Bila bayi kena selesema dan batuk, ibu bapa mana tak susah hati tapi tolong jangan mudah percaya bulat-bulat dengan petua tradisional yang banyak dikongsi di media sosial.
Bimbang pula kalau selesema anak yang awalnya tak teruk menjadi semakin melarat bila dibiarkan di rumah tanpa rawatan sepatutnya daripada doktor.
Perkongsian bermanfaat daripada Dr Rusyainie Ramlitentang apa yang sepatutnya dibuat oleh ibu ayah yang mempunyai bayi yang dijangkiti selesema dan batuk ini wajar diambil perhatian.
BAYI KENA SELESEMA DAN BATUK?
NAK BUAT APA?
Status saya ni panjang. Dr. Ninie memang tak reti berleter dan membebel pendek. Kalah mesingan kalau menaip.
Kentang adalah makanan. Ma saya kata, makanan tak boleh letak kat kaki. Tu tak ada adab namanya. Tak tahu lah mak orang lain. Lepas letak kat kaki, takkan nak guna untuk masak. Maka ia akan ke tong sampah. Membazir kan?
Kentang ada enzim nama polyphenil oxidase. Bila kita potong kentang, enzim ni akan bertindak balas dengan oksigen udara, dan ia akan tukar warna kentang ke warna perang. Bukan sebab kentang tu serap haba badan kita. Tu mitos!
PERCAYALAH SAYA KATA, kalau buat status mengarut macam ni, mesti selalunya bani jamu atau bani produk sampah yang seangkatan dengannya. Yang netizen pun, melantun-lantun la dok seru nama sekalian manusia lain untuk sama-sama percaya karut marut bani jamu. Aduh.
Ads
Bayi bawah umur 2 secara amnya tak ada ubat selesema dan batuk yang sesuai untuk dia. Kena bincang dengan doktor yang merawat ya.
Tapi sebagai mama yang pernah ada bayi, ya anak-anak saya juga melalui proses yang sama macam orang lain, bukan terus saja dah sekarang Tingkatan 1, saya boleh bayangkan gusarnya dan risaunya mak yang bayinya kena selesema dan batuk.
Mak ayah kena tahu yang bayi bernafas menggunakan hidungnya hampir sepenuhnya berbanding dengan mulut pada usia kurang 6 bulan, Maka, bila hidungnya tersumbat dengan hingus, memang lah dia sangat tak selesa.
Batuk selesema ni ambil masa juga nak baik. Boleh sampai seminggu.
JADI APA NAK BUAT UNTUK BANTU BAYI YANG KENA SELESEMA NI?
1. Bayi yang umur kurang dari 3 bulan, demam ke, batuk ke, selesema ke, tak kiralah simptom mana pun, WAJIB BAWA JUMPA DOKTOR SEGERA. Jangan simpan bayi kat rumah dan cuba rawat sendiri.
Kalau bayi tu dah besar sikit, kalau
– demam tu dah 3 hari
– bayi bernafas laju dan berbunyi semacam
– bayi susah nak bernafas, atau otot kat dada dan abdomen terperosok ke dalam bila bayi menarik nafas
– tak nak minum susu
– tak aktif macam biasa
– menangis dan merengek tak henti
Cepat-cepat bawa bayi jumpa doktor. Jangan dok dengar petua adik, makcik atau nenek bawang.
Ads
2. Bersihkan hingus bayi yang tersumbat tu. Caranya:
– Baringkan bayi. Pastikan kepala dia tinggi sikit.
– Picitkan 1-2 titik normal saline ke dalam 1 lubang hidung bayi. Pegang kepala bayi dengan tapak tangan lepas tu selama 10 saat. Nak elakkan kepala dia bergerak-gerak.
– Titiskan dekat lubang hidung yang satu lagi.
Titisan normal saline tu pun dah boleh bantu bersihkan mukus dalam hidung bayi.
Tapi kalau macam dah 2 ke 3 minit, hidung bayi masih macam tersumbat, boleh guna penyedut hingus bayi yang ada jual kat farmasi. Sekarang ada banyak jenis. Boleh bincang dengan pegawai farmasi, bergantung pada kaedah nak guna dan harga. Belajar cara guna yang betul dengan pegawai farmasi bila dah beli.
