Anak yang dikandung selama 40 minggu ini, dilahirkan dengan Sindrom Edward kerana kelainan kromosom trisomi 18. Dijangkakan hayatnya cuma boleh bertahan dua hari, namun kuasa Allah penentu segala-galanya bila si kecil, Sity Nur Jannah masih bernafas sehingga ke hari ini. Mari ikuti coretan mamanya.
“Sepanjang hamilkan kamu, Jannah, doktor tidak dapat kesan sebarang kelainan. Semuanya nampak normal. Daripada awal kehamilan, perkembangan kamu dalam kandungan sentiasa normal, kecuali pada minggu ke-36. Berat kamu dikesan menurun dari 2.8kg kepada 2.6kg! Begitulah minggu seterusnya bila purata penurunan sekitar 200gm seminggu berlaku. Mama mula rasa bimbang tetapi tetap yakin kamu sihat.
Cukup usia kandungan 40 minggu pada tarikh 8 Mei 2017, mama terpaksa lahirkan kamu dengan bantuan ubat indius oleh doktor di Kajang Plaza Medical Centre, Kajang. Doktor bimbang dengan corak penurunan berat badan kamu yang berlaku setiap minggu. Syukur, kamu dilahirkan dengan mudah. Sakit kontraksi hasil cetusan ubat indius pun tidak lama. Mama mula sakit jam 11.30 malam dan kamu lahir 20 minit kemudiannya.
Panjang dan lilit kepala kamu normal, cuma doktor terkejut dengan berat yang cuma 2.2kg. Terus kamu dibawa ke NICU bagi mendapatkan bantuan oksigen kerana gagal bernafas sendiri.
Syukur, pada hari ketiga, doktor cadangkan sampel darah kamu diambil untuk menjalani ujian kromosom di LPPKN. Selepas 14 hari, ujian mengesan kromosom kamu trisomy 18.
Menurut doktor lagi, hayat kamu tidak lama memandangkan ada masalah jantung dan saluran paru-paru berlubang. Saluran pernafasan juga sempit. Selepas berbincang, mama dan ayah mahu bawa kamu pulang ke rumah dan doktor jangkakan kamu boleh bertahan paling lama pun, dua bulan. Sedihnya mendengar makluman doktor pada saat itu.
Alhamdulillah, kini kamu semakin aktif. Walaupun perkembangan tidak sama seperti bayi sebaya, kamu banyak tunjukkan perubahan positif. Kamu sudah boleh pusingkan badan ke kiri dan kanan. Berat juga makin bertambah dari semasa ke semasa. Susu ibu yang banyak membantu walaupun diberi menggunakan ryles tube disebabkan masalah jantung itu. Riang hati melihat perkembangan terkini kamu.
Perancangan mama dan ayah ialah mahu bantu kuatkan anggota badan kamu. Biar kamu boleh meniarap, merangkak dan seterusnya berjalan. Jadi, kamu bakal jalani fisioterapi tanpa had umur. Mama dan ayah juga akan berikan sokongan untuk latihan bertutur dan menulis sebagai persediaan ke sekolah nanti. Sity Nur Jannah, hadirnya kamu bukan setakat seorang puteri buat mama dan ayah tetapi lebih kepada amanah Allah yang datangnya dari syurga.”
Mamamu,
Sity Warhana Sa’yan