikan ini boleh di perolehi di semua fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta. Anda boleh mendapatkan informasi lanjut dengan bertanya kepada anggota kesihatan di fasititi tersebut.
PENTING- Sila ambil perhatian perkara perkara berikut
#1. Dos ubat-ubatan untuk anak kecil adalah berbeza daripada dos orang dewasa iaitu berdasarkan berat badan. #2. Ada sesetengah ubat tidak sesuai digunakan oleh kanak-kanak berumur kurang daripada dua tahun. #3. Ubat yang sama juga mempunyai kekuatan atau kepekatan yang berbeza bergantung dari mana anda dapatkannya. #4. Dapatkan pengiraan dos dan nasihat daripada profesional kesihatan tentang ubat-ubatan yang ingin diberikan #5. Pastikan anda benar-benar tahu tentang suatu ubat tersebut sebelum memberikannya kepada anak kecil anda #6. Jika tidak semakin pulih dan keadaan menjadi semakin teruk bawak anak kecil anda untuk mendapatkan rawatan secepat mungkin. #7. Pastikan anda tahu kaedah untuk penyimpanan ubat ubatan dan pengendalian ubat ubatan yang telah di gunakan #8. Pastikan ubat ubatan ini di letakkan JAUH dari kanak kanak #9. Jangan menggunakan antibiotik kecuali mendapat saranan doktor.
Selamat pulang ke kampung!
Semoga selamat sampai ke destinasi yang dituju.