Ingat ya, sehari hanya boleh sedut hingus bayi tu 2 3 kali saja. Kang luka pula lapisan mukosa dalam hidung bayi. Dekat klinik kesihatan, memang ada normal saline ni. Doktor memang bagi untuk bayi selsema.
Jangan sedut hingus bayi dengan mulut mak sendiri. Sebab jangkitan kuman tu memang la berjangkit pada mak pula.
3. Pastikan bayi masih menyusu seperti biasa. Hidung tersumbat memang buat dia tak selesa nak minum susu. Jadi, paling senang, dah bersihkan hidung dia, boleh la bagi dia menyusu. Kalau dia tak nak, bawa jumpa doktor cepat-cepat sebab bayi senang sangat kena dehidrasi. Ni benda bukan main-main.
4. Bayi memang tak boleh keluarkan kahak sendiri. Otot dia belum cukup kuat. Satu cara yang boleh dibuat ialah, dengan gunakan wap air untuk kurangkan hidung tersumbat dan cairkan kahak. Kalau ada pemanas air dalam bilik air, buka pili air dan biar wap air penuh dalam bilik air. Duduk dengan bayi dalam bilik air tu dalam beberapa minit.
Ads
Kalau ada humidifier pun boleh guna. Cukup dengan air saja. Tapi kalau wap air yang baru mendidih tu jangan la guna, kang melecur pula bayi.
5. Atau, nak senang lagi, baringkan bayi dengan badan terlangkup ke bawah, tepuk-tepukkan belakang bayi dengan tapak tangan yang berbentuk berkaup. Jangan risau kalau bayi telan kahak dia, tu normal.
6. Tolonglah basuh tangan dengan kerap. Nak pegang bayi, basuh tangan. Lepas pegang bayi, pun basuh tangan sekali lagi. Jangan dok cium-cium bayi yang tengah sakit tu. Ajar anak-anak yang lain perkara yang sama. Sebab kita tak nak satu keluarga pula sakit.
7. Kalau bayi demam, boleh bagi ubat paracetamol jenis sirap untuk kurangkan demam dia. Pastikan dos tu betul ikut berat bayi dan berikan ikut jarak waktu yang konsisten, 6 jam sekali. Macam saya kata mula-mula tadi, kalau demam tu masuk 3 hari, terus pergi jumpa doktor.
Hujungnya, apa-apa pun, bawa lah bayi bawa jumpa doktor ya kalau bayi sakit dan kita macam tak pasti keadaannya ok ke tak.
Tolong jangan tanya soalan konsultansi pasal bayi kalian di status saya. Saya takkan jawab soalan kalian. Bukan sebab sombong. Tapi saya kena jaga etika saya.
Bayi anda kurang menyusu selepas makan makanan pejal? Ikuti penjelasan pakar laktasi ini.
Bayi akan boleh mula mengambil makanan pejal sejak usia enam bulan. Ada bayi yang menunjukkan selera yang baik sekali memakan puri buah dan bubur yang disediakan sehingga jadi kurang kerap menyusu. Ini menyebabkan ada sesetengah ibu mengalami bengkak payudara dan susu ibu perahan (EBM) yang dibekalkan kepada pengasuh juga tidak dihabiskan.
Menurut Rita Rahayu Omar, Pakar Laktasi & IBCLC, apabila bayi membesar dan mula diperkenalkan makanan tambahan pada umur enam bulan, penghasilan susu ibu akan berpadanan dengan permintaan/pengambilan bayi ketika itu.
Keperluan nutrisi bayi pada peringkat umur ini boleh dilengkapkan dengan pemakanan keluarga. Ini merupakan proses semula jadi. Apabila bayi mengambil lebih makanan maka tidak hairanlah sekiranya permintaan untuk susu juga mungkin berkurangan. Ini secara langsung akan mempengaruhi penghasilan susu juga.
Kajian terkini menunjukkan pengambilan susu ibu tidak berubah mengikut umur atau berat badan bayi antara usia satu hingga enam bulan. Selepas enam bulan, pengambilan susu ibu akan berterusan pada amaun yang sama. Bergantung kepada pengambilan makanan pejal, bayi akan secara beransur-ansur kurang menyusu susu ibu.
