Ramai antara kita yang tertanya-tanya apa keperluan untuk membuang tonsil? Perlu ke anak kita dibuang tonsil? Sakit tekak yang kerap ini sebab tonsil ke? Kalau dah dibuang, ada apa-apa risiko?
Semua persoalan-persoalan ini mesti ramai antara anda yang nak tahu jawapannya. Sebab anak-anak kita, kalau penyakit atau masalah diri sendiri biasanya kita tak kisah sangat. Segala yang melibatkan anak-anak ini yang selalu lebih membimbangkan ayah dan ibu. Betul?
Doktor akan melakukan pembedahan membuang tonsil atau dipanggil sebagai ‘tonsillectomy’ dengan beberapa sebab.
- Serangan sakit tekak akibat jangkitan tonsil melebihi enam kali dalam setahun.
- Terlalu kerap mengalami masalah tonsil sehingga mengakibatkan serangan sawan.
- Saiz tonsil yang terlalu besar sehingga mengganggu pernafasan yang kritikal.
- Masalah tonsil sehingga mengakibatkan pengumpulan nanah di sekitarnya, dipanggil juga ‘peritonsillar abscess’.
- Dan beberapa sebab yang lain.
Apa komplikasi pembedahan yang akan dilakukan ini?
- Pendarahan. Ini saya letak dalam poin nombor satu sebab risiko pendarahan adalah antara yang biasa boleh berlaku dalam pembedahan ini. Ia boleh berlaku semasa atau selepas pembedahan dilakukan.
- Jangkitan kuman juga boleh berlaku beberapa hari selepas pembedahan. Sekiranya ia berlaku, pendarahan daripada kawasan pembedahan juga boleh berlaku.
- Sakit. Ini bukanlah salah satu komplikasi yang nak saya sampaikan. Risiko sakit adalah perkara biasa sebenarnya yang boleh berlaku apabila kita menjalani apa-apa pembedahan. Istimewanya, pesakit yang menjalani pembedahan ‘tonsillectomy’ perlu mengunyah selepas pembedahan dilakukan bagi mengurangkan risiko pendarahan. Oleh itu sekiranya sakit dialami terlalu kuat, perlu beritahu doktor untuk ubat bagi mengurangkan sakit. Ramai yang datang semula berjumpa saya akibat pendarahan disebabkan pesakit tidak mulai makan atau mengunyah selepas pembedahan.
Jika anda ada sebarang masalah, boleh dapatkan nasihat dan pemeriksaan bersama doktor anda.
Semoga tulisan ini bermanfaat. Jika anda rasa perkongsian ini berguna, kongsi kepada orang anda sayang.
Sumber: Dr Ezairy M.Sallih
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Cungkil Minat Dan Bakat Anak Sejak Kecil, Mama Papa Kena Turut Serta Ya!
Setiap bulan atau minggu kita belikan mainan anak bukan saja-saja. Begitu juga bila kita hasilkan beberapa mainan DIY buat anak. Selain menguji minda dan motor otak mereka, benda-benda yang dimiliki anak mendorong untuk otak lebih berfikir.
Akan tetapi bukan itu sahaja kelebihannya. Selain mengasah motor anak, ia juga menjadikan anak lebih kreatif dalam berfikir. Dalam tak sedar, ada beberapa perkara aktiviti yang mampu mencungkil bakat dan minat anak kecil kita.
Pun begitu bakat dan kecenderungan anak kecil kita ni kita tidak akan nampak kalau kita belikan satu-satu benda dan serah pada anak bulat-bulat. Mama papa kenalah duduk sekali dan main bersama-sama.
Menurut Dr Norzila Zakaria, janganlah beli dan serahkan kepada mereka sahaja tetapi lakukanlah bersama. Bila mama papa faham dengan apa yang anak lakukan, pasti anak akan seronok untuk terus melakukannya.
Paling mudah mengasah bakat anak-anak adalah bila mereka semua mempunyai minat yang serupa. Saya jadikan contoh anak-anak saya.