PERLU TERUS DIBERIKAN SUSU IBU
Kadang kala, di antara enam bulan hingga satu tahun (memandangkan makanan pejal diperkenalkan dan perlahan-lahan meningkat) pengambilan susu oleh bayi akan mula menurun tetapi susu ibu seharusnya terus diberi kerana ia membekalkan majoriti zat pemakanan bayi sepanjang tahun pertamanya. Oleh sebab terdapat perubahan besar dalam amaun makanan pejal yang diambil bayi sepanjang enam bulan kedua, amaun susu ibu yang diambil juga akan berbeza-beza.
AMAUN SUSU IBU YANG DIPERLUKAN SELEPAS USIA ENAM BULAN
Satu kajian mendapati purata pengambilan susu ibu seseorang bayi adalah 30oz sehari (875 ml/hari; 93% pengambilan keseluruhan) pada usia tujuh bulan dan 19oz (550ml/sehari; 50% jumlah pengambilan tenaga) di usia 11 hingga 16 bulan.
Beberapa kajian yang mengukur pengambilan susu ibu di kalangan bayi antara 12 bulan dan 24 bulan pula mendapati amaun tipikal ialah 14oz hingga 19oz sehari (400ml hingga 550ml sehari). Kajian tersebut melihat pengambilan susu ibu antara 24 bulan dan 36 bulan pula mendapati amaun tipikal ialah 10oz hingga 12oz sehari (300ml hingga 360ml sehari).
PEKA PETUNJUK BAYI INGIN MENYUSU UNTUK ELAK OVER FEEDING
Perlu diingat bahawa amaun susu ibu yang bayi ambil pada waktu tertentu akan berbeza sama seperti amaun makanan dan minuman yang diambil oleh orang dewasa sepanjang hari. Ketahuilah, bayi mungkin tidak minum amaun yang sama di setiap sesi penyusuan. Jadi, perhatikan petunjuk bayi (cues) berbanding hanya menggalakkan dia menghabiskan susu ibu perahan.
Jika bayi ketara mengambil lebih daripada purata amaun, pertimbangkan kemungkinan bayi diberi terlalu banyak susu ibu perahan (over feeding) sepanjang dia tidak berada bersama ibunya (semasa ibunya bekerja). Sebagai contoh, cara pemberian susu perahan dengan menggunakan botol yang salah atau puting yang alirannya terlalu laju boleh menyebabkan masalah over feeding.
Jika susu ibu perahan berlebihan, ibu bolehlah mencampurkannya ke dalam bubur nasi atau makanan yang dimakan oleh bayi. Bagi mengatasi masalah bengkak payudara selepas anak mula makanan pejal, bolehlah memerah susu sekadar untuk melegakan bengkak payudara sahaja. Ini kerana apabila payudara tidak dikosongkan sepenuhnya, ia akan berupaya untuk meregulasikan penghasilan susu secara semulajadi.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bukan orang dewasa sahaja stres tapi sebenarnya bayi juga boleh stres. Tapi kerana bayi masih belum boleh bercakap, dia akan meluahkan rasa stresnya melalui tangisan.
Sebagai ibu bapa kena tahu jenis tangisan anak agar mudah untuk mengendalikan situasi saat anak menangis. Mungkin di sebalik itu juga kita boleh cari sebab dan kemudian selesaikannya.
Cara ini bukan sahaja dapat menenangkan anak dengan cepat tetapi kita juga tidak tertekan menghadapi saat ini.
Antara tanda bayi stres yang perlu diketahui oleh ibu bapa adalah:
1) Meragam Dan Menangis
Menangis adalah isyarat paling mudah bila bayi anda rasa tidak selesa. Semakin kuat dan lama tangisannya, menandakan dia semakin stres.
2) Murung
Biasanya ceria dan lincah tetapi bila diajak main semua mainan dicampakkannya. Bab kata orang tua semua benda tak kena. Jadi ibu bapa kena faham dan layan sebaiknya bagi mengembirakan anak.
3) Tidur gelisah
Biasanya bayi sangat memerlukan tidur yang cukup untuk perkembangan yang baik. Tapi, ibu bapa kena perhatikan jika bayi kerap tidur dalam keadaan gelisah dan tidak nyenyak bermakna ada yang tak kena pada dirinya. Terlebih dahulu cuba periksa sama ada anak buang air besar atau pampersnya basah. Selain itu, mungkin juga kerana lapar. Jika dibiarkan ini antara punca bayi akan menangis tengah malam.
4) Tidak Mahu Makan
Stres juga boleh menyebabkan anak yang dah mula belajar makan jadi susah nak makan sehingga berat badannya berkurang. Ibu kena cepat tangani masalah ini supaya ia tidak berlarutan dan akan jadi punca anak memilih makan apabila semakin besar.
5) Tak Boleh Berenggang.
Bayi jadi sukar untuk berpisah dengan ibunya. Biasanya tak jadi masalah bila ibu tak ada di sisinya. Kini jika anda tinggal sebentar saja pun dia menangis.
Punca Yang Menyebabkan Bayi Stres:
– Keinginan anak tidak dipenuhi dengan sempurna. Mungkin ketika anak lapar atau haus anda tidak segera memberinya makanan atau minuman. Sikap tunggu sekejap perlu dielakkan kerana anak belum faham lagi situasi ibu. Jadi tolong peka mengenai hal ini.
– Sentiasa di tinggalkan sehingga anak kurang perhatian juga boleh jadi penyebabnya. Walaupun anak tak boleh meluahkan perasaan lagi tapi dia tahu mengenai ibu bapanya.
– Rasa sakit dan tidak selesa. Bayi tidak dapat menyatakan bahagian mana dia rasa sakit atau tidak selesa. Bila ibu bapa atau pengasuh tidak boleh kesan punca sakitnya, bayi boleh stres.
– Ayah dan ibu bertengkar. Bayi boleh tahu keadaan emosi ibu bapanya. Dia boleh merasakan situasi tegang dari ekspresi wajah dan nada bicara yang tinggi dan keras.
– Ibu stres menyebabkan bayi pun stres, kerana cara menangani bayi akan menjadi tidak tenang. Bayi dapat merasakan tekanan otot saat digendong, ekspresi wajah dan nada suara ibunya.
– Bertukar pengasuh dalam waktu singkat. Ini akan menyebabkan anak rasa tak selesa dan menangis sebelum dapat menyesuaikan diri dengan pengasuh baru.
Oleh itu, sebagai ibu bapa peka dengan setiap perubahan bayi anda dan tanganinya sebaik mungkin.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Baby suka mengempeng petang atau malam. Seolah-olah tak cukup susu yang ibu bekalkan masa duduk dengan pengasuh atau tidak cukup menyusu pada sebelah siangnya. Betul ke ni, mama rasa pelik!
Menurut Dr.Nurhaya Yacob, IBCLC dari Dr Nurhaya Lactation Center, ia adalah keadaan yang dinamakan penyusuan secara reverse cycle. Reverse cycle adalah satu fenomena di mana bayi lebih banyak atau sering menyusu pada waktu petang atau malam berbanding waktu “biasa” iaitu siang hari.
Keadaan ini adalah salah satu tindak balas normal bayi apabila ibu tiada kerana sedang bekerja, atau sedang sibuk dengan urusan lain walaupun bayi ada bersama ibu. Namun begitu, hal ini tidak terjadi ke atas semua bayi.
3 FAKTOR TERJADINYA PENYUSUAN SECARA REVERSE CYCLE
a)KELIRU SIANG DAN MALAM
Reverse cycle biasa terjadi kepada bayi-bayi yang baru lahir. Ini kerana bayi masih berada dalam keadaan keliru di antara siang dan malam. Hal ini boleh juga terjadi di saat berlakunya aselerasi pertumbuhan atau growth spurt di mana pada fasa yang pendek ini, si comel lebih kerap terlihat menyusu terus di dada ibunya.
b)MENUNGGU IBU
Manakala apabila bayi yang tinggal bersama pengasuh semasa ibunya bekerja, ibu-ibu sering di beritahu bahawa tidak mahu minum atau minum susu ibu terlau sedikit. Mereka hanya meminum susu ibu sekadar untuk menghilangkan rasa dahaga atau mengurangkan sedikit rasa lapar. Malah sanggup menunggu kepulangan ibu untuk mengempeng lebih lama ketika bersama ibu.
c)KETIKA PENYUSUAN MELALUI BOTOL DIPERKENALKAN
Fenomena reverse cycle ini sering berlaku di saat ibu sudah mula bekerja atau si comel baru dikenalkan dengan pemberian susu melalui botol apabila berada bersama pengasuh, atau ketika ibu sibuk di siang hari, sehingga memendekkan tempoh penyusuan pada waktu siang. Maka dengan itu, si comel lebih banyak “melekap” di payudara ibu pada malam hari atau pada saat ibu berehat.