Bila Kak Long beli set mewarna, Hafiz cemburu. Dia pun mahukan juga set warna air juga. Jangan lihat ini sebagai satu masalah tetapi pada satu sudut yang lain Hafiz sebenarnya juga minat melukis dan mewarna.
Saya belikan set warna yang murah untuk dia berlatih. Memang pada awalnya “entah apa-apa yang dia lukis”. Memanglah…mana ada yang terus sempurna. Setiap perkara bermula dengan yang pertama dan hasil yang pertama itu pasti yang paling rendah kualitinya.
Practice make perfect. Hari-hari Hafiz berlatih mewarna, memang semak lah rumah dengan kertas dan warna, tak larat lah mata nak memandang berbagai warna atas meja dan jubin lantai. Namun hasil akhirnya Hafiz kini memang sudah semakin pandai melukis dan mewarna. Syukur kepada Allah yang memberikan minat itu.
Sebagai ibu bapa jangan kita anggap anak kita tidak ada minat atau bakat, cari bakat mereka dan asahlah. Kadang-kadang memang benar kita tak nampak bakat anak kita, justeru itu cari apa yang dia suka ganggu dan rosakkan.
Kalau beli permainan atau basikal habis dia rosakkan, percayalah anak ini minat untuk menjadi pakar yang melibatkan teknikal atau alatan. Cuba carikan dia barang-barang yang boleh dibuka dan dipasang semula..pasti habis dikerjakannya. Silap-silap dia akan buat inovasi dari barang terpakai… who knows?
Sama juga seperti Humairah. Bila saya dan Hafiz sudah mula melukis menggunakan warna air, dia pun teringin mahu menghayun berus lukisan. Semalam Hafiz dapat hadiah set mewarna Koi, beli dari Lazada, maka dengan senang hati dia mewariskan set mewarna yang digunakan untuk kelas seni kepada adik-adiknya.
Hari ini Humairah tidak mahu ke sekolah kerana dia tahu saya bercuti. Jadi untuk mengelakkan kebosanan dan mengganggu kerja-kerja saya, saya ajarkan teknik asas mewarna yang diajarkan kepada saya. Cepat dia belajar dan dalam 3 kali mewarna, tangannya sudah sangat lembut melayangkan berus lukisan. Lihatlah hasilnya.
Semua ini perlukan penglibatan ibu bapa. Jangan beli dan serahkan kepada mereka sahaja tetapi lakukanlah bersama. Bila kita ada minat yang sama atau faham dengan apa yang mereka suka lakukan, inshaAllah kita seronok untuk terus melakukan aktiviti bersama anak-anak.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Prof Dr Muhaya Kongsikan Tip Bagaimana Anda Mampu Jadi Ibu Bapa Hebat Di Mata Anak-Anak
Ibu bapa mana tidak mahu menjadi ibu bapa terbaik untuk anak-anak mereka kan? Malah mesti kembang hati kalau diri kita dijadikan idola oleh semua permata hati kita. Sebenarnya kita semua mampu menjadi ibu bapa yang hebat. Kuncinya, sentiasa perbaiki diri dan tidak jemu menambah ilmu.
Bagaimanapun, sebagai ibu bapa kita juga tak terlepas dari melakukan kesilapan di depan anak-anak. Nak sama-sama mencipta kebahagiaan, amalkan tip menjadi ibu bapa terbaik untuk membentuk sahsiah anak-anak dari Prof Dr Muhaya
Cara mudah membentuk peribadi terpuji dan sahsiah anak-anak
1) Kalau Tiba-tiba Teringatkan Anak, Kirimkan Bacaan Al-Fatihah
Apabila sampai kepada ayat “iyyakanakbudu waiyyakanastain” – yang bermaksud “Engkaulah sahaja (Ya Allah) yang kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan”
Mintalah apa-apa sahaja hajat masa itu yang ada hubungkait dengan anak yang kita ingat tersebut. Habiskan bacaan Al-Fatihah.