TIP HADAPI REVERSE CYCLEBAYI BARU LAHIR
Sering kali di katakan bahawa bayi yang baru lahir lebih banyak menyusu di malam hari berbanding siang hari kerana kekeliruan yang berlaku di antara siang dan malam. Bagi mengatasi masalah seperti ini, ibu atau bapa di nasihatkan untuk
Tidak menidurkan bayi di dalam ruang yang gelap pada siang hari dan elakkan menyalakan lampu di malam hari.
Biarkan siang hari dan malam hari seperti mana fitrah kejadiannya agar dapat mengelakkan kekeliruan.
Ibu boleh cuba ‘mengganggu’ bayi agar kekal terjaga supaya mereka boleh tertidur nyenyak pada sebelah malam hari. Namun begitu, hal ini bukanlah sesuatu yang mudah dan memerlukan kesabaran yang tinggi.
REVERSE CYCLEBAGI IBU BEKERJA AGAK MELETIHKAN
Reverse cycle pada sesetengah ibu yang bekerja beranggapan ia adalah satu hal yang mudah kerana bayi hanya memerlukan beberapa auns susu sahaja untuk di bekalkan kepada pengasuh mereka.
Namun ada juga segelintir ibu yang berasa sangat risau terhadap masalah ini kerana merasakan bayinya mendapat susu yang sangat sedikit dan bimbang sekiranya reverse cycle akan menggangu tumbesaran si anak.
Ada segelintir ibu merasakan proses ini sangat melelahkan kerana mereka tidak medapat tidur yang cukup kerana si comel ingin berterusan melekap bersama ibu. Co-sleep atau tidur bersama bayi dan menyusukan si comel dalam posisi berbaring merupakan salah satu cara untuk membantu ibu-ibu agar melalui proses ini dengan lebih mudah. Malah banyak yang mendapati ia sangat seronok kerana merasakan proses ikatan bersama si comel seolah-olah lebih rapat kerana waktu siang yang sibuk bekerja. Carilah posisi yang paling selesa untuk menyusukan si comel supaya penyusuan menjadi satu proses yang sangat mudah.
Sebaliknya ada juga segelintir ibu yang merasakan ia adalah sangat melelahkan kerana tidak mendapat istirahat yang cukup. Yakinlah ibu, pengorbanan ini sangat berbaloi apabila kita melihat ke hadapan dengan semua kelebihan-kelebihan yang diperoleh melalui penyusuan susu ibu.
TIP HADAPI REVERSE CYCLEBAGI IBU BEKERJA
Tidak ada satu cara yang pasti untuk mengatasi masalah ini, namun antara cadangan yang boleh ibu-ibu laksanakan ialah,
a)Susukan bayi sehingga kenyang sebelum berangkat ke tempat kerja. Di tempat kerja ibu boleh meneruskan proses pemerahan seperti biasa.
b)Elakkan pemerahan susu sebelum pulang dari kerja kerana bayi akan ternanti-nanti saat bersama ibu untuk memulakan penyusuan. Dan pasti mereka akan jadi sangat marah kerana menyusu pada payudara yang kosong..
c)Bagi bayi yang sedang mengalami aselerasi pertumbuhan atau growth spurt adalah sukar untuk ibu tentukan berapa lama anak akan berterusan menyusu secara kerap. Namun begitu, bayi akan segera kembali seperti sedia kala apabila aselerasi pertumbuhan itu berakhir.
d) Ibu perlu fahami yang reverse cycle ini hanyalah satu fasa peralihan dan adaptasi di mana ia tidak akan memudaratkan bayi. Apabila fasa ini berakhir, semua akan kembali seperti sedia kala.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Puteri Nur Azzahra Aziz, atau Ara Aziz, anak kepada pengarah terkenal Aziz M. Osman, kini menjadi tumpuan ramai selepas pengumuman mengejut bahawa dia bakal melanjutkan pelajaran ke universiti pada usia 15 tahun.