Doakan semoga anak kita diberi kefahaman yang sebenarnya dalam urusan agamanya, memiliki ilmu yang bermanfaat dan serahkan urusan anak kepada Allah untuk menjaganya.
2) Pandang Wajahnya Semasa Dia Tidur, Ucapkan Bahawa, Ibu Nak (Nama Anak) Jadi Anak Yang Soleh Sayang!
Cuba amalkan (ada ustaz yang kata ini bermakna kita bercakap dengan rohnya) dan ucapan ini adalah DOA dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.
3) Semasa Bangun Solat Malam, Solatlah Hajat Di Sisinya
Maksudnya kita solat dalam bilik anak dan dekat dengan anak kita. Jika kita selalu buat dan kita beritahu anak kita yang kita sering doakannya, anak tersebut akan dapat merasakan satu ikatan kasih sayang yang hakiki.
Yang mana mereka dapat rasakan bahawa kita sangat sayangkannya dan mahu anak kita menjadi anak yang soleh/solehah. Anak juga akan tahu yang kita sering solat hajat untuknya.
4) Minta Dikasihani
Ucapkan setiap masa yang kita sedang menunggu panggilan Allah. Jika anak-anak tidak menjadi anak yang soleh/solehah bermakna mereka tak sayangkan kita. Sudah tentulah kita akan merana di Alam Barzah nanti.
5) Peluk Anak Selalu Walaupun Anak Sudah Besar, Sebagaimana Kita Menatang Anak Sewaktu Kecil
Serlahkah aura ciuman dan belaian ibu sambil bisikkan padanya yang kita berbangga mempunyai anak sepertinya.
6) Maafkan Anak Kita Setiap Masa Walaupun Perbuatannya Amat Melukakan Hati Kita
Muhasabah diri. Berkemungkinan kesalahan yang dilakukan oleh anak-anak kita sebenarnya berpunca daripada dosa-dosa kita yang lampau.
7) Yang Penting Kita Jaga Tutur Kata
Jangan sekali-kali mengucapkan perkataan yang boleh melukakan hati anak. Jika ianya berlaku secara tidak sengaja, cepat-cepat cari masa yang sesuai untuk meminta maaf.
Mengakulah kepada anak kelemahan kita. Kita marah kerana kesalahan mereka. Bukan bermaksud membenci. Ceritalah dan nak buat macam drama pun boleh.
8) Amalkan Membaca Ayat 40 Surah Ibrahim Supaya Kita, Anak dan Zuriat Keturunan Kita Termasuk Dalam Golongan Orang-orang Yang Tetap Mendirikan Solat.
Wahai Tuhanku! Jadikan daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.
9) Selalu Ingatkan Anak, Tak Guna Ada Pangkat, Belajar Tinggi Hatta Hafal Al-Quran Sekalipun Jika Tidak Mempunyai Peribadi Yang Mulia
Allah tak pandang wajah yang cantik tapi pandang hati yang cantik. Allah tak sayang, manusia tak suka.
10) Masa Basuh Beras, Niatkan; “Ya Allah, Lembutkanlah Hati Anak-anakku (Sebut Nama) Untuk Faham Agamanya Sebagaimana Engkau Lembutkan Beras Ini Menjadi Nasi”‘
Kenapa kita nak anak faham agama? Kerana anak yang tidak faham agama boleh membawa bersama ibu bapanya ke neraka.
Basuh beras lawan arah jam (macam orang tawaf) sambil selawat ke atas Nabi Muhammad SAW.
Semasa melakukan perkara ini, hati jangan lalai, sentiasa ingat Allah selalu.
Amalan harian yang boleh dikatakan mampu dilakukan oleh semua ibu bapa. Cuma perlukan kesungguhan dan konsisten. Mungkin sekarang tidak nampak lagi, tapi setelah beberapa ketika, pasti kita tersenyum syukur mendapati sahsiah dan akhlak anak-anak kita sangat menyejukkan jiwa.
Sumber: www.myliferia.com
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Elak Anak Hafal Bahasa, Biar Dia Faham, Ingat, Guna! Pakar Bahasa Kongsi 6 Tip Ajar Anak Cakap
Kanak-kanak memang dilahirkan dengan keupayaan untuk belajar Bahasa. Tetapi mestilah ada input yang diberikan untuk mereka belajar. Belajar menyebut dan menggunakan Bahasa adalah satu kebolehan yang berbeza. Anak-anak yang boleh menyebut, belum tentu boleh menggunakan Bahasa tersebut dalam persekitaran.
Jadi pembelajaran Bahasa bukan sahaja untuk anak menghafal perkataan tapi ianya lebih kepada FAHAM, INGAT, GUNA. Untuk memperolehi kesemua kemahiran ini kanak-kanak perlu belajar Bahasa dengan manusia juga kerana hanya manusia sahaja yang boleh menggunakan Bahasa yang dipelajari dalam persekitaran yang sesuai.
TIP #1: KANAK-KANAK BANYAK BELAJAR DENGAN ORANG YANG RESPONSIVE
Kanak-kanak belajar memahami dan bercakap semasa mereka berinteraksi dan bermain dengan orang-orang yang rapat dengan mereka setiap hari. Apabila selalu bermain dan berinteraksi bersama, kanak-kanak akan berasa rapat dan ada hubungan yang baik yang mana ia akan memberikan motivasi pada kanak-kanak untuk terus berinteraksi walaupun kemahiran Bahasa mereka masih lemah.
Menjadi responsive bukanlah bermaksud kita perlu bercakap setiap masa.. tetapi cuba mendekati anak dan memberi respon yang bersesuaian mengenai perkara yang mereka minat. Contohnya seperti mengiyakan, mengangguk, bercakap mengenai minat mereka dll. Kajian menunjukkan bahawa, kanak-kanak yang meluangkan masa bersama orang yang interaktif mempunyai lebih banyak kosa kata.
Peranan kita: Perhatikan apa yang menarik minat anak anda, tunggu mereka memberikan mesej dan dengar dengan bersungguh-sungguh apa yang cuba disampaikan oleh anak dan respon dengan minat. Ini akan memberikan anak-anak peluang untuk dengar & belajar perkataan berkaitan minat mereka.
TIP #2: KANAK-KANAK BELAJAR PERKATAAN BERKENAAN MINAT MEREKA
Macam kita juga, kanak-kanak belajar lebih banyak apabila mereka mempunyai minat tentang sesuatu. Ini juga boleh diaplikasikan dalam pembelajaran Bahasa. Kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak belajar perkataan dengan lebih banyak apabila ibubapa berinteraksi berkenaan sesuatu yang anak minat berbanding apabila ibubapa yang menjuruskan perhatian mereka kepada perkara lain.
Peranan kita: Apabila anda melihat kanak-kanak berminat akan sesuatu, jadikan ia sebagai topik perbualan antara anda dan anak. Apabila anak memberikan perhatian yang lebih pada apa yang anda cakapkan, maka akan lebih banyaklah perkataan yang akan mereka pelajari
TIP #3: KANAK-KANAK BELAJAR APA YANG MEREKA DENGAR DENGAN KERAP
Untuk kanak-kanak belajar Bahasa, mereka perlu mendengar dengan lebih banyak. Untuk kanak-kanak yang belajar banyak Bahasa, mereka perlu mendegar lebih banyak untuk setiap Bahasa tersebut.
Peranan kita: Dengan menambah input Bahasa dalam aktiviti dan pengalaman seharian, kita secara automatik telah menambah input Bahasa kepada kanak-kanak. Sebarang aktiviti yang kita lakukan boleh digunakan untuk mengajar Bahasa. Sebagai contoh, bercerita tentang makanan yang dimakan atau yang sedang dimasak, bercerita berkenaan karakter dan sesuatu kejadian di dalam buku cerita, bercerita berkenaan anggota badan semasa mandi… Sekiranya anak mengalami pengalaman yang baru seperti pergi ke klinik, anda boleh ceritakan berkenaan sesuatu di dalam klinik tersebut seperti doctor, ubat, sakit dll lagi.. Jadi pendedahan anak kepada perkataan-perkataan baru akan menjadi banyak. Yang paling penting sekali adalah, ibubapa perlu bercakap dengan Bahasa yang mereka selesa dan pakar. Kerana sekiranya kita tidak selesa bercakap dengan sesuatu Bahasa, kita tidak akan dapat memberikan input yang maksimum kepada anak dan anak juga lebih sukar untuk memberikan respon.
TIP #4: FLASHCARD, GAJET & TV BUKAN PENYELESAIAN
Kanak-kanak belajar lebih banyak melalui aktiviti dan pengalaman yang dilalui dalam hidup seharian mereka. Kanak-kanak belajar bercakap dan berkomunikasi adalah melalui bermain dan berinteraksi dengan orang sekeliling mereka. Mengajar perkataan (cth: menamakan flash card) adalah sangat membosankan untuk kanak-kanak. Begitu juga apabila kanak-kanak belajar perkataan melalui gajet & tv, mereka akan mengalami kesukaran untuk menggunakannya dalam kehidupan yang sebenar jika tiada panduan dari ibubapa / guru / penjaga.
Peranan kita: Perkenalkan perkataan-perkataan baru semasa bermain dan berinteraksi dengan anak. Gunakan aktivti harian seperti bermain, membaca, aktiviti rutin seperti makan, mandi dan memakai pakaian.
TIP #5: KUNCI UTAMA – PELBAGAIKAN
Apabila belajar Bahasa, kanak-kanak perlukan kepelbagaian seperti:
- Pelbagai perkataan – Bukan hanya perkataan-perkataan yang biasa di rumah sahaja, malah pelbagai perkataan-perkataan lain yang jarang digunakan di persekitaran yang berbeza (kata nama, perbuatan, sifat, kedudukan, perasaan dll)
- Pelbagai orang – Pelbagaikan orang-orang yang berkomunikasi dengan anak. Pendedahan kepada pelbagai orang dan jenis komunikasi akan menggalakkan kanak-kanak belajar dengan lebih baik (cth: orang dewasa, guru, kawan-kawan dll)
- Pelbagai contoh – Kanak-kanak perlu mendengar dan melihat cara menggunakan perkataan yang dipelajari secara berulang-ulang. Jadi orang sekeliling perlu menjadi contoh yang terbaik untuk menunjukkan kepada kanak-kanak cara komunikasi yang betul.
TIP #6: PERKATAAN DAN AYAT BERSAMA-SAMA
Apabila bercakap dan berkomunikasi, kita tidak hanya menggunakan perkataan sepatah-sepatah sahaja, kita akan bercakap menggunakan ayat. Bercakap menggunakan ayat bersama anak akan membantu untuk anak lebih memahami maksud satu-satu perkataan, dan ia juga menunjukkan cara penggunaan perkataan tersebut dengan betul dalam perbualan. Sebagai contoh, apabila kita menunjuk kepada pintu, kita boleh menyambungkan sekali dengan aksi yang boleh dibuat dengan pintu seperti “tutup pintu” atau “buka pintu”. Dengan ini anak bukan sahaja tahu perkataan pintu, tapi nama aksi dan susunan ayat juga.
Peranan kita: Gunakan ayat-ayat yang pendek dan ringkas semasa berbual dengan anak untuk memudahkan anak faham dan mengingat. Pastikan juga susunan ayat adalah betul dengan tatabahasa yang betul.
Belajar Bahasa adalah satu proses yang 2 hala. Jadi pastikan sentiasa ada komunikasi 2 hala dengan anak. Barulah anak akan belajar dengan lebih cepat.
Sumber: Aishah Kassim Academy
Aishah Kassim
Speech Language Pathology
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI